![]() |
Thursday, June 14, 2012
Tuesday, August 9, 2011
Ramadhan al Mubarak..
Segala Puji Bagi Allah Subhanahu wa Ta'ala, kita diberi kesempatan untuk berada pada bulan Ramadhan yang berkat, pada tahun ini.
Sholawat dan salam sentiasa dan selamanya ke atas Penghulu dan Imam kita, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , juga ke atas keluarganya yang suci, para Sahabat yang mulia serta orang-orang yang mengikuti mereka sehingga hari Kiamat.
Sekadar berkongsikan hadith-hadith Nabi صلى الله عليه وآله وسلم yang terdapat dalam kitab "Ramadhan di Halaman Sunnah" yang dipetik oleh al Musnid al Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki, Pengerusi Aqidah Kerajaan Negeri Sembilan, daripada kitab Is'aaf Ahl al Iman bi Wazaif Syahr Ramadhan karya Ulama' Besar Masjid al Haram, al 'Allamah Syeikh Hasan ibn Muhammad al Masysyat al Makki Rahimahullah.
Hadith-hadith tersebut akan diletakkan mengikut bab di dalam kitab ini. Moga bermanfaat khususnya buat diri dan yang membaca.
KELEBIHAN PUASA
"Semua amalan anak Adam baginya melainkan puasa, maka sesungguhnya ia (puasa) adalah bagiKu dan Aku yang akan membalasnya. Puasa itu adalah benteng. Apabila hari kamu berpuasa, maka janganlah berkata perkara yang tidak senonoh atau bertengkar bertempik. Sekiranya seseorang memaki atau mencacinya, maka hendaklah dia berkata, "Saya sedang berpuasa." Demi jiwa Muhammad berada di dalam kekuasaanNya! Bau busuk mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau harum kasturi. Bagi orang berpuasa dua kegembiraan: (Pertama) apabila dia berbuka dia bergembira dan (kedua) apabila dia bertemu Tuhannya dia bergembira dengan puasanya."
~Diriwayatkan oleh Imam al Bukhari dan lafaz hadith adalah baginya Imam Muslim.
Dalam riwayat al Bukhari:
"Dia meninggalkan makanannya, minumannya dan syahwatnya demi kerana Aku. Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang akan membalasnya, dan satu kebaikan itu dibalas dengan 10 kebaikan seumpama dengannya."
Daripada Muaz ibn Jabal Radiyallahu 'anhu berkata: Sesungguhnya Nabi صلى الله عليه وآله وسلم bersabda kepadanya:
"Apakah kamu mahu aku tunjukkan kepada kamu pintu-pintu kebaikan? Saya berkata, "Sudah tentu, wahai Rasulallah!" Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda, "Puasa itu adalah benteng, manakala sedekah memadam kesalahan sebagaimana air yang memadam api."
Diriwayatkan oleh Imam al Tirmizi dan beliau mensahihkannya.
PERINTAH MENJAGA LIDAH DAN ANGGOTA
"Sesiapa yang tidak meninggalkan bercakap bohong dan melakukannya, maka Allah tidak memperdulikan puasanya."
~Diriwayatkan oleh Imam al Bukhari dan Pemilik kitab Sunan.
Al Qadhi 'Iyadh Rahimahullah berkata: Tujuan berpuasa ialah untuk mematahkan syahwat dan menundukkan nafsu ammarah. Apabila tidak terhasil bagi orang yang berpuasa tujuan ini, maka Allah tidak mempedulikan amalan puasanya dan tidak memandang kepadanya dengan pandangan 'inayahNya.
WAKTU SAHUR DAN KEBERKATANNYA
"Bersahurlah kerana di dalam sahur itu terdapat keberkatan."
~Diriwayatakan oleh Imam al Bukhari dan Muslim.
"Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم pernah mengajak saya bersahur pada bulan Ramadhan. Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda, "Marilah menikmati makanan yang diberkati."
~Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan al Nasaei.
Dan berikut risalah-risalah berkenaan Ramadhan tulisan al Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll al Sanariyy, Pensyarah Kuliah Ilmu Wahyu, Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Pj, sumber; http://www.jom-talaqi.com/. Pengarangnya, al Fadhil Ustaz membenarkannya untuk di amalkan dan disebarkan untuk manfaat bersama.
1) Risalah amalan malam awal Ramadhan
2) Bilangan raka'at solat Tarawih
3) 2 Amalan sunat Nabi صلى الله عليه وآله وسلم yang sering dilupakan
4) Risalah amalan 10 hari terakhir Ramadhan
Mohon didoakan agar penulis sentiasa ditetapkan hati oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala serta sentiasa dalam redha dan rahmatNya dan cinta kepada RasulNya صلى الله عليه وآله وسلم . Moga kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang bertaqwa.
9 Ramadhan 1432H / 9 Ogos 2011M
Kuching.
Wallahu a'lam.
Sunday, April 3, 2011
Akan Datang, April ini..

Maklumat lanjut boleh layari laman web Al Wariseen Trust atau event di facebook di sini.
Wallahu a'lam.
Wednesday, March 16, 2011
KUCHING BERSELAWAT
Sholawat dan salam Allah moga sentiasa dan selamanya ke atas pembawa rahmat ke seluruh alam, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , para Sahabat رضي الله تعالى عنهم أجمعين dan orang-orang yang mengikuti mereka hingga Hari Kiamat.
Berita gembira kepada umat Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم khususnya yang berada di Kuching, Sarawak. InshaAllah, pada 18 Mac 2011 bersamaan 13 Rabi' al Thani 1432H akan diadakan majlis "KUCHING BERSELAWAT" yang merupakan salah satu majlis yang menghimpunkan bacaan zikir, sholawat dan salam ke atas Sayyiduna Rasulillah صلى الله عليه وآله وسلم , mendengar pembacaan sirah Baginda صلى الله عليه وآله وسلم serta mendengar nasihat dan peringatan daripada para ulama' yang turut hadir.
Al Musnid Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki al Azhari berasal dari Kampung Chenong Chengkau, Rembau, Negeri Sembilan Darul Khusus. Merupakan ulama' yang disegani samaada di dalam mahupun luar negara, lulusan Universiti al Azhar, Mesir dalam bidang Syariah, serta menuntut ilmu secara talaqi bersanad dengan para ulama' di Makkah, Madinah, Mesir, Syria dan lain-lain negara Islam. Tuan Syaikh merupakan Pengerusi Aqidah, Ahli Majlis Agama Islam serta Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus. Tuan Syaikh juga merupakan pengasas serta penasihat Yayasan al Sofa, Negeri Sembilan.
Tambahan pula, ulama' kelahiran Kampung Senari, Kuching iaitu al Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll al Sanariyy juga sudi hadir ke majlis ini. al Fadhil Ustaz merupakan Pensyarah di Kulliyyah Ilmu Wahyu di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, kampus Petaling Jaya. al Fadhil Ustaz sedang menyiapkan tesis Phd beliau dalam bidang Tafsir di Universiti Malaya.
Kepada muslimin dan muslimat khususnya yang berada di Kuching dan yang berdekatan dengannya, marilah kita sama-sama mengambil peluang keemasan ini untuk hadir ke majlis yang penuh barokah ini dan menzahirkan kecintaan kita kepada semulia-mulia kekasih صلى الله عليه وآله وسلم serta berhimpun bersama para ulama' yang mereka itu adalah pewaris para Nabi عليهم الصلاة والسلام .
Allah سبحانه وتعالى berfirman dalam Surah Yunus ayat 58;
Rahmat apakah yang paling besar ke atas manusia dan alam keseluruhannya, jika tidak rahmat kehadiran Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ? Sebagaimana firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah al Anbiya' ayat 107;
Shollu 'ala Khairil anam!
11 Robi' al Thani 1432H/16 Mac 2011M
Gombak.
Wallahu a'lam.
Rujukan;
Rakaman khutbah Juma'at oleh al Musnid Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki حفظه الله
Bingkisan dari tulisan al Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll al Sanariyy dari kitab beliau Persoalan Khilafiyyah dan Penjelasan Ulama', Inilah jawapannya.
Thursday, March 11, 2010
Pembuka Bicara
Selawat dan salam moga sentiasa dan selamanya di limpahkan kepada junjungan mulia, Sayyidul Anbiya', Atqal Atqiya', seterusnya kepada keluarganya, para sahabat dan orang-orang yang mengikutinya hingga hari kiamat..
Alhamdulillah, akhirnya dapat juga penulis mempunyai blog sendiri. InsyaALLAH, semoga dapat digunakan sebagai cara dan wadah untuk meningkatkan diri dan sedikit sebanyak menyumbang kepada orang lain.
Sengaja penulis memilih untuk membuat blog pada bulan yang mulia ini, iaitu bulan Rabi'ul awwal. Bulan lahirnya manusia agung, lahirnya membawa rahmat ke seluruh alam. Bulan lahirnya Sayyidina Rosulillah Shallallhu 'alaihi wa alihi wasallam.
Di kesempatan ini, penulis ingin mengajak penulis serta muslimin dan muslimat supaya kita sentiasa memperbanyakkan sholawat kita kepada Baginda Shallallahu 'alaihi wa alihi wasallam setiap hari, selain zikrullah dan sebagainya.
Marilah kita sentiasa berusaha untuk mengamalkan sunnah Baginda Shallallahu 'alaihi wa alihi wasallam yang mulia walaupun sedikit, dalam kehidupan kita sebagai ummatnya.
Tersebut di dalam Hadith Nabi Shallallahu 'alaihi wa alihi wasallam yang mulia,
Daripada Anas Radiyallahu 'anhu berkata: Sabda Rasulullahi Shallallahu 'alaihi wa alihi wasallam, yang kira-kira bermaksud:
"Tidak beriman seseorang hamba sehingga aku lebih dikasihi daripada anaknya, bapanya dan seluruh manusia."
Baginda Shallallhu ‘alaihi wa alihi wasallam juga merupakan seafdhal-afdhal makhluk. Sebuah Hadith daripada Sayyidatina A’isyah Radiyallahu ‘anha: Sabda Rasulullahi Shallallahu ‘alaihi wa alihi wasallam, yg kira-kira bermaksud:
Berkata Jibril ‘alaihissalam, “Aku telah memeriksa timur dan barat bumi ini, maka aku belum pernah mendapati seorang lelaki yang lebih mulia daripada Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa alihi wasallam dan tidak pernah menemui bani yang lebih afdhal daripada Bani Hasyim.”
Maka, amat wajarlah untuk kita khususnya yang telah dipilih oleh Allah Ta’ala untuk menjadi umat Baginda Shallallahu ‘alaihi wa alihi wasallam untuk sentiasa bergembira di atas kelahirannya kerana banyak kelebihan dan manfaat yang kita perolehi menjadi umat Baginda Shallallahu ‘alaihi wa alihi wasallam disamping syafaatnya di Hari Akhirat kelak.
Semoga kita menjadi umatnya yang sentiasa memperbanyakkan sholawat ke atasnya dan mengasihinya sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah Ta’ala. Amin.
Allahumma solli ‘ala Sayyidina Muhammad!
Rujukan
Syeikh Abu Al Fadl Abdullah ibn Muhammad Al Siddiq Al Ghumari Al Hasani, (2009). 40 Hadith Keistimewaan Rasulullah sallallahu alaihi wa alihi wasallam. Sofa Production: Ampang.




