Thursday, February 10, 2011

Hormati mereka!

بسم الله الرمن الرحيم


Segala Puji Bagi Allah Ta'ala yang telah mengutuskan Rasul-Nya yang mulia, Penghulu kita Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم yang membawa rahmat ke seluruh alam.

Selawat dan salam Allah moga sentiasa dan selamanya ke atasmu Ya Rasulallah pada setiap kerlipan mata dan hembusan nafas sebanyak luasnya ilmu Allah. Juga ke atas ahli keluarganya dan para Sahabat رضي الله تعالى عنهم yang mulia lagi berjasa dan orang-orang tetap mengikuti jalan mereka.

Sekadar berkongsikan satu tulisan yang diambil dari laman http://jomfaham.blogspot.com/ tentang para Ulama' Hadith yang perlu kita hayati, memandangkan terdapat segelintir manusia yang jahil menuduh para Ulama' dengan tuduhan-tuduhan yang tidak layak dilemparkan kepada mereka.

Siapa kita untuk memperlekehkan mereka? Tinggi mana sudah ilmu dan makrifah kita sehingga mengeluarkan kata-kata nista terhadap mereka? Cerminlah diri kita.

Selamat membaca.


Wallahu a'lam.



Kesungguhan Para Ulama Hadith Yang Perlu Dihayati

Penulis : Ustaz al-Aman

Seorang sahabat Nabi Sollallahualaihiwasallam, Jabir bin Abdillah radiyallahuanhuma menempuh jarak sejauh sebulan perjalanan semata-mata untuk bertemu Abdullah bin Unais demi sebuah hadith. Bayangkan, demi hanya sebuah hadith, Jabir sanggup menempuk jarak yg jauh sedangkan beliau antara sahabat yg paling banyak meriwayatkan hadith. Beliau meriwayatkan sebanyak 1540 buah hadith.

Seorang tabi'i, Rufai' bin Mihran Ar-Riyahi Al-Basri rahimahullah (wafat 93 H) yg terkenal dengan gelaran Abul 'Aliyah berkata
"Kami mendengar riwayat daripada sahabat-sahabat Nabi Sollallahualaihiwasallam di Basrah, kami tidak redha sehinggalah kami bermusafir ke Madinah lalu kami mendengarnya daripada mulut-mulut mereka sendiri."


Imam Sa'id bin Al-Musayyib atau Al-Musayyab rahimahullah, alim besar Madinah (wafat 94 H) berkata,
"Aku bermusafir selama berhari-hari termasuk malamnya untuk mendapatkan sebuah hadith." Siapakah beliau? Beliau merupakan antara individu yg digelar Sayyidut Tabi'in!


Seorang tabi'i terkenal, 'Amir bin Syarahil Al-Kufi rahimahullah atau terkenal dengan gelaran As-Sya'bi (wafat 103 H) keluar dari Kufah menuju ke Madinah kerana tiga buah hadith yg disebut kepadanya.

Manuskrip Kitab Sahih Bukhari yg terdapat di Indiana University Bloomington yg dibuka kepada umum

Imam Ibnul Jauzi rahimahullah berkata, "Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah mengelilingi dunia sebanyak dua kali sehinggalah beliau menghimpunkan Al-Musnad." Beliau merentas dunia menuju Syam, Maghribi, Algeria, Mekah, Madinah, Hijaz, Yaman, Iraq, Parsi, Khurasan .... kemudian beliau pulang kembali ke Baghdad.

Imam Baqiy bin Makhlad Al-Andalusi rahimahullah (lahir 201 H, wafat 276 H) berjalan kaki dari Andalus (Sepanyol) ke Baghdad semata-mata untuk menemui Imam Ahmad bin Hanbal dan mempelajari hadith daripadanya. Usianya ketika itu lebih kurang 20 tahun. Tiba di sana, beliau hanya mampu mempelajari hadith di sebalik pintu gara-gara fitnah yg menimpa Imam Ahmad. Setiap hari, hanya beberapa buah hadith diperolehi. Berkat kesabaran dan kesungguhannya, sebanyak 300 buah hadith telah didengari.

Imam Ibnu Abi Hatim Ar-Razi rahimahullah menceritakan kehebatan bapanya, Imam Abu Hatim Muhammad bin Idris Ar-Razi rahimahullah (lahir 195 H, wafat 277 H). Beliau bermusafir dari Kufah ke Baghdad berkali-kali. Begitu juga dari Mekah menuju ke Madinah. Dari sebuah tempat berdekatan Madinah Sala pula menuju ke Mesir dengan hanya berjalan kaki. Beliau juga menempuh perjalanan berjalan kaki dari Mesir ke Ar-Ramlah. Dari Ar-Ramlah ke Baitul Maqdis, 'Asqalan dan Tobariyah. Dari Tobariyah pula ke Damsyik. Dari Damsyik ke Hims. Dari Hims ke Antakia. Dari Antakia ke Tarasus. Dari Tarasus, beliau kembali semula ke Hims. Kemudian ke Baisan dan ke Ar-Raqqah. Dari Ar-Raqqah, beliau mengharungi Sungai Furat menghala ke Baghdad. Usianya ketika itu hanyalah 20 tahun. Jarak yg terlalu jauh ditempuh dengan hanya berjalan kaki. Pengembaraan kali pertamanya memakan masa 7 tahun manakala pengembaraan kali keduanya pula selama 3 tahun.

Ibnul Muammal rahimahullah berkata,
"Tiada negeri yg tidak dimasuki oleh Al-Fadhlu As-Sya'rani rahimahullah (wafat 282 H) untuk menuntut Ilmu Hadith kecuali Andalus."


Al-Hafiz Al-Arghiyani rahimahullah (lahir 223 H, wafat 315 H) berkata,
"Aku tidak mengetahui (wujudnya) mimbar dari mimbar-mimbar Islam yg masih tidak dimasuki oleh aku untuk mendengar hadith."


Ibnul Muqri' rahimahullah berkata,
"Aku mengelilingi timur dan barat sebanyak empat kali."

Al-Hafiz Al-Faqih Abu Sa'd As-Saman Ar-Razi rahimahullah (wafat 445 H) mengelilingi dunia dari timur ke barat dengan berjalan kaki. Bilangan syeikhnya mencapai jumlah 3600 orang!

Al-Hafiz Abul Fityan Umar Ar-Rowwasi rahimahullah (lahir 428 H, wafat 503 H) telah putus jarinya ketika pengembaraan ilmunya di kawasan yg bersangatan sejuknya. Beliau merupakan seorang alim besar sehinggakan gurunya sendiri, Abu Bakar Khatib Al-Baghdadi dan Imam Ghazali meriwayatkan daripadanya. Bahkan Imam Ghazali amat memuliakannya di dalam majlisnya.

Ketika di Iskandariyah, Abu Tohir As-Silafi rahimahullah tidak pernah keluar ke taman melainkan sekali. Kebanyakan masanya dihabiskan di madrasahnya. Para pelajar membacakan hadith di hadapannya sedang usianya ketika itu menjangkau 100 tahun! Kehidupannya benar-benar dihabiskan sebagai khadam kepada ilmu hadith.

Imam Ibnu A'bdil Daim Al-Maqdisi rahimahullah (lahir di Nablus 575 H, wafat di Damsyik 668 H) meriwayatkan hadith selama 60 tahun. Beliau merupakan guru kepada para ulama terbilang seperti Ibnul Hajib, Imam Nawawi, Ibnu Daqiq Al-'Id, Ibnu Taimiyah, Ad-Dimyati dan Ibnul Khabbaz rahimahumullah.

Al-Hafiz Muhammad bin Tohir Al-Maqdisi rahimahullah (wafat 507) kencing berdarah sebanyak dua kali ketika pengembaraannya menuntut ilmu hadith. Beliau sanggup menempuh jarak yg amat jauh ketika panas yg amat terik.

Al-Hafiz Abu Sa'd As-Sam'ani rahimahullah (lahir 506 H, wafat 562 H) mengembara selama lebih kurang 20 tahun. Ibnu Najjar rahimahullah berkata,
"Aku pernah mendengar seseorang berkata bahawa bilangan syeikhnya seramai 7000 orang!"


Bapanya membawanya ke Naisabur, Kota Ulama Muhaddith pada tahun 509 H. Usianya ketika itu hanya 3 tahun setengah. Beliau telah merantau ke lebih daripada 100 buah bandar. Pengembaraannya secara keseluruhan memakan masa lebih kurang 23 tahun! Jangan lupa bahawa sistem pengangkutan yg paling bagus di zaman itu hanyalah binatang tunggangan dan ianya bagi mereka yg berkemampuan sahaja. Jika tidak, maka mereka akan berjalan kaki.


Golongan penuntut dan Ulama Ilmu Hadith ialah sekelompok manusia yg terpilih. Mereka cintakan pembacaan dan pengajian hadith. Mereka sanggup menghabiskan harta dan masa demi kalam Rasulullah Sollallahualaihiwasallam. Bergerak dari sebuah negeri ke sebuah negeri. Jarak yg jauh rela diredah. Menempuh perjalanan ketika panas yg terik dan sejuk yg membeku. Membelah lautan, meredah lembah. Dengan rambut yg penuh debu, kaki yg pecah-pecah, haus serta lapar. Namun, segala-galanya tidak pernah menghalang sebuah pengembaraan ilmu.

Jika Islam diserang, mereka bingkas dan bangkit menentang. Bersenjatakan ilmu dan segenap pengetahuan. Mereka menyerang ibarat singa lapar dari hutan belantara. Segala-galanya demi mempertahankan kesucian Islam. Maka, kitab-kitab disalin dan ditulis sebagai warisan untuk umat zaman berzaman.

Mereka ialah kaum yg berjaga malam untuk membaca dan menulis. Tangan mereka sering menggosok-gosok mata untuk menghilangkan rasa mengantuk. Ketahuilah, merekalah pembela Islam! Pemergian mereka diratapi seluruh alam.

Mereka diuji dengan pelbagai rintangan. Jika kita ingin mengikut jejak langkah mereka, maka bertahanlah dengan rintangan yg mendatang. Apalah sangat cubaan dan cabaran yg terpaksa kita hadapi jika dibandingkan dengan para ulama terdahulu. Penat dan lelah mereka tidak terbayar walau dengan dunia dan segala isinya.

Berdoalah mudah-mudahan kita dihimpunkan bersama mereka di akhirat kelak, bertemankan Nabi Muhammad Sollallahualaihiwasallam.

-------------------------------------------------

Kepada mereka yg menyertai Majlis Pembacaan Kutub Sittah, manfaatkan peluang yg ada. Beradab ketika majlis berlangsung. Hayati kesungguhan dan semangat para ulama Hadith. Saya sedih kerana tidak mampu menghadirinya atas sebab-sebab yg tidak dapat dielakkan.

Kepada Adhoc Majlis Pembacaan Kutub Sittah, berusahalah bersungguh-sungguh untuk menjayakan program mega ini. Anda terpilih untuk berkhidmat kepada para penuntut ilmu.


Sumber : Http://al-aman.blogspot.com

No comments:

Post a Comment