Thursday, March 31, 2011

Saksikan Turath Ulama' - TV 1

بسم الله الرحمن الرحيم


Kesibukan yang terus menerus, ditambah dengan beberapa aktiviti yang baru, antara faktor blog Khazanah Fathaniyah ini tidak dapat dikemaskini secara seimbang. Untuk perkembangan buku terkini, Khazanah Fathaniyah belum dapat menghasilkan terbitan baru, tetapi InsyaAllah buat masa terdekat ini usaha untuk mengulang cetak kembali buku-buku yang telah kehabisan stok akan cuba dilakukan dengan edisi terbaharu. Segala perkembangan berkaitannya, InsyaAllah akan dimaklumkan semula.

Selain penerbitan buku, Khazanah Fathaniyah bersama Persatuan PENGKAJI turut aktif menganjurkan pengajian-pengajian kitab Turath yang sebelumnya ini diajar oleh al-Marhum Ustaz Wan Mohd Shaghir Abdullah, meliputi pelbagai cabang ilmu dan kitab. Usaha tersebut kini tetap masih diteruskan, dengan menjemput ustaz-ustaz yang mempunyai kepakaran mengajar kitab-kitab turath Melayu berkaitan bidang -bidang ilmu yang tertentu.

Kesinambungan dari itu, satu kesepakatan telah dicapai antara Khazanah Fathaniyah dan JAKIM untuk memperluaskan lagi dakwah pengajian kitab turath ini melalui saluran media elektronik pula. Hasilnya maka tercetuslah 'TURATH ULAMA', yang akan disiarkan di TV1, bermula hari ini (Selasa), jam 6.30 petang. Berikut adalah perinciannya:

Setiap hari Selasa (6.30 - 7.00 Petang)

Kitab :
Kitab Faridatul Fara'id
(Kitab berkaitan Tauhid), karya Syeikh Ahmad al-Fathani.

Penyampai :
Ustaz Azhar Hasyim





Setiap hari Rabu (6.30 - 7.00 Petang)

Kitab :
Kitab Munyatul Mushalli
(Kitab berkaitab sembahyang), karya Syeikh Daud Bin Abdullah al-Fathani.

Penyampai :
Ustaz Abdul Halim Saad


Rakaman pengajian ini juga dibuka kepada umum. Sekiranya berminat untuk hadir, boleh menghubungi Abdul Halim Muhamed (013-3564496) atau pejabat (03-61897231) untuk maklumat lanjut. Kelas pengajian untuk sesi rakaman dilaksanakan setiap hari Ahad, bermula 8 pagi - 11 pagi. Kitab-kitab pengajian disediakan.

Sekian, untuk makluman. Semoga ada manfaatnya:)

Sumber: Khazanah Fathaniyah

Tuesday, March 29, 2011

Siapa sebenarnya golongan Ahlu Sunnah wal Jama'ah?

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله ربّ العالمين, والصّلاة والسّلام على
أشرف الأنبياء والمرسلين سيّدنا محمّد
وعلى آله وصحبه أجمعين


Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Sekadar berkongsikan tulisan Dr. Asmadi Mohamed Naim di blog beliau yang bertarikh 22 Disember 2009 bertajuk Golongan Ahlusunnah wal Jama'ah. Boleh klik di sini untuk baca terus dari blog tersebut.

Untuk sama-sama kita baca dan nilai, siapakah sebenarnya golongan Ahlu Sunnah wal Jama'ah? Menurut Imam Ahlu Sunnah wal Jama'ah, Imam al Baghdadi رضي الله عنه dalam kitab beliau al-Farq Baina al-Firaq. Moga kita mendapat manfaat daripadanya dan digolongkan oleh Allah Ta'ala dalam kalangan Ahlu Sunnah wal Jama'ah.


Wahai Allah yang menerima doa
bagiku di Madinah seorang kekasih

Aku mengharap syafaatnya
agar terhapus segala dosa

~Maksud Qosidah~



Wallahu a'lam.



GOLONGAN AHLUSSUNNAH WAL JAMAAH

Alhamdulillah, artikel ini akhirnya diterbitkan oleh Utusan Malaysia, 23 Disember 2009. Sila klik pada tajuk sekiranya saudara ingin membaca terus dari Utusan Malaysia dengan tajuk: 'Golongan Ahlussunnah menurut Imam al-Baghdadi'. Selamat membaca.

Golongan Ahlusunnah wal Jamaah

Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim

Saya membaca tulisan mengenai makna atau definisi Ahlu al-sunnah wal Jamaah (ASWJ) oleh Dr MAZA pada pertengahan November 2009 lepas dalam Utusan Malaysia. Penulis mengutip definisi Ahlussunnah yang ditulis oleh Imam al-Baghdadi (wafat429H) dalam kitabnya al-Farq Baina al-Firaq. Namun malangnya perkataan 'al-turuq al-sifatiah' atau 'jalan-jalan sifat' dalam definisi tersebut diabaikan. Walhal itulah antara perkara yang penting bagi menentukan samada tauhid yang mensyarahkan sifat-sifat adalah sesuatu yang baru atau sememangnya sudah lama. Pada saya, ada sedikit masalah 'amanah ilmu' bila dia tidak menerangkan secukupnya maksud al-Baghdadi bila mensyarahkan pengertian ASWJ (atau mungkin dia tidak sengaja). Penulis juga tidak memperjelaskan penerangan Imam al-Baghdadi (selepas memetik definisi Imam itu) berkaitan dengan definisi tersebut.

Demikian juga, ada sebuah lagi penulisan yang menceritakan aliran pemikiran tauhid di Nusantara yang merujuk bahawa aliran yang mensyarahkan Sifat 20 hanyalah muncul selepas tahun seribu Hijrah melalui Imam Sanusi dengan kitabnya Umm al-Barahin. Penulis tidak merujuk kemunculan metode tersebut kepada penyusunnya yang sebenar iaitu Abu Hassan al-Asy'ari (wafat324H) yang muncul pada akhir kurun ke 3 Hijrah (atau mungkin dia juga tidak sengaja).


Dalam kesempatan ini, saya hanya mahu menjelaskan siapakan Ahlussunnah menurut penulisan Imam al-Baghdadi yang telah menjadi rujukan definisi ASWJ supaya pembaca dapat memahaminya secara jelas. Bagi pembaca-pembaca yang berupaya membaca bahasa Arab, boleh merujuk terus kepada kitab Imam ini. Imam al-Baghdadi Rahimahullah menyatakan (hal.19):

"Maka golongan yang ke 73 ialah Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu golongan ahl al-ra'y (Abu Hanifah dan murid-muridnya) dan ahlu al-hadis; bukan mereka yang mempermain-mainkan hadis; dan ulama fekah mereka, penghafal al-Quran mereka, perawi hadis dari mereka, dan ulama hadis di kalangan mereka, semuanya sepakat atas keesaan pencipta, keesaan sifat-sifatNya, keadilanNya, hikmahNya, dan nama-namaNya dan pada bab kenabian dan kepimpinan, hukum hudud, dan pada perkara usuluddin."


Seterusnya, Imam al-Baghdadi Rahimahullah memperincikan LAPAN (8) golongan yang termasuk dalam Ahlusunnah wal Jamaah (lihat bukunya dari halaman 240-243):

Golongan pertama, mereka yang menguasai ilmu khususnya dalam bab Tauhid (meng-esa-kan Allah) dan kenabian, hukum-hukum wa'ad (khabar gembira) dan wa'id (ancaman siksa), pahala dan balasan, syarat-syarat ijtihad, pemerintahan dan kepimpinan. Mereka yang melalui jalan ini ialah ulama Kalam (Tauhid) yang bebas dari fahaman tasybih (menyerupakan sifat Allah dengan makhluk) dan bebas dari fahaman ta'til (yang menafikan sifat-sifat yang Azali bagi Allah SWT)), dan bebas dari bidaah al-Rafidhah, Khawarij, Jahmiah, Najariah dan seluruh pengikut bidaah dan hawa nafsu.

Golongan kedua ialah imam-imam fiqh samada kumpulan yang cenderung pada rakyun (dalil aqal) atau hadith. Iaitu mereka yang beriktikad (berkeyakinan) pada perkara usuluddin dengan mazhab-mazhab sifat pada Allah dan pada sifat-sifatnya yang azali (membicarakan sifat-sifat Allah SWT sebagaimana sifat 20), dan mereka bebas dari fahaman Qadariah dan Muktazilah; mereka menetapkan melihat Allah Taala dengan mata (di akhirat kelak) dengan mata tanpa tasybih (menyerupakan Allah dengan makhluk), tanpa ta'til' (menafikan sifat-sifat Allah).

Termasuk dalam golongan ini ialah murid-murid kepada Malik, al-Shafie, al-Auza'i, al-Thauri, Abu hanifah, Ibn Abu Laila (wafat148H), sahabat-sahabat Abu Thaur (wafat240H), sahabat-sahabat Ahmad bin Hanbal (wafat241H), ahli al-Zahir, keseluruhan ulama fiqh yang beriktikad dalam bab-bab akal ini dengan prinsip-prinsip Sifat (tauhid yang membahaskan Sifat-sifat Allah). Dan mereka tidak mencampurkannya dengan apa-apa dari ahli bidaah dan hawa nafsu.

Golongan ketiga ialah mereka yang menguasai ilmu-ilmu yang berkaitan dengan periwayatan hadith dan sunnnah yang disampaikan oleh Nabi SAW, mereka berupaya membezakan antara sahih dan cacat antaranya, mengetahui sebab-sebab 'al-jarh wa al-ta'dil' (kredibiliti seorang rawi), dan mereka tidak memasukkan ilmu mereka dengan apa-apa dari ahli bidaah dan nafsu yang menyesatkan.

Golongan ke empat ialah kaum yang menguasai kebanyakan topik-topik sastera Arab, nahu dan saraf. Mereka berada atas jalan pakar bahasa seperti al-Khalil (wafat175H), Abu 'Amr bin al-'Ala` (wafat 145), Sibawaih (wafat 180H), al-Farra' (wafat 207H), al-Akhfash (wafat 215H), al-Asma'i, al-Mazini (wafat 236H), Abu Ubaid (wafat 224H) dan seluruh imam-imam Nahu samada ulama-ulama Kufah atau Basrah, yang mana mereka tidak mencampurkan ilmu mereka dengan sesuatu dari bidaah al-Qadariah, atau Rafidhah atau Khawarij. Maka sekiranya seseorang itu cenderung ke arah nafsu yang menyesatkan, maka bukanlah ia dari golongan Ahlussunnah walaupun kata-katanya adalah 'hujah' dalam ilmu bahasa dan Nahu.

Golongan ke lima, antaranya ialah mereka yang menguasai ilmu yang berkaitan dengan jenis-jenis qiraat untuk al-Quran, dan jenis-jenis tafsiran al-Quran, penakwilannya berdasarkan mazhab-mazhab Ahlussunnah, tanpa berpegang dengan takwilan ahli nafsu yang sesat.

Golongan ke enam ialah, antaranya ialah para ahli zuhud sufi yang mempunyai ilmu maka jauh pandangan, yang telah dinilai maka ia diiktibarkan, mereka redha dengan hidup yang ringkas, mereka mengatahui bahawa penglihatan, pendengaran dan hati dipertanggungjawabkan terhadap kebaikan dan kejahatan; menghisab dengan neraca zarah-zarah, justeru menyediakan diri mereka dengan sebaik-baik perisapan untuk hari Kiamat. Perkataan mereka berjalan di atas dua jalan iaitu secara jelas dan isyarat di atas jalan ahli hadis, tanpa mereka 'membeli' pandangan yang mempermainkan hadis. Mereka tidak melakukan kebaikan kerana riak, tidak pula meninggalkan kebaikan kerana malu kepada orang lain. Agama mereka hanya satu dan menafikan 'pentasybihan' (menyerupakan Allah dengan makhluk), mazhab mereka ialah tafwidh (menyerahkannya) kepada Allah SWT, bertawakkal kepadanya, penyerahan kepada-Nya, tenang dengan apa yang direzekikan-Nya.

Golongan ke tujuh ialah, antaranya kaum yang terikat dengan barisan hadapan peperangan dengan orang-orang kafir, berjihad melawan musuh-musuh Islam, mereka menjadi benteng melindungi umat Islam, meninggalkan isteri-isteri mereka dan negara mereka, dan menzahirkan pada barisan hadapan mereka Mazhab ASWJ.

Golongan ke lapan ialah, antaranya kebanyakan negara-negara yang secara kebiasaannya terdapat syiar ASWJ, bukannya negara yang menzahirkan syiar ahli hawa-nafsu yang sesat.

Itulah huraian sebenar al-Imam Abdul Qahir bin Tohir bin Muhammad al-Baghdadi (wafat429H). Rupanya ramai sebenarnya yang diiktiraf sebagai Ahlussunnah. Ia berbeza dengan pandangan yang meminoritikan dan mengekslusifkan ASWJ hanya untuk golongannya sahaja dengan tuduhan sesat dan bidaah pada perkara remeh-temeh seperti qunut, talqin, zikir selepas solat, berdoa beramai-ramai dan sebagainya. Lihat kata Imam al-Baghdadi tentang perkara-perkara cabang (hal. 19):

"Mereka (ASWJ) hanya khilaf mengenai halal dan haram pada cabang hukum, bukanlah khilaf tersebut mengundang kepada sesat dan fasik; mereka adalah puak yang terselamat, kerana mereka bersatu pada keesaan pencipta dan qidamNya, qidam segala sifatnya sejak azali, dan harus melihatNya tanpa sebarang perumpamaan dan gangguan, serta yakin terhadap isi kandungan kitabNya dan rasulNya, dan mengikut segala syariat islam, dan menghalalkan segala yang dihalalkan oleh Al-Quran, dan mengharamkan segala yang diharam oleh Al-Quran, serta menerima apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan beriman pada hari kebangkitan dan perhitungan, dan soal dua Malaikat dalam kubur, beriman dengan telaga Kauthar dan Timbangan".


Semoga masyarakat Islam tidak terbelenggu dengan perpecahan yang lebih parah lantaran perkara-perkara tersebut. Banyak masa yang perlu digunakan untuk memperbetulkan generasi muda yang menyongsang arus dengan pelbagai gejala sosial. Wallahu a'lam.

Thursday, March 24, 2011

Laporan .:KUCHING BERSELAWAT:.

بسم الله الرمن الرحيم

الحمد الله ربّ العالمين, والصّلاة والسّلام على أشرف الانبياء والمرسلين سيّدنا محّمد وعلى آله وصحبه أجمعين






Alhamdulillah, segala Puji Bagi Allah Tuhan sarwa Alam. Dialah yang berhak disembah. Tiada Tuhan melainkan Dia. Segala Puji Bagi Allah yang telah mengutuskan rahmat buat serata alam, Junjungan Mulia Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Selawat dan salam atas baginda, ahli keluarga dan para sahabat Baginda. Semoga Allah merahmati orang-orang yang ikhlas mengikuti jalan mereka sehingga Hari Akhirat kelak, insya-Allah.



Segala Puji bagi Allah, Kuching Berselawat telah diadakan dengan jayanya 18 Mac 2011, Jumaat yang lepas bertempat di Waterfront Square, Kuching Sarawak. Seramai lebih 500 hadirin dan hadirat telah menghadiri program tersebut, terdiri daripada warga Kuching, pengunjung Waterfront termasuk pelancong asing. Program telah dimuliakan dengan kehadiran Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki diiringi Ustaz Syed Muhammad bin Alwi al-Attas (Habib Muhammad). Syeikh Muhammad Fuad merupakan ulama muda yang merupakan Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan dan Pengasas serta Penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan.

Program tersebut merupakan hasil kerjasama daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak, Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS), Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKKWA), Akademi Bestari Muda (ABM), Homestay ABAS, Madrasah al-Khairat, almawlid, Marjan, Heavenly Ensemble dan Alumni ESQ Sarawak. Terima kasih sekalung penghargaan buat individu yang terlibat secara langsung mahupun tidak menjayakan program ini, terutama Pengarah Kuching Berselawat, Ustaz Suhardi bin Edward, mantan Yang Di-Pertua ABIM Negeri Sarawak. Terima kasih juga buat penaja Kuching Berselawat, Petra Energy BERHAD yang telah melicinkan persediaan program.



Bertemakan “Menuju Mahabbah Rasulullah s.a.w,” Kuching Berselawat bertujuan untuk memupuk dan menebarkan budaya selawat di kalangan masyarakat. Sesungguhnya berselawat atas Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam merupakan seruan daripada Allah buat hamba-hamba-Nya:


“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada Nabi (Muhammad sallallahu alaihi wasallam), ‘Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.’” (Surah al-Ahzab, 33 : 56)


Menyebut hal ini, Imam Busairi dalam Qosidah Burdah beliau mengatakan:

“Pujilah apa sahaja kemuliaan yang ada padanya sesuka hatimu,
Dan pujilah apa sahaja keagungan yang layak untuk kedudukannya sekehendakmu,

Kerana sesunnguhnya keagungan dan kelebihan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam itu tiada had baginya,
Sehinggakan lidah dapat mengungkapkan segala keistimewaannya dengan bahasa yang indah”


Mengadakan majlis mawlid dengan iringan qosidah merupakan satu tradisi kebudayaan Islam yang telah disusun oleh para ulama sebagai sarana untuk mendekatkan masyarakat kepada mahabbah Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Ini kerana mencintai baginda sallallahu alaihi wasallam akan membawa kita kepada Tuhan Rabbul Jalil, Allah S.W.T. Hatta, Islam telah tersebar di Nusantara melalui saluran seperti ini, sebagaimana yang telah dimanfaatkan oleh para ulama terdahulu.

Antara acara-acara yang diadakan ialah:


Petang


Qosidah Iftitah daripada Heavenly Ensemble & Madrasah al-Khairat

Persembahan qosidah daripada almawlid, Marjan, Madrasah al-Khairat dan Heavenly Ensemble


Pengunjung yang hadir acara petang


Maghrib
Dipimipin oleh sdr. Syed Abd Hamid, mantan Yang Di-Pertua PERKEPIS
Solat Maghrib dan pembacaan zikir Wirdul Latif oleh Ustaz Hj Muhadir bin Hj Joll

Pengisian tazkirah daripada Fadhilatul Ustaz Hj Muhadir bin Hj Joll


Malam



Tetamu: Habib Muhammad bin Alwi al-Attas & Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki


Ceramah Perdana oleh Fadhilatul Syeikh Fuad


Syukur Alhamdulillah, segalanya telah dilancarkan, dimudahkan oleh Allah S.W.T. Terima kasih khusus buat Syeikh Muhammad Fuad beserta rombongan, kumpulan almawlid dan Marjan yang telah sudi bertandang ke Bumi Kenyalang untuk program Kuching Berselawat. Hakikatnya, Kuching Berselawat merupakan kenangan indah yang sukar dilupakan. Terima kasih kesudian kalian bertandang ke lubuk dakwah ini, yang juga umpama ladang yang subur untuk ditanam benih-benih agama Allah ini.

Terima kasih buat penggerak-penggerak belakang tabir yang telah bertungkus-lumus untuk menjayakan program ini.


AJK Penghias Pentas & Kanopi

AJK Pentas & Teknikal
AJK Promosi & Tugas Khas
AJK Protokol
almawlid, Marjan, Madrasah al-Khairat & Heavenly Ensemble

Semoga sekelumit amalan ini menjadi asbab untuk mendapat redha Allah kelak untuk memasuki Syurga abadi, dan bersemuka dengan sebaik-baik makhluk, Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Amiin...


“Menuju Mahabbah Rasulullah sallallahu alaihi wasalam”

“Berjasa Kepada Masyarakat”

Wednesday, March 16, 2011

KUCHING BERSELAWAT

بسم الله الوحمن الرحيم

Segala Puji dirafa'kan ke hadrat Allah سبحانه وتعالى Tuhan Semesta Alam.

Sholawat dan salam Allah moga sentiasa dan selamanya ke atas pembawa rahmat ke seluruh alam, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , para Sahabat رضي الله تعالى عنهم أجمعين dan orang-orang yang mengikuti mereka hingga Hari Kiamat.


Sila klik pada gamba.

Berita gembira kepada umat Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم khususnya yang berada di Kuching, Sarawak. InshaAllah, pada 18 Mac 2011 bersamaan 13 Rabi' al Thani 1432H akan diadakan majlis "KUCHING BERSELAWAT" yang merupakan salah satu majlis yang menghimpunkan bacaan zikir, sholawat dan salam ke atas Sayyiduna Rasulillah صلى الله عليه وآله وسلم , mendengar pembacaan sirah Baginda صلى الله عليه وآله وسلم serta mendengar nasihat dan peringatan daripada para ulama' yang turut hadir.

Alhamdulillah, antara para ulama' yang sudi untuk hadir serta memberikan pengisian rohani ialah al Musnid Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki al Azhari حفظه الله dan al Muhtaram al Ustaz Muhadir bin Haji Joll al Sanariyy حفظه الله serta para Masyaikh yang lain yang tidak disebut nama mereka di sini tanpa mengurangkan rasa hormat dan kasih kepada mereka.



Al Musnid Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki al Azhari حفظه الله


Al Musnid Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki al Azhari
berasal dari Kampung Chenong Chengkau, Rembau, Negeri Sembilan Darul Khusus. Merupakan ulama' yang disegani samaada di dalam mahupun luar negara, lulusan Universiti al Azhar, Mesir dalam bidang Syariah, serta menuntut ilmu secara talaqi bersanad dengan para ulama' di Makkah, Madinah, Mesir, Syria dan lain-lain negara Islam. Tuan Syaikh merupakan Pengerusi Aqidah, Ahli Majlis Agama Islam serta Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus. Tuan Syaikh juga merupakan pengasas serta penasihat Yayasan al Sofa, Negeri Sembilan.



al Muhtaram al Ustaz Muhadir bin Haji Joll al Sanariyy حفظه الله


Tambahan pula, ulama' kelahiran Kampung Senari, Kuching iaitu al Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll al Sanariyy juga sudi hadir ke majlis ini. al Fadhil Ustaz merupakan Pensyarah di Kulliyyah Ilmu Wahyu di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, kampus Petaling Jaya. al Fadhil Ustaz sedang menyiapkan tesis Phd beliau dalam bidang Tafsir di Universiti Malaya.


Kepada muslimin dan muslimat khususnya yang berada di Kuching dan yang berdekatan dengannya, marilah kita sama-sama mengambil peluang keemasan ini untuk hadir ke majlis yang penuh barokah ini dan menzahirkan kecintaan kita kepada semulia-mulia kekasih صلى الله عليه وآله وسلم serta berhimpun bersama para ulama' yang mereka itu adalah pewaris para Nabi عليهم الصلاة والسلام .

Sebagai umat Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, kita dianjurkan untuk bergembira atas rahmat dan kurniaan Allah سبحانه وتعالى kepada kita. Rahmat dan kurniaan yang terbesar ialah dengan kelahiran Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم .

Allah
سبحانه وتعالى berfirman dalam Surah Yunus ayat 58;

قُلْ بِفَضْلِ اللّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُواْ هُوَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ

“Katakanlah (Wahai Muhammad): Dengan kurniaan Allah dan rahmatNya, hendaklah dengan itu mereka bergembira dengan kurniaan Allah dan rahmatNya itu, adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan.”

Berkata Sayyiduna 'Abdullah ibn 'Abbas رضي الله تعالى عنهما ; Maksud anugerah/kurniaan Allah سبحانه وتعالى tersebut ialah ilmu pengetahuan yang Allah kurniakan pada hambaNya. Manakala rahmat yang disebutkan dalam ayat tersebut ialah Rasulallah صلى الله عليه وآله وسلم kerana Rasulallah صلى الله عليه وآله وسلم adalah merupakan rahmat bagi seluruh alam.


Rahmat apakah yang paling besar ke atas manusia dan alam keseluruhannya, jika tidak rahmat kehadiran Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ? Sebagaimana firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah al Anbiya' ayat 107;

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

“Dan tidaklah Kami utuskan engkau (Wahai Muhammad ) kecuali sebagai rahmat bagi seluruh alam.”


Oleh itu, marilah kita rebut peluang ini dan moga kita digolongakan oleh Allah سبحانه وتعالى dalam kalangan hamba-hambaNya yang bergembira dengan kurniaan dan rahmat Allah سبحانه وتعالى , amin.

Shollu 'ala Khairil anam!

11 Robi' al Thani 1432H/16 Mac 2011M
Gombak.

Wallahu a'lam.


Rujukan;

Rakaman khutbah Juma'at oleh al Musnid Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki
حفظه الله

Bingkisan dari tulisan al Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll al Sanariyy dari kitab beliau Persoalan Khilafiyyah dan Penjelasan Ulama', Inilah jawapannya.