Thursday, January 27, 2011

Memilih Cinta

بسم الله الرحمن الرحيم


Segala Puji Bagi Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana masih mengurniakan kita untuk hidup sehingga ke saat ini.

Selawat dan salam moga sentiasa dan selamanya ke atas kekasih Allah Subhanahu wa Ta'ala, Sayyid al Anam (Penghulu sekalian alam), junjungan besar Nabi Muhammad
صلى الله عليه وآله وسلم , ahli keluarganya yang mulia, para Sahabat yang berjasa dan orang-orang yang mengikuti mereka hingga hari Kiamat.

Beberapa hari lepas, saya terbaca blog sahabat saya yang bertajuk Memilih cinta yang susah. Terimak kaseh ridwan, mun sik maca blog kitak, sik kamek maca artikel ya kali :)

Artikel tersebut bertajuk
Memilih cinta yang susah, tulisan Ustaz Hasrizal, boleh baca terus di sini atau baca di bawah ini. Bagi saya, tulisan yang menarik dan bermanfaat, jom baca dan amalkannya, InshaAllah.

Mungkin tiada kaitan dengan tajuk, sekadar perkongsian. Teringat sewaktu dalam kelas Islam and Psychology tadi, dalam bab Learning From An Islamic Perspective, betapa pentingnya dalam memilih contoh ikutan (observational learning) dalam kehidupan kita, maka, tidak lain tidak bukan, contoh ikutan umat Islam ialah Sayyiduna Muhammad
صلى الله عليه وآله وسلم .

Sebagaimana Firman Allah Subahanahu wa Ta'ala dalam Surah al Ahzab Ayat 21 yang kira-kira bermaksud;

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu
contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)".

Robi'ul Awwal menjelang tiba,
Bulan kelahiran Rasul mulia,
Lahirnya membawa rahmat ke seluruh dunia,
Syafaatnya yang diharap di akhirat sana.

اللهم صل و سلم و بارك عليه و على آله

Wallahu a'lam.



Memilih Cinta Yang Susah


Bersama moderator dan AJK program. Tahniah semua!

“Mengasingkan diri, atau bercampur gaul tanpa batasan, kedua-duanya adalah ekstrim. Islam adalah cara hidup yang seimbang. Ia menyuruh kita bergaul seluas mungkin, dan pergaulan itu pula ada garis panduannya” saya menjawab soalan pertama yang diajukan oleh moderator.

Pusat Asasi UIAM di Petaling Jaya menganjurkan Forum Dari Mata Turun ke Hati sempena kempen Biah Solehah di kampus PJ tersebut.

“Antara input, proses dan output, apakah status pergaulan?” saya melontarkan soalan kepada peserta.

Kerusi di Dewan al-Malik Faisal mula berisi. Seperti biasa, di sayap sisters kerusi tambahan sudah mula disusun, manakala kerusi brothers sudah separuh penuh. Lebih positif daripada menyebut masih separuhnya kosong.

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” [At-Taubah 9: 71]

Lelaki dan perempuan, bukan sebarang lelaki dan perempuan.

Mereka adalah lelaki dan perempuan yang beriman.

IMAN itu adalah asas pergaulan dan interaksi kita.

Mereka saling bantu membantu dalam urusan amar makruf nahi munkar, menegakkan Solat dan melunaskan Zakat, serta seluruh agenda yang berada di dalam lingkungan mentaati Allah dan Rasul.

BERBALAH TENTANG PROSES

Apa yang sering menjadi bahan ‘perbalahan’ sesama anak muda ialah tentang perincian pergaulan sebagai PROSES.

Akan tetapi, jika titik mulanya adalah soal Aqidah, soal Iman seorang hamba kepada Allah, dan matlamat daripada pergaulan itu adalah untuk menegakkan perintah serta meninggalkan larangan Allah, bisakah tatacara pergaulan menyimpang daripada niat dan matlamat?

“Syaitan menyesatkan anak Adam berdasarkan dia itu belajar di universiti mana!” saya sengaja menyebut demikian.

Bagi brothers and sisters di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, sesuai dengan tema Islam itu sendiri, tindakan syaitan akan lebih licik. Maksiat akan lebih berpotensi dijamah andaikata ia dikosmetikkan dengan warna-warna Islam.

“Cinta fillaah!”

“Benda ini maslahah ‘ammah. Kepentingan orang ramai”

“Islam mesti dilihat progresif dan memimpin modernisasi”

“Ahh, yang di’sms’ itu bukan lirik lagu Anuar Zain. Ia hadith of the day. Bukankah Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah berpesan, ballighu ‘anni walau aayah!”

Berhati-hati. Syaitan itu jauh lebih sabar daripada dirimu. Ia tidak tergesa-gesa pada mengheret anak Adam tersimpang daripada jalan kebenaran. Tadarruj!

Justeru itu, ambillah secara serius usaha untuk mengenal tatasusila pergaulan seperti yang diajarkan oleh Syariat Islam. Berpersatuan, berbincang tentang pelajaran, berurus niaga, bekerjasama dalam apa sahaja bentuk aktiviti, semuanya diharuskan malah digalakkan oleh Islam. Jika ada saranan yang mahu lelaki dan perempuan itu hidup berasingan dan menghindari kerjasama, ia bukan Islam. Ia pseudo-agama. Akan tetapi, jika ada saranan yang mahu lelaki dan perempuan itu bergaul lagi bekerjasama, tanpa mengira apa motifnya, bagaimanakah tatacaranya, dan tanpa tujuan yang jelas, ia juga bukan Islam. Ia adalah seruan Ibahiyyah yang mahu meleraikan panduan Syariat daripada kehidupan.

“Sebab itu murabbi saya dahulu, ‘mewajibkan’ kami menghadam buku Tafsir Surah an-Nur oleh al-Maududi. Di samping belajar elok-elok Surah Akhlaq, Surah al-Hujuraat” saya menambah.

Pergaulan antara lelaki dan perempuan itu adalah untuk saling mengambil manfaat daripada keunikan masing-masing. Buah fikiran, tumpuan, kemahiran dan kecenderungan antara lelaki dan perempuan itu, banyak perbezaannya. Kerjasama antara kedua-dua belah pihak, berperanan melengkapkan kerja. Namun pergaulan itu tidak boleh terlepas daripada tujuan asalnya iaitu IMAN, serta proses yang betul, dan tujuan akhirnya adalah untuk melaksanakan ibadah serta meraih keredhaan Allah.

Jika kerja, pergaulan hendaklah dalam ruang lingkup menyempurnakan kerja.

Jika belajar, pergaulan hendaklah dalam ruang lingkup menyampaikan maksud belajar.

Selebihnya?

Lagha. Purposeless. Ruang-ruang tanpa motif inilah tempat terbaik nafsu dan syaitan menyerang luar dan dalam untuk mengkucar kacirkan pergaulan silang jantina. Salah satu potensi pergaulan yang kucar kacir ini adalah ZINA.

Lazimnya, kebanyakan maksiat adalah kombinasi antara pain and pleasure antara mangsa dan pemangsa. Jika berlaku kecurian, mangsa berasa sakit, pemangsa pula beroleh keseronokan. Namun berbeza dengan ZINA. Ia adalah maksiat yang sedap. Sama ada pelaku atau yang diperlakukan, kedua-duanya mendapat keseronokan. Itulah hikmah mengapa Allah bukan sekadar mengharamkan ZINA, malah memerintahkan kita agar MENJAUHINYA.

“Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya ia adalah suatu kecelaan dan seburuk-buruk jalan pilihan manusia” [al-Israa' 17: 32]

Allah tahu, zina itu sedap dan nikmat. Menolaknya jika sekadar menolaknya, terlalu sukar. Justeru sama seperti maksiat-maksiat yang lain, Allah bantu kita untuk mengelaknya dengan menutup pintu-pintu kepada zina. Sesungguhnya menolak zina hanya menjadi realiti apabila MUQADDIMAH ZINA dilihat sebagai muqaddimah zina yang mesti dihindari.

TATACARA PERGAULAN DAN LARANGAN MUQADDIMAH ZINA


Jika soalan timbul pada meminta perincian terhadap tatacara pergaulan silang jantina di dalam Islam, temuilah ia di dalam perintah-perintah berikut:

1. MENUNDUKKAN PANDANGAN

Tingkap itu yang mesti dipelihara. Jendela penglihatan yang turun ke hati dan kemaluan. Menundukkan pandangan itu bermaksud memelihara penglihatan daripada melihat perkara haram. Perkara yang merangsang libido dan mengundang diri kepada zina. Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan.” [al-Nur 24: 30]

Wanita-wanita yang beriman itu juga diberikan saranan yang sama. Di dalam ayat yang menyusul perintah di atas, Allah memerintahkan kaum wanita seperti kaum lelaki, sama-sama memelihara pandangan daripada melihat apa yang tidak diharuskan baginya melihat.

“Alahai, takkanlah baru tengok sudah mahu berzina!” seorang manusia mahu berbijak-bijak berhujah dengan Tuhan.

Dia lupa, fitnah penglihatan dan zina bukan urusan rasional. Ia urusan nafsu dan kemaluan. Urusan hati yang membuat pertimbangan. Justeru itu Allah berpesan, “yang demikian itu lebih suci bagi mereka”. Muqaddimah zina ini bukan hanya urusan di peringkat individu. Ia bertujuan membentuk suasana yang sihat. Saling bekerjasama untuk mewujudkan suasana yang tidak mengundang zina.

2. MEMELIHARA AURAT

Menundukkan pandangan daripada perkara haram menjadi lebih mudah apabila perkara haram itu tercegah dalam daerah halalnya. Anggota tubuh yang perlu diberi perlindungan, adalah cara seseorang memuliakan dirinya sendiri dan menghormati orang lain yang bermata lagi berhati, juga bernafsu.

Peliharalah aurat.

Wanita.

Lelaki.

Sama sahaja.

“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka…” [al-Nur 24: 31]

Perintahnya bukan perintah menutup rambut.

Perintahnya adalah perintah memelihara aurat.

3. TIDAK BERTABARRUJ JAHILIAH

Menutup aurat itu cara Allah mengajar kita membentuk diri. Biar dengan menutup aurat itu kita belajar menganut sifat malu, belajar mengenal batas-batas diri yang mewujudkan rasa berTuhan dalam kehidupan dengan batasan-batasan itu.

“Dan hendaklah kamu melazimkan diri berada di rumah kamu serta janganlah kamu mendedah, menghias dan menonjolkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu” [Al-Ahzaab 33: 33]

“Saya sudah menutup aurat!” kata seorang perempuan yang bertudung.

Beliau terlepas pandang, tudungnya memang bertudung tetapi solekan di bibir dan kelopak matanya sangat keterlaluan, di dalam tudungnya ada bonggol sanggul yang sengaja ditolak ke atas meninggikan kepala, kakinya memakai rantai berloceng, hingga setiap inci tubuhnya menarik perhatian untuk dilihat dan direnung, biar pun beliau itu bertudung.

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam telah bersabda :

Dua golongan yang termasuk dari kalangan ahli neraka yang tak pernah aku lihat iaitu yang pertama mereka yang memegang cemeti seperti ekor lembu (bentuk cemeti itu seperti ekor lembu yang berbulu-bulu dan berambut-rambut) dan mereka memukul manusia dengan cemeti tersebut. Yang kedua adalah perempuan memakai pakaian tetapi keadaanya umpama telanjang (ketat), dan perempuan ini berjalan sambil berlenggang lenggok dan sanggol rambutnya (ataupun sekarang ikatan rambutnya) umpama bonggol unta.Dan perempuan yang sebegini keadaanya tidak akan mencium bau syurga. Ketahuilah bau syurga sudah boleh diciumi dari jarak begini dan begini. [Hadith riwayat Muslim no. 2128]

Bertudung. Tetapi masih mahu menarik perhatian orang memandang dan membelek.

Justeru hilanglah hikmah memelihara aurat.

Biar pun rambut ditutup, dia masih kaya dengan elemen Jazb al-Intibah (menarik perhatian dan pandangan orang).

4. BERURUSAN DENGAN BATASAN

Bekerja, belajar, bermesyuarat, berjiran dan bermasyarakat, semuanya harus.

Namun keharusan itu harus dipandu oleh batasan.

Silang jantina perlu mengenal keperluan dan tujuan, jangan hanya berpandukan kemahuan.

“Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta daripada mereka maka mintalah kepada mereka dengan perantaraan hijab. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka” [al-Ahzaab 33: 53]

Sama ada hijab itu berupa tabir yang fizikal, atau sekurang-kurangnya mengekalkan batas pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Bermesyuaratlah, tetapi biar seadanya.

“Hai, takkanlah sembang-sembang sudah terangsang?” hujah seorang bijak pandai di syarikat Multinasional.

“Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka” jawab Allah.

Dia yang memiliki hati. Dia tahu sifat baik dan buruk hatimu. Justeru nasihat-Nya tentang hati itulah nasihat terbaik untuk manusia yang mahu berhati-hati.

Lihatlah di pejabat, siapa di meja sebelah, siapa di kubikel depan, keluar makan tengah hari dengan siapa, dari Stesyen LRT ke pejabat tumpang kereta siapa, pergi ke site atau bertemu pelanggan naik kereta siapa, semua itulah yang perlu dipertimbangkan kembali, kerana melakukannya tanpa batasan adalah MUQADDIMAH ZINA.

5. TIDAK MELUNAKKAN SUARA

Dengar suara, mahu orangnya.

Itu akibat manusia-manusia yang hatinya berpenyakit.

Sakitnya pula letak di hati yang tidak kelihatan. Justeru jangan cari penyakit. Jangan lunakkan suara semasa berbicara. Bersahaja, sederhana, seperti biasa, jangan dimanja-manja, jangan mengada-ngada.

“Andaikata kamu benar-benar beriman, maka janganlah kamu lunak-lunakkan suara semasa berbicara. Nantinya orang-orang yang hatinya berpenyakit menjadi tamak. Justeru berbicaralah dengan perbicaraan yang maaruf” [al-Ahzaab 33: 32]

DEKAT DENGAN REALITI

“Melunakkan suara, jangan sampai jadi sarjan! Menundukkan pandangan, jangan sampai terlanggar dinding” saya menambah.

Kata kuncinya ialah, lebih dekat kehidupan kita sekarang dengan realiti di luar sana, maka kuranglah kebarangkalian untuk seseorang itu terkena kejutan budaya. Semasa duduk dalam realiti alternatif yang dibentuk di bangku pengajian, kita boleh memilih tahap komitmen masing-masing. Mahu mentakrifkan hijab [al-Ahzaab 33: 53] sebagai tabir yang memisahkan, atau mewujudkan jarak pemisah antara lelaki dan perempuan yang berdiskusi atau bermesyuarat, terpulang. Selagi ada batasan, selagi itu maksud di sebalik ayat berkenaan diambil.

Namun jika kita memilih untuk melaksanakan tabir, jadikan tabir itu sebagai alat pemudah, dan tempat kita bergantung pada mengawal ikhtilat. Realiti kehidupan akan mengheret kita kepada sebuah budaya seharian tanpa tabir, maka mudah-mudahannya jangan kita yang biasa bertabir itu terkena kejutan budaya.

Dalam menelusi bentuk-bentuk ekspresi semangat Islam, saya melihat kesederhanaan sebagai sesuatu yang lebih konsisten.

HUKUM CINTA SEBELUM KAHWIN

“Tetapi, saya mahu jawapan kepada soalan yang panelis kedua tadi selitkan iaitu apakah hukum bercinta sebelum kahwin?” tanya salah seorang peserta.

“Jika mahu bercinta sebelum kahwin, boleh. Bercintalah. Seperti kata mak ayah kita masa kecil dahulu, kan? Nak panjat pokok, panjatlah!” saya menjawab.

“Apa hukumnya” adalah template biasa yang diguna pakai di dalam masyarakat kita untuk meminta penjelasan. Biar pun dalam sesetengah keadaan, persoalannya bukan semata-mata hukum.

“Bercinta sebelum berkahwin ini, boleh. Dengan syarat, jangan tanpa apa pandangan Islam. Ia adalah CINTA YANG SUSAH. Saya menyebutnya begitu kerana saya sendiri tidak tahu pasangan kekasih yang mana daripada kalangan sahabat Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam yang ingin saya ambil sebagai contoh. Cinta di luar perkahwinan adalah seperti membela haiwan liar di luar kandang. Ia adalah cinta yang susah. Masakan tidak… ia adalah cinta yang tiada panduan al-Quran, tiada panduan al-Sunnah. Apa yang ada hanyalah kebijaksanaan akal masing-masing untuk memanipulasi mana-mana nas al-Quran dan al-Sunnah, sebagaimana lagu “For The Rest Of My Life” dendangan Maher Zain, yang asalnya ditujukan oleh seorang suami kepada seorang isteri, diselewengkan sebagai hadiah Valentine seorang buayafriend kepada gelifriend” saya menambah lagi.

“Dan bagi mahasiswa lelaki yang masih berdegil untuk tidak mahu memenuhi kerusi hadapan, tidak seperti mahasiswi, jangan satu hari nanti rumahtangga anda digugat oleh sebuah Jabatan Isteri Pertama oleh isteri yang lebih memimpin” saya mengusik peserta lelaki dek dewan yang semakin sesak di bahagian belakang.

Mereka kebingungan.

Saya ketawa sendiri.

Perjalanan mereka masih panjang.

Sepanjang forum yang masih ada sejam berbaki.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

No comments:

Post a Comment