Showing posts with label Sarawak. Show all posts
Showing posts with label Sarawak. Show all posts

Tuesday, April 15, 2014

Kemasukan Sesi Jun 2014 ke Kolej Islam As-Sofa



 Daftar kolej!



Kolej Islam As-Sofa (no. pendaftaran: DK047(B) menawarkan peluang untuk membuat diploma selama 2 tahun sahaja dalam jurusan:


Diploma Pengajian Islam (Syariah Islamiyyah)
Diploma Pengajian Islam (Usuluddin)
Diploma Kewangan dan Perbankan Islam

Akan datang:
Diploma Tahfiz Al-Quran dan Qiraat
DAN, seterusnya peluang untuk menyambung ijazah selama (paling cepat) SATU TAHUN SAHAJA di:

Maghribi
Sudan
Jordan
Indonesia
atau IPT tempatan

PENDAFTARAN DIBUKA SEKARANG UNTUK KEMASUKAN 2 JUN 2014!!
Daftar secara online di www.assofacollege.edu.my/daftarkolej

Atau hubungi:
Tel.: 03-42664408 / 011-23322145
SMS / WhatsApp: 019-8285019
Email: admin@assofacollege.edu.my

Apakah syarat kelayakan?
Syarat minima untuk kemasukan ke Kolej Islam As-Sofa hanyalah 3 kredit dalam SPM (mana-mana subjek) DAN lulus salah satu subjek pengajian Islam.

Kalau saya tidak pernah belajar Bahasa Arab, layak kah?
Boleh, tidak pernah belajar Bahasa Arab juga boleh masuk. Pelajar yang tidak mempunyai asas Bahasa Arab akan mengambil satu kelas tambahan pada semester pertama untuk belajar asas Bah asa Arab daripada pensyarah Bahasa Arab yang didatangkan khusus daripada Mesir.

Apakah had umur untuk kemasukan?
Tiada had umur, yang penting memenuhi syarat kelayakan di atas.

Adakah kolej ini telah mendapat pengiktirafan?
Ya, Kolej Islam As-Sofa berdaftar secara sah dengan Kementerian Pelajaran dan telah mendapat sijil pengiktirafan daripada MQA bagi semua program-program yang ditawarkan.

Berapakah yuran pengajian di Kolej ini?
Yuran pengajian di Kolej Islam As-Sofa adalah RM2,500 setiap semester. Ada 6 semester semuanya bermakna jumlah yuran pengajian adalah RM15,000. Yuran asrama pula adalah RM150 sebulan.

Adakah pinjaman disediakan?
Ya, setelah mendaftar, pihak Kolej akan menguruskan permohonan para pelajar untuk mendapatkan pinjaman PTPTN atau MARA. Malah, Kolej Islam As-Sofa juga menawarkan sejumlah biasiswa kepada pelajar yang cemerlang dan pelajar yang tidak berkemampuan.

Apakah peluang pekerjaan bagi graduan Kolej ini?
Peluang pekerjaan bagi graduan bidang pengajian agama daripada Kolej Islam As-Sofa teramat luas. Para graduan boleh menceburi bidang pendidikan, ekonomi, perundangan, pentadbiran, industri halal, kajian dan penyelidikan, penulisan, pengurusan, kewangan dan perbankan, perniagaan, dan sebagainya.

Apakah lagi keistimewaan di Kolej ini?
Keistimewaan lain di Kolej Islam As-Sofa:
- fasiliti yang sangat selesa
- integrasi pengajian turath dan sistem moden
- pengajian ilmu agama secara bersanad
- peluang bertemu ulama sedunia
- peluang mengkhatamkan sunan sittah
- dapat bertalaqqi kitab-kitab turath
- perpustakaan yang kaya dengan rujukan berkualiti
- kemudahan penginapan, kedai makan, kedai dobi
- akses Internet berkelajuan tinggi
- dan banyak lagi!

Bagaimana untuk mendaftar?
Daftar secara online di www.assofacollege.edu.my/daftarkolej

-----
Kolej Islam As-Sofa
D-1-03, Jalan 16A, Desa Permai,
Taman Dato Ahmad Razali,
68000 Ampang, Selangor.
Tel.: 03-42664408
Faks: 03-42665408


Hanya di Kolej Islam As-Sofa

~Integrasi pengajian turath dan moden. 

~Peluang bersuhbah dengan ulama'.

~100% berteraskan Ahli Sunnah wal Jama'ah dan mungkin satu-satunya Kolej Ahli Sunnah wal Jama'ah di Malaysia.

~Sebarang pendaftaran dan pertanyaan sila hubungi nombor yang tertera atau boleh hubungi saya, Nu'aim di 013-3557119 melalui call/sms/wechat/whatsapp/telegram/viber.

Tuesday, November 22, 2011

Majlis Ilmu Di Tempat Anda..

بسم الله الرحمن الرحيم




DAURAH PERKAMPUNGAN ILMU 2011 - 28 NOVEMBER HINGGA 4 DISEMBER 2011
MADRASAH AL KHAIRAT, KUCHING, SARAWAK.


UNTUK MENDAFTAR, SILA HUBUNGI FAZRUL - 010 963 4716 ATAU SYAMIMI - 014 590 7282








UMMAH TALK - UKM, BANGI

22 NOVEMBER 2011 - AL FADHIL USTAZ MUHADIR BIN HAJI JOLL AL SANARIYY,
PENSYARAH UIAM.

29 NOVEMBER 2011 - SYEIKH ROHIMUDDIN NAWAWI AL BANTANI AZMALKHAN, PENASIHAT MARKAZ AL JAILANI ASIA TENGGARA.

6 DISEMBER 2011 - AL FADHIL USTAZ NUSHI BIN MAHFODZ, KETUA JABATAN SYARI'AH BAHAGIAN MATRIKULASI KUIS.








UM BERSELAWAT - SEMPENA SAMBUTAN MA'AL HIJRAH 1433 H









CASIS SPECIAL LECTURE SERIES - HISTORICAL FACT & FICTION WITH
Y.M. TAN SRI PROF. DR SYED MUHAMMAD NAQUIB AL 'ATTAS









KURSUS MIFTAH AL 'ILMI - JOM DAFTAR SEGERA






PROGRAM TALAQI INTENSIF 2012 BERSAMA AL MUSNID SYEIKH MUHAMMAD FUAD BIN KAMALUDIN AL MALIKI Hafizhahullah.

SELAMA 3 HARI 2 MALAM, MENGKHATAMKAN KITAB 'AQIDAH ISLAM.

BERTEMPAT DI BAYT AL HIKMAH, AMPANG, SELANGOR.

TEMPAT ADALAH TERHAD, DAFTAR SEKARANG DI SINI.





Sila sebarkan untuk manfaat ummat Islam :)


Wallahu a'lam.



25 Zulhijjah 1432H / 22 November 2011M
Gombak.

Sunday, May 1, 2011

Sayyidatina Khadijah al Kubro رضي الله تعالى عنها

بسم الله الرحمن الرحيم


Sumber:
http://akhienaim.blogspot.com/2011/05/seminar-memperingati-ketokohan-sayyidah.html
http://almukminun.blogspot.com/2011/04/sayyidatina-khadijah-al-kubro-isteri.html
http://seminarkhadijah.blogspot.com/


Seminar Memperingati Ketokohan Sayyidah Khadijah al Kubro رضي الله تعالى عنها

Jibril 'alayhissalam berkata (yang bermaksud): "Wahai Muhammad! Khadijah telah datang kepadamu dengan membawa bekas yang berisi lauk-pauk dan makanan. Apabila dia datang kepadamu, maka sampaikanlah salam daripada Tuhannya dan daripadaku kepadanya."

Apabila Khadijah radhiyallahu 'anha datang, Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam menyampaikan salam tersebut kepadanya. Lalu Sayyidah Khadijah radhiyallahu 'anha menjawab (yang bermaksud): "Allah adalah al-Salam (Maha Memberi Kesejahteraan) dan daripadaNyalah jua kesejahteraan, semoga kesejahteraan sentiasa dilimpahkan kepada Jibril juga."

[Hadith riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim]

"Sayyidatuna Khadijah al Kubra radhiyallahu 'anha adalah wanita unik yang sepatutnya diletakkan namanya di barisan hadapan dalam senarai Srikandi Islam. Tanpanya dan tanpa pengorbanan jiwa dan raga wanita contoh sepertinya, kemungkinan kita tidak akan dapat mengecapi nikmat Iman dan Islam sepertimana yang kita kecapi pada hari ini." - Sheikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki

Kepada seluruh umat Islam di bumi Kenyalang, khususnya muslimat, anda dijemput menghadiri program yang julung kali diadakan ini; Seminar Memperingati Ketokohan Sayyidah Khadijah al-Kubro.





Turut menampilkan Habib 'Ali Zainal Abidin al-Hamid.


Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi saudari Shamsiah Mahli di talian 019-8212606.

---------------------------------------------------------------------------------------------------

Sayyidatina Khadijah Al-Kubro [Isteri Setia & Pejuang di Sisi Suami Yang Mulia] : Bersempena Hol Sayyidatina Khadijah Al-Kubro 1432Hijriah.


بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن نصره ووالاه


Sayyidatina Khadijah Khuwalid dikenali sebagai insan pertama di sisi Sayyiduna Muhammad Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam yang membenarkannya. Menjadi wanita pertama sebagai umat Islam disisi suaminya yang tercinta. Beliau membenarkan Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam disaat ramai yang mengatakan Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam berdusta atas nama kerasulan.


Beliau Sayyidatina Khadijah merupakan anak kepada Khuwalid Bin Asad dan ibunya ialah Fatimah Binti Ziyadah. Mereka berketurunan Ibnu Hasyim dan bapanya merupakan seorang pedagang yang berjaya. Kejayaan ini diteruskan oleh Sayyidatina Khadijah dalam urusan keusahawanan. Di antara gelaran beliau ialah Ameerat-Quraish (Puteri Quraisy), al-Tahira (yang suci) dan Khadijah Al-Kubro (yang hebat).


Sayyidatina Khadijah Al-Kubro merupakan satu-satunya isteri yang Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam nikahi sehingga beliau wafat. Betapa cinta dan setianya kasih yang dicurahkan oleh Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam kepada wanita yang sentiasa setia disisi Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam.


Beliau mententeramkan Nabi Shollallahu Alaihi Wassalam disaat ketakutan berdepan wahyu pertama, diselimutkan ketika wahyu kedua diturunkan oleh ALLAH Subhanahu Wa Taala melalui Jibrail Alaihi Salam. Beliau Sayyadatina Khadijah Al-Kubra teguh membela suaminya ketika dicaci dan dihina oleh musyrik Makkah.



وَإِذْ قَالُوا اللَّهُمَّ إِنْ كَانَ هَذَا هُوَ الْحَقَّ مِنْ عِنْدِكَ فَأَمْطِرْ عَلَيْنَا حِجَارَةً مِنَ السَّمَاءِ أَوِ ائْتِنَا بِعَذَابٍ أَلِيمٍ،



“ketika mereka berkata (Kata ALLAH) orang – orang Quraisy, berkata ‘wahai ALLAH (mereka juga percaya kepada ALLAH, orang Quraisy musyrikin itu percaya kepada ALLAH juga, dan mereka percaya ada 360 tuhan berhala lainnya selain ALLAH Subhanahu Wa Taala) jika Muhammad ini membawa kebenaran buktikan dengan turunnya hujan batu untuk kami dan dengan datangnya siksaan yang pedih sebagai bukti bahwa beliau ini membawa kebenaran”
[ Al Anfal : 32]



Bahkan, sebelum mereka ditakdirkan dinikahkan, beliau mengungkapkan bahawa Nabi Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam yang belum diangkat sebagai Nabi merupakan bukan manusia biasa!. ALLAHU ALLAH.


Bukan Pengorbanan Biasa


Bukan pengorbanan biasa yang ditunjukkan oleh Penghulu Wanita di syurga ini buat suaminya, ikhlas untuk mencari keredaan ALLAH Subhanahu Wa Taala. ALLAH Maha Adil dalam memberi rahmat-Nya. Setiap amalan yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan pasti mendapat ganjaran yang berkekalan. Firman ALLAH yang bermaksud:


Barang siapa yang mengerjakan amalan sholeh, baik lelaki mahupun wanita dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan. [An-Nahl: 97]


Kehidupan yang dilalui oleh Sayyidatina Khadijah Khuwalid bersama Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam amat bahagia. Suatu ketika, Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam menceritakan pengalaman yang dilalui oleh Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam di gua Hira, “Aku khuatir dengan apa yang berlaku pada diriku”, Sayyidatina Khadijah Khuwalid berkata, “Demi ALLAH, DIA tidak akan menghinakan dirimu selama-lamanya!, Engkaulah penyambung silaturahim kerabat, pemikul beban orang lain yang mendapat kesusahan, pemberi dan meraikan orang yag papa, sangat menghormati tetamu juga pejuang dalam menegakkan kebenaran”. Beliau menenangkan Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam ketika Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam dilanda derita.


Seorang isteri tidak sesekali merendahkan suaminya dihadapan orang ramai. Bahkan dia memuliakan dengan hak dan tidak berlebih-lebihan. Barangkali keadaan ini sesuai dengan zaman mutakhir.


Beliau berkorban dengan setiap hari menaiki bukit Gua Hira mengirimkan Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam makanan. Bayangkan sejauh dua kilometer jaraknya setiap hari, beliau korbankan dirinya demi Nabiyullah, Sayyiduna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam. Beliau menajdi kayu ukur kepada para wanita zaman ini, betapa pengorbanan kepada seorang suami yang sholeh bukan pekerjaan yang sia-sia.


Sedih Tidak Di Kalangan Mereka


Kita sedih kerana tidak berada di kalangan mereka yang terpilih untuk duduk dan merasai kebahagiaan menatap wajah Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam, bahkan para wanita kita barangkali merasa dukacita kerana jauh daripada peribadi agung Sayyidatina Khadijah Binti Khuwalid. Tetapi, ALLAH Subhanahu Wa Taala memujuk kita :



النَّبِيُّ أَوْلَى بِالْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنْفُسِهِمْ وَأَزْوَاجُهُ أُمَّهَاتُهُمْ

“Nabi Shollallahu Alaihi Wasallam itu lebih patut kau dahulukan dari diri kalian sendiri, dan istri beliau saw adalah ibunda ibunda orang mukmin”
[Surah Al Ahzab : 6]


Beliau melalui saat-saat sakaratulmaut ditemani suami tercinta, Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam. Dalam keadaan kesakitan yang teramat sangat itu, Sayyidatina Khadijah Al-Kubro mengungkapkan kata-kata yang menyebabkan Jibril juga “merasa”. Bahkan umat sehingga ke akhir zaman ini juga turut menitiskan airmata mengenangkan betapa mulianya peribadi isteri kesayangan Rasulullah Shollalahu Alaihi Wassalam ini.

Katanya :, “Wahai Rasul utusan ALLAH, tiada lagi harta dan perkara lainnya yang bersamaku untuk aku sumbangkan demi dakwah. Andai selepas kematianku, tulang-tulangku mampu ditukar dengan dinar dan dirham, maka gunakanlah tulang-tulangku demi kepentingan dakwah yang panjang ini”. Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam berasa sayu mendengar semua itu. Jibril Alaihi Salam naik bertemu ALLAH Subhanahu Wa Taala.


ALLAH Subhanahu Wa Taala menjawab pertanyaan Jibril Alaihi Salam, bukan hanya kata-katanya sahaja yang Aku dengari malah bisikannya juga. ALLAH memerintahkan Jibril Alaihi Salam menyampaikan salam buat Saidatina Khadijah Binti Khuwalid.


Jibril Alaihi Salam lalu turun dan memberitahu kepada junjungan mulia Sayyiduna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam akan hal itu. Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam menyampaikan salam tersebut kepada isterinya yang tercinta. Di dalam kitab Shahih Bukhari dari Abu Hurairah, dia berkata, “Jibril Alaihi Salam mendatangi Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam seraya berkata, ‘Wahai Rasulullah, Inilah Khadijah. Dia telah datang dengan membawa bejana, di dalamnya ada lauk pauk, makanan dan minuman. Bila nanti mendatangimu, maka sampaikan salam Rabbnya kepadanya serta beritakan kepadanya khabar gembira perihal istana untuknya di Syurga yang diperbuat dari mutiara, yang tidak ada kebisingan mahupun rasa lelah di dalamnya.” ALLAH...ALLAH...ALLAH...YA ..... ALLAH.


WALLAHU’ a’lam


"Islam itu ditegakan di atas harta Khadijah dan Abu Bakar As-Siddiq”


Al-Fatihah ila ruhi Sayyidatina Khadijah Al-Kubro


وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم


Almukminun

27 Jamadilawal 1432 H / 30042011

Sepang,Selangor,Malaysia

Tuesday, March 29, 2011

Siapa sebenarnya golongan Ahlu Sunnah wal Jama'ah?

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله ربّ العالمين, والصّلاة والسّلام على
أشرف الأنبياء والمرسلين سيّدنا محمّد
وعلى آله وصحبه أجمعين


Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Sekadar berkongsikan tulisan Dr. Asmadi Mohamed Naim di blog beliau yang bertarikh 22 Disember 2009 bertajuk Golongan Ahlusunnah wal Jama'ah. Boleh klik di sini untuk baca terus dari blog tersebut.

Untuk sama-sama kita baca dan nilai, siapakah sebenarnya golongan Ahlu Sunnah wal Jama'ah? Menurut Imam Ahlu Sunnah wal Jama'ah, Imam al Baghdadi رضي الله عنه dalam kitab beliau al-Farq Baina al-Firaq. Moga kita mendapat manfaat daripadanya dan digolongkan oleh Allah Ta'ala dalam kalangan Ahlu Sunnah wal Jama'ah.


Wahai Allah yang menerima doa
bagiku di Madinah seorang kekasih

Aku mengharap syafaatnya
agar terhapus segala dosa

~Maksud Qosidah~



Wallahu a'lam.



GOLONGAN AHLUSSUNNAH WAL JAMAAH

Alhamdulillah, artikel ini akhirnya diterbitkan oleh Utusan Malaysia, 23 Disember 2009. Sila klik pada tajuk sekiranya saudara ingin membaca terus dari Utusan Malaysia dengan tajuk: 'Golongan Ahlussunnah menurut Imam al-Baghdadi'. Selamat membaca.

Golongan Ahlusunnah wal Jamaah

Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim

Saya membaca tulisan mengenai makna atau definisi Ahlu al-sunnah wal Jamaah (ASWJ) oleh Dr MAZA pada pertengahan November 2009 lepas dalam Utusan Malaysia. Penulis mengutip definisi Ahlussunnah yang ditulis oleh Imam al-Baghdadi (wafat429H) dalam kitabnya al-Farq Baina al-Firaq. Namun malangnya perkataan 'al-turuq al-sifatiah' atau 'jalan-jalan sifat' dalam definisi tersebut diabaikan. Walhal itulah antara perkara yang penting bagi menentukan samada tauhid yang mensyarahkan sifat-sifat adalah sesuatu yang baru atau sememangnya sudah lama. Pada saya, ada sedikit masalah 'amanah ilmu' bila dia tidak menerangkan secukupnya maksud al-Baghdadi bila mensyarahkan pengertian ASWJ (atau mungkin dia tidak sengaja). Penulis juga tidak memperjelaskan penerangan Imam al-Baghdadi (selepas memetik definisi Imam itu) berkaitan dengan definisi tersebut.

Demikian juga, ada sebuah lagi penulisan yang menceritakan aliran pemikiran tauhid di Nusantara yang merujuk bahawa aliran yang mensyarahkan Sifat 20 hanyalah muncul selepas tahun seribu Hijrah melalui Imam Sanusi dengan kitabnya Umm al-Barahin. Penulis tidak merujuk kemunculan metode tersebut kepada penyusunnya yang sebenar iaitu Abu Hassan al-Asy'ari (wafat324H) yang muncul pada akhir kurun ke 3 Hijrah (atau mungkin dia juga tidak sengaja).


Dalam kesempatan ini, saya hanya mahu menjelaskan siapakan Ahlussunnah menurut penulisan Imam al-Baghdadi yang telah menjadi rujukan definisi ASWJ supaya pembaca dapat memahaminya secara jelas. Bagi pembaca-pembaca yang berupaya membaca bahasa Arab, boleh merujuk terus kepada kitab Imam ini. Imam al-Baghdadi Rahimahullah menyatakan (hal.19):

"Maka golongan yang ke 73 ialah Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu golongan ahl al-ra'y (Abu Hanifah dan murid-muridnya) dan ahlu al-hadis; bukan mereka yang mempermain-mainkan hadis; dan ulama fekah mereka, penghafal al-Quran mereka, perawi hadis dari mereka, dan ulama hadis di kalangan mereka, semuanya sepakat atas keesaan pencipta, keesaan sifat-sifatNya, keadilanNya, hikmahNya, dan nama-namaNya dan pada bab kenabian dan kepimpinan, hukum hudud, dan pada perkara usuluddin."


Seterusnya, Imam al-Baghdadi Rahimahullah memperincikan LAPAN (8) golongan yang termasuk dalam Ahlusunnah wal Jamaah (lihat bukunya dari halaman 240-243):

Golongan pertama, mereka yang menguasai ilmu khususnya dalam bab Tauhid (meng-esa-kan Allah) dan kenabian, hukum-hukum wa'ad (khabar gembira) dan wa'id (ancaman siksa), pahala dan balasan, syarat-syarat ijtihad, pemerintahan dan kepimpinan. Mereka yang melalui jalan ini ialah ulama Kalam (Tauhid) yang bebas dari fahaman tasybih (menyerupakan sifat Allah dengan makhluk) dan bebas dari fahaman ta'til (yang menafikan sifat-sifat yang Azali bagi Allah SWT)), dan bebas dari bidaah al-Rafidhah, Khawarij, Jahmiah, Najariah dan seluruh pengikut bidaah dan hawa nafsu.

Golongan kedua ialah imam-imam fiqh samada kumpulan yang cenderung pada rakyun (dalil aqal) atau hadith. Iaitu mereka yang beriktikad (berkeyakinan) pada perkara usuluddin dengan mazhab-mazhab sifat pada Allah dan pada sifat-sifatnya yang azali (membicarakan sifat-sifat Allah SWT sebagaimana sifat 20), dan mereka bebas dari fahaman Qadariah dan Muktazilah; mereka menetapkan melihat Allah Taala dengan mata (di akhirat kelak) dengan mata tanpa tasybih (menyerupakan Allah dengan makhluk), tanpa ta'til' (menafikan sifat-sifat Allah).

Termasuk dalam golongan ini ialah murid-murid kepada Malik, al-Shafie, al-Auza'i, al-Thauri, Abu hanifah, Ibn Abu Laila (wafat148H), sahabat-sahabat Abu Thaur (wafat240H), sahabat-sahabat Ahmad bin Hanbal (wafat241H), ahli al-Zahir, keseluruhan ulama fiqh yang beriktikad dalam bab-bab akal ini dengan prinsip-prinsip Sifat (tauhid yang membahaskan Sifat-sifat Allah). Dan mereka tidak mencampurkannya dengan apa-apa dari ahli bidaah dan hawa nafsu.

Golongan ketiga ialah mereka yang menguasai ilmu-ilmu yang berkaitan dengan periwayatan hadith dan sunnnah yang disampaikan oleh Nabi SAW, mereka berupaya membezakan antara sahih dan cacat antaranya, mengetahui sebab-sebab 'al-jarh wa al-ta'dil' (kredibiliti seorang rawi), dan mereka tidak memasukkan ilmu mereka dengan apa-apa dari ahli bidaah dan nafsu yang menyesatkan.

Golongan ke empat ialah kaum yang menguasai kebanyakan topik-topik sastera Arab, nahu dan saraf. Mereka berada atas jalan pakar bahasa seperti al-Khalil (wafat175H), Abu 'Amr bin al-'Ala` (wafat 145), Sibawaih (wafat 180H), al-Farra' (wafat 207H), al-Akhfash (wafat 215H), al-Asma'i, al-Mazini (wafat 236H), Abu Ubaid (wafat 224H) dan seluruh imam-imam Nahu samada ulama-ulama Kufah atau Basrah, yang mana mereka tidak mencampurkan ilmu mereka dengan sesuatu dari bidaah al-Qadariah, atau Rafidhah atau Khawarij. Maka sekiranya seseorang itu cenderung ke arah nafsu yang menyesatkan, maka bukanlah ia dari golongan Ahlussunnah walaupun kata-katanya adalah 'hujah' dalam ilmu bahasa dan Nahu.

Golongan ke lima, antaranya ialah mereka yang menguasai ilmu yang berkaitan dengan jenis-jenis qiraat untuk al-Quran, dan jenis-jenis tafsiran al-Quran, penakwilannya berdasarkan mazhab-mazhab Ahlussunnah, tanpa berpegang dengan takwilan ahli nafsu yang sesat.

Golongan ke enam ialah, antaranya ialah para ahli zuhud sufi yang mempunyai ilmu maka jauh pandangan, yang telah dinilai maka ia diiktibarkan, mereka redha dengan hidup yang ringkas, mereka mengatahui bahawa penglihatan, pendengaran dan hati dipertanggungjawabkan terhadap kebaikan dan kejahatan; menghisab dengan neraca zarah-zarah, justeru menyediakan diri mereka dengan sebaik-baik perisapan untuk hari Kiamat. Perkataan mereka berjalan di atas dua jalan iaitu secara jelas dan isyarat di atas jalan ahli hadis, tanpa mereka 'membeli' pandangan yang mempermainkan hadis. Mereka tidak melakukan kebaikan kerana riak, tidak pula meninggalkan kebaikan kerana malu kepada orang lain. Agama mereka hanya satu dan menafikan 'pentasybihan' (menyerupakan Allah dengan makhluk), mazhab mereka ialah tafwidh (menyerahkannya) kepada Allah SWT, bertawakkal kepadanya, penyerahan kepada-Nya, tenang dengan apa yang direzekikan-Nya.

Golongan ke tujuh ialah, antaranya kaum yang terikat dengan barisan hadapan peperangan dengan orang-orang kafir, berjihad melawan musuh-musuh Islam, mereka menjadi benteng melindungi umat Islam, meninggalkan isteri-isteri mereka dan negara mereka, dan menzahirkan pada barisan hadapan mereka Mazhab ASWJ.

Golongan ke lapan ialah, antaranya kebanyakan negara-negara yang secara kebiasaannya terdapat syiar ASWJ, bukannya negara yang menzahirkan syiar ahli hawa-nafsu yang sesat.

Itulah huraian sebenar al-Imam Abdul Qahir bin Tohir bin Muhammad al-Baghdadi (wafat429H). Rupanya ramai sebenarnya yang diiktiraf sebagai Ahlussunnah. Ia berbeza dengan pandangan yang meminoritikan dan mengekslusifkan ASWJ hanya untuk golongannya sahaja dengan tuduhan sesat dan bidaah pada perkara remeh-temeh seperti qunut, talqin, zikir selepas solat, berdoa beramai-ramai dan sebagainya. Lihat kata Imam al-Baghdadi tentang perkara-perkara cabang (hal. 19):

"Mereka (ASWJ) hanya khilaf mengenai halal dan haram pada cabang hukum, bukanlah khilaf tersebut mengundang kepada sesat dan fasik; mereka adalah puak yang terselamat, kerana mereka bersatu pada keesaan pencipta dan qidamNya, qidam segala sifatnya sejak azali, dan harus melihatNya tanpa sebarang perumpamaan dan gangguan, serta yakin terhadap isi kandungan kitabNya dan rasulNya, dan mengikut segala syariat islam, dan menghalalkan segala yang dihalalkan oleh Al-Quran, dan mengharamkan segala yang diharam oleh Al-Quran, serta menerima apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan beriman pada hari kebangkitan dan perhitungan, dan soal dua Malaikat dalam kubur, beriman dengan telaga Kauthar dan Timbangan".


Semoga masyarakat Islam tidak terbelenggu dengan perpecahan yang lebih parah lantaran perkara-perkara tersebut. Banyak masa yang perlu digunakan untuk memperbetulkan generasi muda yang menyongsang arus dengan pelbagai gejala sosial. Wallahu a'lam.

Thursday, March 24, 2011

Laporan .:KUCHING BERSELAWAT:.

بسم الله الرمن الرحيم

الحمد الله ربّ العالمين, والصّلاة والسّلام على أشرف الانبياء والمرسلين سيّدنا محّمد وعلى آله وصحبه أجمعين






Alhamdulillah, segala Puji Bagi Allah Tuhan sarwa Alam. Dialah yang berhak disembah. Tiada Tuhan melainkan Dia. Segala Puji Bagi Allah yang telah mengutuskan rahmat buat serata alam, Junjungan Mulia Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Selawat dan salam atas baginda, ahli keluarga dan para sahabat Baginda. Semoga Allah merahmati orang-orang yang ikhlas mengikuti jalan mereka sehingga Hari Akhirat kelak, insya-Allah.



Segala Puji bagi Allah, Kuching Berselawat telah diadakan dengan jayanya 18 Mac 2011, Jumaat yang lepas bertempat di Waterfront Square, Kuching Sarawak. Seramai lebih 500 hadirin dan hadirat telah menghadiri program tersebut, terdiri daripada warga Kuching, pengunjung Waterfront termasuk pelancong asing. Program telah dimuliakan dengan kehadiran Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki diiringi Ustaz Syed Muhammad bin Alwi al-Attas (Habib Muhammad). Syeikh Muhammad Fuad merupakan ulama muda yang merupakan Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan dan Pengasas serta Penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan.

Program tersebut merupakan hasil kerjasama daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak, Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS), Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKKWA), Akademi Bestari Muda (ABM), Homestay ABAS, Madrasah al-Khairat, almawlid, Marjan, Heavenly Ensemble dan Alumni ESQ Sarawak. Terima kasih sekalung penghargaan buat individu yang terlibat secara langsung mahupun tidak menjayakan program ini, terutama Pengarah Kuching Berselawat, Ustaz Suhardi bin Edward, mantan Yang Di-Pertua ABIM Negeri Sarawak. Terima kasih juga buat penaja Kuching Berselawat, Petra Energy BERHAD yang telah melicinkan persediaan program.



Bertemakan “Menuju Mahabbah Rasulullah s.a.w,” Kuching Berselawat bertujuan untuk memupuk dan menebarkan budaya selawat di kalangan masyarakat. Sesungguhnya berselawat atas Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam merupakan seruan daripada Allah buat hamba-hamba-Nya:


“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada Nabi (Muhammad sallallahu alaihi wasallam), ‘Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.’” (Surah al-Ahzab, 33 : 56)


Menyebut hal ini, Imam Busairi dalam Qosidah Burdah beliau mengatakan:

“Pujilah apa sahaja kemuliaan yang ada padanya sesuka hatimu,
Dan pujilah apa sahaja keagungan yang layak untuk kedudukannya sekehendakmu,

Kerana sesunnguhnya keagungan dan kelebihan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam itu tiada had baginya,
Sehinggakan lidah dapat mengungkapkan segala keistimewaannya dengan bahasa yang indah”


Mengadakan majlis mawlid dengan iringan qosidah merupakan satu tradisi kebudayaan Islam yang telah disusun oleh para ulama sebagai sarana untuk mendekatkan masyarakat kepada mahabbah Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Ini kerana mencintai baginda sallallahu alaihi wasallam akan membawa kita kepada Tuhan Rabbul Jalil, Allah S.W.T. Hatta, Islam telah tersebar di Nusantara melalui saluran seperti ini, sebagaimana yang telah dimanfaatkan oleh para ulama terdahulu.

Antara acara-acara yang diadakan ialah:


Petang


Qosidah Iftitah daripada Heavenly Ensemble & Madrasah al-Khairat

Persembahan qosidah daripada almawlid, Marjan, Madrasah al-Khairat dan Heavenly Ensemble


Pengunjung yang hadir acara petang


Maghrib
Dipimipin oleh sdr. Syed Abd Hamid, mantan Yang Di-Pertua PERKEPIS
Solat Maghrib dan pembacaan zikir Wirdul Latif oleh Ustaz Hj Muhadir bin Hj Joll

Pengisian tazkirah daripada Fadhilatul Ustaz Hj Muhadir bin Hj Joll


Malam



Tetamu: Habib Muhammad bin Alwi al-Attas & Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki


Ceramah Perdana oleh Fadhilatul Syeikh Fuad


Syukur Alhamdulillah, segalanya telah dilancarkan, dimudahkan oleh Allah S.W.T. Terima kasih khusus buat Syeikh Muhammad Fuad beserta rombongan, kumpulan almawlid dan Marjan yang telah sudi bertandang ke Bumi Kenyalang untuk program Kuching Berselawat. Hakikatnya, Kuching Berselawat merupakan kenangan indah yang sukar dilupakan. Terima kasih kesudian kalian bertandang ke lubuk dakwah ini, yang juga umpama ladang yang subur untuk ditanam benih-benih agama Allah ini.

Terima kasih buat penggerak-penggerak belakang tabir yang telah bertungkus-lumus untuk menjayakan program ini.


AJK Penghias Pentas & Kanopi

AJK Pentas & Teknikal
AJK Promosi & Tugas Khas
AJK Protokol
almawlid, Marjan, Madrasah al-Khairat & Heavenly Ensemble

Semoga sekelumit amalan ini menjadi asbab untuk mendapat redha Allah kelak untuk memasuki Syurga abadi, dan bersemuka dengan sebaik-baik makhluk, Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Amiin...


“Menuju Mahabbah Rasulullah sallallahu alaihi wasalam”

“Berjasa Kepada Masyarakat”

Wednesday, March 16, 2011

KUCHING BERSELAWAT

بسم الله الوحمن الرحيم

Segala Puji dirafa'kan ke hadrat Allah سبحانه وتعالى Tuhan Semesta Alam.

Sholawat dan salam Allah moga sentiasa dan selamanya ke atas pembawa rahmat ke seluruh alam, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , para Sahabat رضي الله تعالى عنهم أجمعين dan orang-orang yang mengikuti mereka hingga Hari Kiamat.


Sila klik pada gamba.

Berita gembira kepada umat Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم khususnya yang berada di Kuching, Sarawak. InshaAllah, pada 18 Mac 2011 bersamaan 13 Rabi' al Thani 1432H akan diadakan majlis "KUCHING BERSELAWAT" yang merupakan salah satu majlis yang menghimpunkan bacaan zikir, sholawat dan salam ke atas Sayyiduna Rasulillah صلى الله عليه وآله وسلم , mendengar pembacaan sirah Baginda صلى الله عليه وآله وسلم serta mendengar nasihat dan peringatan daripada para ulama' yang turut hadir.

Alhamdulillah, antara para ulama' yang sudi untuk hadir serta memberikan pengisian rohani ialah al Musnid Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki al Azhari حفظه الله dan al Muhtaram al Ustaz Muhadir bin Haji Joll al Sanariyy حفظه الله serta para Masyaikh yang lain yang tidak disebut nama mereka di sini tanpa mengurangkan rasa hormat dan kasih kepada mereka.



Al Musnid Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki al Azhari حفظه الله


Al Musnid Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki al Azhari
berasal dari Kampung Chenong Chengkau, Rembau, Negeri Sembilan Darul Khusus. Merupakan ulama' yang disegani samaada di dalam mahupun luar negara, lulusan Universiti al Azhar, Mesir dalam bidang Syariah, serta menuntut ilmu secara talaqi bersanad dengan para ulama' di Makkah, Madinah, Mesir, Syria dan lain-lain negara Islam. Tuan Syaikh merupakan Pengerusi Aqidah, Ahli Majlis Agama Islam serta Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus. Tuan Syaikh juga merupakan pengasas serta penasihat Yayasan al Sofa, Negeri Sembilan.



al Muhtaram al Ustaz Muhadir bin Haji Joll al Sanariyy حفظه الله


Tambahan pula, ulama' kelahiran Kampung Senari, Kuching iaitu al Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll al Sanariyy juga sudi hadir ke majlis ini. al Fadhil Ustaz merupakan Pensyarah di Kulliyyah Ilmu Wahyu di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, kampus Petaling Jaya. al Fadhil Ustaz sedang menyiapkan tesis Phd beliau dalam bidang Tafsir di Universiti Malaya.


Kepada muslimin dan muslimat khususnya yang berada di Kuching dan yang berdekatan dengannya, marilah kita sama-sama mengambil peluang keemasan ini untuk hadir ke majlis yang penuh barokah ini dan menzahirkan kecintaan kita kepada semulia-mulia kekasih صلى الله عليه وآله وسلم serta berhimpun bersama para ulama' yang mereka itu adalah pewaris para Nabi عليهم الصلاة والسلام .

Sebagai umat Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, kita dianjurkan untuk bergembira atas rahmat dan kurniaan Allah سبحانه وتعالى kepada kita. Rahmat dan kurniaan yang terbesar ialah dengan kelahiran Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم .

Allah
سبحانه وتعالى berfirman dalam Surah Yunus ayat 58;

قُلْ بِفَضْلِ اللّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُواْ هُوَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ

“Katakanlah (Wahai Muhammad): Dengan kurniaan Allah dan rahmatNya, hendaklah dengan itu mereka bergembira dengan kurniaan Allah dan rahmatNya itu, adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan.”

Berkata Sayyiduna 'Abdullah ibn 'Abbas رضي الله تعالى عنهما ; Maksud anugerah/kurniaan Allah سبحانه وتعالى tersebut ialah ilmu pengetahuan yang Allah kurniakan pada hambaNya. Manakala rahmat yang disebutkan dalam ayat tersebut ialah Rasulallah صلى الله عليه وآله وسلم kerana Rasulallah صلى الله عليه وآله وسلم adalah merupakan rahmat bagi seluruh alam.


Rahmat apakah yang paling besar ke atas manusia dan alam keseluruhannya, jika tidak rahmat kehadiran Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ? Sebagaimana firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah al Anbiya' ayat 107;

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

“Dan tidaklah Kami utuskan engkau (Wahai Muhammad ) kecuali sebagai rahmat bagi seluruh alam.”


Oleh itu, marilah kita rebut peluang ini dan moga kita digolongakan oleh Allah سبحانه وتعالى dalam kalangan hamba-hambaNya yang bergembira dengan kurniaan dan rahmat Allah سبحانه وتعالى , amin.

Shollu 'ala Khairil anam!

11 Robi' al Thani 1432H/16 Mac 2011M
Gombak.

Wallahu a'lam.


Rujukan;

Rakaman khutbah Juma'at oleh al Musnid Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki
حفظه الله

Bingkisan dari tulisan al Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll al Sanariyy dari kitab beliau Persoalan Khilafiyyah dan Penjelasan Ulama', Inilah jawapannya.

Thursday, January 20, 2011

Buku terbaru di pasaran

بسم الله الرحمن الرحيم


Segala Puji Bagi Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana masih memberikan kita peluang untuk bernafas sehingga ke saat ini.

Selawat dan salam moga sentiasa dan selamanya ke atas junjungan besar Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم , para Sahabatnya yang mulia lagi berjasa, dan orang-orang yang mengikuti mereka hingga hari Kiamat


Sekadar ingin menghebahkan buku terbaru tulisan guru kami, al Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll al Sanariy yang bertajuk PERSOALAN KHILAFIYYAH DAN PENJELASAN ULAMA'.




Buku setebal 920 muka surat dengan lebih 2000 nota kaki, berkulit tebal, menjawab 117 persoalan khilafiyyah.

Buku ini telah disemak dan kata-kata aluan oleh Dato' Wan Mohammad (Ketua Pengarah JAKIM), Dato' Haji Loling (Mantan Mufti Negeri Sarawak), Dato' Hashim Yahya, Dato' Salleh Ahmad, Dr. Uthman El Muhammady dan lapan orang Ustaz.

Di dalam buku ini, dikumpulkan persoalan-persoalan yang bersifat khilafiyyah. Walau bagaimanapun, terdapat juga persoalan tentang aqidah dan persoalan yang sudah diijma’kan oleh para ulama‘.

Ia dimuatkan juga kerana ia sering dibangkitkan dalam masyarakat. Perkara-perkara yang sudah sekian lama diamalkan dalam masyarakat Islam di negara ini dan di dunia Islam amnya, sebenarnya mempunyai dasar dan dalil yang jelas yang dapat dipertanggung jawabkan. Tidaklah benar jika dikatakan ia tidak berdasarkan tuntutan Syariah, lebih-lebih lagi terkeluar dari landasan Islam.

Di dalam buku ini, dibentangkan penjelasan para ulama’ muktabar terhadap perkara-perkara atau persoalan yang ditimbulkan, melalui rujukan mereka terhadap Al-Qur’an, hadith, maupun sumber-sumber istinbath yang lain.




Jika masih terdapat di kalangan mu’taridhin (golongan yang menentang amalan-amalan tertentu di dalam masyarakat) yang tetap dengan hujah dan pendapat mereka dalam permasalahan khilafiyyah ijtihadiyyah umpamanya, maka mereka dipersilakan untuk mengikut jalan mereka sendiri dan bukanlah bermakna jalan atau pendapat orang lain yang tidak sependapat dengan mereka salah.

Buku berharga RM 150, untuk tempahan/pembelian, boleh hubungi Ustaz Ahmad Lutfi, Mawleed Publishing, di talian 017-6671007 atau hubungi nama-nama yang tertera dalam gambar di atas.

Kenali pengarang:

Ustaz Muhadir bin Haji Joll. Berasal dari Kuching, Sarawak. Mendapat pendidikan awal di SRK Senari dan di SMK Agama Matang 2, Kuching. Mendapat ijazah Sarjana Muda (Al-Qur’an & Hadith) dan Sarjana (Tafsir al-Qur’an) dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Sedang menyiapkan tesis Phd dalam bidang Tafsir di Universiti Malaya. Sekarang bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Ilmu Wahyu dan Warisan Islam, Pusat Asasi, Universiti Islam Antarabanga, Petaling Jaya.

Di ambil dari sini.


Wallahu Ta'ala a'lam.

Sunday, September 26, 2010

Majlis Haul Imam 'Abdullah al Haddad


Segala Puji Bagi Allah Ta'ala, kepunyaan-Nyalah segala yang ada di langit dan bumi, dan apa yang ada di antaranya.

Sholawat dan salam moga sentiasa dan selamanya ke atas Khair al Bariyyah (Sebaik-baik
makhluk) Shallallahu 'alaihi wa alihi wa sallam, para Sahabat dan orang-orang yang mengikuti mereka hingga hari Kiamat.


Pemberitahuan - Majlis-majlis Haul Imam Al-Haddad

Siri Majlis-Majlis Haul Imam Abdullah bin Alawi Al-Haddad sedang di selaraskan di beberapa bandar di sekitar Malaysia selain dari di Lembah Kelang mulai 09 Oktober 2010 hingga 24 Oktober 2010. Tamu terulung dari golongan ulama' antarabangsa terdiri dari Al-Allaamah Al-Habib Zein bin Ibrahim bin Semait dari Madinah, Al-Allaamah Al-Habib Umar bin Muhammad bin Hafidz dari Yaman dan Al-Habib Abdullah Attas Al-Habshi dari Makkah.


Al-Allaamah Al-Habib Zein bin Ibrahim bin Semait dari Madinah al Munawwarah





Al-Allaamah Al-Habib Umar bin Muhammad bin Hafidz, Mudir Darul Mustofa, Yaman


Selain mereka, beberapa lagi ulama' dari Malaysia dan rantau ini akan sampaikan kata-kata hikmah, sebahagiannya dari kalam Imam Al-Haddad berkaitan dengan tajuk tema tahun ini iaitu 'YAKIN' dengan selingan ghasidah dan nasyid masyhur dari ratusan syaír nukilan Al-Imam.


Tarikh

Zon Utara (Kumpulan A)

Zon Timur (Kumpulan B)

09 Oktober 2010

Musalla Imam Asy-Syafie, Taman Jali, Kangar, Perlis


12 Oktober 2010

Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang

Masjid Pasir Mas, Pasir Mas, Kelantan

13 Oktober 2010

Masjid Al-Bukhary, Alor Setar, Kedah

Masjid Sultan Ahmad, Kemaman, Terengganu

14 Oktober 2010

Masjid Saiyidina Abu Bakar Assidiq, Bakar Arang, Sg Petani, Kedah

Masjid At-Taqwa, Pekan, Pahang


Zon Sentral

15 Oktober 2010

Masjid Al-Bukhary, Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur

16 Oktober 2010

Masjid Negeri Selangor D.E., Shah Alam, Selangor

17 Oktober 2010

Masjid Al-Falah, USJ 9, Selangor


Zon Selatan/Timur (Kumpulan C)

Zon Selatan/Barat (Kumpulan D)

18 Oktober 2010

Masjid Jame', Bandar Maran, Pahang

Masjid Sultan Iskandar, Batu Pahat, Johor

19 Oktober 2010

Masjid Jame’, Bandar Mersing, Johor

Masjid Al-Adzhim, Bandar Melaka, Melaka

20 Oktober 2010

Masjid Jame’ Kampung Melayu Majidi, Johor Baru, Johor

Yayasan Al-Jenderami, Dengkil, Selangor

21 Oktober 2010

Yayasan Assofa, Rembau, Negeri Sembilan

Masjid Layang-Layang, WP Labuan


Zon Malaysia Timur 1 (Kumpulan E)

Zon Malaysia Timur 2 (Kumpulan F)

22 Oktober 2010

Masjid At Taqwa (Masjid Gita), Kuching, Sarawak

Masjid At-Taqwa, Miri, Sarawak

23 Oktober 2010

Masjid Bandaraya, Kota Kinabalu, Sabah

Masjid Baitul Aman, Kuala Lumpur

24 Oktober 2010

Masjid Habib Abdulrahman, Tawau, Sabah

Madrasah Darul Faqih, Jalan Gelang Cincin, Segamat, Johor


Nota: Majlis Utama di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah pada 16 Oktober 2010 akan bermula pada jam 5:00 petang tepat. Selain itu, semua majlis-majlis di seluruh Malaysia bermula pada 5:30 petang tepat.

Diharap hadirin dan hadirat dapat bersama majlis-majlis ini sebelum waktu mula tersebut. Semua Muslimin dan Muslimat dijemput hadir. Diminta Hadirin dan Hadirat mematuhi halal/haram, sunnah/makruh dan adab semasa di dalam majlis-majlis ini.


Sila pantau semula jadual diatas kerana kemungkinan adanya apa-apa perubahan yang terpaksa dilakukan.


Sebarang pertanyaan boleh di kemukakan ke hak@alhawi.net



Wallahu a'lam.