Showing posts with label Ulama'. Show all posts
Showing posts with label Ulama'. Show all posts

Sunday, March 25, 2012

Seminar Antarabangsa dan Maulid Perdana..


بسم الله الرحمن الرحيم



Muslimin dan Muslimat, pensyarah-pensyarah, pelajar-pelajar dengan segala hormatnya di jemput untuk menghadiri..



Seminar Antarabangsa sempena pelancaran Universiti As Sofa..



dan


Maulid al Rasul صلى الله عليه وآله وسلم Perdana


Hadirkan diri anda!

Thursday, March 8, 2012

Kenapa Doa Kita Tidak Dimakbulkan?

بسم الله الرحمن الرحيم





Hikam No.6: Kenapa Doa Kita Tidak Dimakbulkan?
Disyarahkan oleh al 'Allamah Nur al Din Syaikh Dr. 'Ali Jumuah حفظه الله , Mufti Mesir,
dari kitab al Hikam oleh al 'Arif BiLlah Sidi Ibnu 'Ato'illah al Sakandari رحمه الله.


Saturday, March 3, 2012

Masa Muda


بسم الله الرحمن الرحيم


Segala Puji Bagi Allah تعالى , yang telah menganugerahkan kami dengan anugerah al Mustofa صلى الله عليه وآله وسلم yang wajib kami bersyukur dengannya.

Sholawat dan salam moga sentiasa dan selamanya ke atas kekasih yang dirindui صلى الله عليه وسلم, ahli keluarga serta para sahabat yang mulia lagi berjasa, dan orang-orang yang mengikuti jalan mereka hingga hari Kiamat.


Penulis pernah mendengar kalam Imamuna, 'alim Quraisy, al Imam al Syafi'i رضي الله عنه , yang disampaikan oleh al Habib 'Ali Zainal 'Abidin al Hamid حفظه الله :

"Sepatutnya pemuda itu hidup dengan Taqwa dan Ilmu."


Moga kami digolongkan dalam golongan itu, disibukkan dengan ilmu yang membawa kepada Taqwa kepada Allah تعالى. Meskipun jika tidak tergolong dalam kalangan ahli ilmu, maka cukuplah jika digolongkan dalam kalangan yang mengasihi ahli ilmu serta penuntutnya.

Moga kami diselamatkan oleh Allah تعالى daripada penyakit cintakan dunia dan segala perkara yang menyukarkan kami untuk menerima ilmu dan mengamalkannya, dan sebaliknya, moga hati kami sentiasa berpaut padaNya dan kekasihNya, Imam kami, Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.



Hadiah dari ulama'..


Pesan ulama' lagi, Imam Abu al Hasan al Syazuli رحمه الله berkata:

العلم ما قارنه الخشية

"Ilmu itu ialah yang disertai oleh perasaan takut kepada Allah تعالى."


Selagi masih ada ulama' di sekeliling kita, maka rebutlah peluang untuk hadir ke majlis ilmu, zikir, sholawat dan sebagainya yang mereka anjurkan, sesungguhnya, duduk bersama mereka, dalam majlis mereka, kita tidak akan ditimpa kecelakaan.

Berkata al Fadhil Ustazuna حفظه الله;

" Ulama' " itu adalah satu pengiktirafan daripada ulama' yang lain. Di mana, ulama' adalah yang diktiraf keilmuannya dalam sesuatu bidang keilmuan dan sebagainya. Bukanlah ulama' itu dinilai atau diiktiraf dengan pengiktirafan masyarakat awam terhadapnya, tetapi oleh para ulama' jua."


Fahamilah, siapa yang kita anggap, sanjung sebagai ulama'? Bukanlah ulama' itu adalah yang diangkat oleh sesebuah jemaah atau parti politik sahaja, oleh masyarakat awam. Carilah ulama', mereka akan menunjukkanmu jalan menuju kepada Allah تعالى.

Moga kami ditemukan dan dapat bersuhbah dengan ulama', memperolehi adab serta ilmu daripada mereka, dan moga kami dikurniakan istiqamah dalam melazimi mereka.


Ya Allah, selamatkanlah kami daripada musibah dalam agama.
Mohon doakan kami ya (^_^)


Wallahu a'lam.
وصلى الله على خير خلقه سيدنا محمد وعلى اله وصحبه أجمعين

Gombak,
10 Rabi'ul Akhir 1433H/3 Mac 2012M.

Rujukan;

Adab dan Doa Penuntut Ilmu, Cetakan Pertama Ramadhan 1432H/Ogos 2011M
al Musnid Dato' Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki حفظه الله
-Pengerusi Aqidah Kerajaan Negeri Sembilan
-Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan
-Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan

Friday, June 17, 2011

Sebahagian daripada sifat² Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم

بسم الله الرحمن الرحيم


Segala Puji Bagi Allah سبحانه وتعالى atas nikmat menjadikan kami umat kepada semulia-mulia makhluk صلى الله عليه وآله وسلم .

Sholawat dan salam moga sentiasa dan selamanya ke atas Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم , orang yang mempunyai akhlak yang indah dan mulia. Ahli keluarganya dan para Sahabat Radiyallahu Ta'ala 'anhum ajma'in yang mulia lagi berjasa dan orang-orang yang mengikuti jejak langkah mereka hingga Hari Kiamat.


Sekadar menyampaikan sepotong hadith dari kitab 40 Hadith Kemuliaan Akhlak Nabi
صلى الله عليه وآله وسلم & Syafaat Nabi صلى الله عليه وآله وسلم karangan Al Qhadi Syeikh Yusof Ibn Ismail al Nabhani رحمه الله yang dikeluarkan oleh Guru kami yang dikasihi, al Musnid al Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki حفظه الله .




Hadith 19

Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم Manusia Yang Paling Banyak tersenyum dan Baik Hati


Daripada Abi Umamah رضي الله تعالى عنه berkata:


"Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم adalah insan yang paling banyak ketawa (tersenyum) dan mempunyai personaliti yang bersih/hati yang paling baik."

~Hadith diriwayatkan oleh Imam al Tabrani رضي الله تعالى عنه


Berkata Sayyid al Muddah Imam al Busiri رضي الله تعالى عنه melalui bait-bait Qasidah al Muhammadiyyah beliau;

مُحَمَّدٌ بَاسِطُ المَعْرُوفِ جَامِعُهُ

مُحَمَّدٌ صَاحِبُ الاِحْسَانِ وَالْكَرَمِ


Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم adalah penyebar kebaikan dan penghimpunnya;
Muhammad
صلى الله عليه وآله وسلم adalah pemilik ihsan dan kemuliaan.


Shollu 'alan Nabiy al Mukhtar!

اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا ومولنا محمد وعلى آله وصبه وسلم



Rujukan;

40 Hadith Kemuliaan Akhlak Nabi صلى الله عليه وآله وسلم & Syafaat Nabi صلى الله عليه وآله وسلم karangan Al Qhadi Syeikh Yusof Ibn Ismail al Nabhani رحمه الله , dikeluarkan oleh Guru kami yang dikasihi, al Musnid al Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki حفظه الله
Cetakan Pertama rejab 1431 H / Julai 2010 M

Qasidah Al Burdah & Al Muhammadiyyah Imam Al Busiri رضي الله تعالى عنه dikeluarkan oleh Guru kami yang dikasihi al Musnid al Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki حفظه الله
Cetakan Pertama Jumada al Akhirah 1432 H / Mei 2011 M



Juma'at
16 Rejab 1432H/17 Jun 2011M
Gombak.

Wallahu a'lam.

Sunday, May 29, 2011

Majlis Bacaan Kitab Shohih Imam al Bukhari رضي الله تعالى عنه bersama 'ulama

بسم الله الرحمن الرحيم


Majlis Bacaan Kitab Shohih Imam al Bukhari رضي الله تعالى عنه bersama Syeikhuna al Musnid Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki al Azhari حفظه الله تعالى . Biodata ringkas beliau di sini.


Syeikhuna al Musnid Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki al Azhari حفظه الله تعالى عنه


Butiran lanjut majlis;
1) Majlis pembukaan: Ahad, 29 MEI 2011, Asar (Untuk Majlis Pembukaan bertempat di Masjid Darul Ihsan,Taman TAR, Ampang)

2) Setiap hari (29 MEI - 26 JUN 2011)
Masa: 10.00 Pagi - 01.00 Tengahari 08.00 Malam - 10.00 Malam.

3) Majlis Khatam Shohih Imam al Bukhari
رضي الله تعالى عنه
26 JUN 2011


Majlis bertempat di Darul Maliki;
No. 4 Jalan 5/3, Taman Tun Abdul Razak, 68000 Ampang Selangor


InshaAllah sebarang perubahan akan dimaklumkan di sini.

Muslimin dan Muslimat dijemput hadir.


dan..

Majlis Bacaan Kitab Shohih al-Bukhari (InsyaAllah sampai khatam) Bersama Syeikh Muhammad 'Awadh al-Manqoush حفظه الله تعالى عنه




Biografi Syeikh Muhammad 'Awadh al-Manqoush حفظه الله تعالى عنه boleh dibaca di sini

Untuk penyertaan, hubungi atau sms nama kepada: Ustaz Anwar di 013 4380061.


Wallahu a'lam.

Wednesday, April 20, 2011

HAKIKAT ASYA'IRAH

بسم الله الرحمن الرحيم



Boleh baca terus di sini: http://ysofaklforms.blogspot.com/2010/11/hakikat-asyairah.html


Al 'Arif Billah Al 'Allamah Al Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad ibn Sayyid 'Alawi al Maliki al Hasani
رحمه الله تعالى
(Pengarang kitab Mafahim Yajib an Tusohhah)



Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN
Utusan Malaysia, 16 Nov 2010

Perhentian kita yang seterusnya dalam menelaah kitab Mafahim Yajib an Tusohhah (Kefahaman Yang Wajib DiPerbetulkan) karya al-Muhaddith Dr.Sayyid Muhammad bin `Alawi al-Maliki ialah tentang salah-faham terhadap mazhab aqidah Asya`irah. Asya`irah adalah gelaran kepada mereka yang mengikut pegangan mazhab aqidah yang dirumuskan oleh al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ariy RH. Ia merupakan mazhab aqidah majoriti besar umat Islam sepanjang zaman.

Pun begitu, masih ramai umat Islam tidak mengetahui tentang mazhab Asya’irah. Mereka tidak mengenali siapakah yang dimaksudkan dengan al Asya’irah dan method mereka di dalam bidang aqidah. Lantaran itu, sebahagian daripada mereka tidak berhati-hati meletakkan Asya’irah di dalam kesesatan dan melemparkan tuduhan bahawa Asya’irah telah terkeluar daripada agama Islam dan tergolong di dalam golongan mulhid (terpesong dari kebenaran) di dalam menghuraikan sifat-sifat Allah.

Kejahilan inilah yang menyebabkan berlakunya perpecahan terhadap kesatuan Ahli Sunnah dan merobek kesatuan umat Islam sehingga sebahagian orang-orang jahil menganggap golongan Asya’irah tergolong di dalam golongan yang sesat. Saya tidak tahu, bagaimana mereka menyamakan di antara golongan yang beriman dengan golongan yang sesat, dan bagaimana mereka boleh menyamakan di antara golongan ahli Sunnah dengan pelampau Muktazilah yang merupakan golongan Jahmiyyah? (pengikut Jaham ibn Sofwan yang berasal dari Khurasan. Mazhabnya dikenali dengan Jabariah yang berpendapat tidak ada ikhtiar bagi makhluk.)

Firman Allah SWT: “Patutkah Kami (berlaku tidak adil dengan) menjadikan orang-orang Islam (yang taat) sama seperti orang-orang yang berdosa (yang kufur dan ingkar).” (Apa sudah jadi dengan akal kamu?) Bagaimana kamu menetapkan hukum (yang terang-terang salahnya itu)?.”(al-Qalam: 35-36)

Asya’irah ialah pemimpin-pemimpin ulama’ Islam yang membawa petunjuk dan ulama’ yang mempunyai ilmu meliputi timur dan barat. Kelebihan, keilmuan dan keagamaan mereka disepakati oleh manusia pada zaman mereka. Mereka merupakan tokoh-tokoh ulama’ Ahli Sunnah berwibawa tinggi yang berdiri teguh menentang kesesatan fahaman Muktazilah. Dalam mengupas tentang mazhab Asya’irah, Ibnu Taimiyyah berkata: Ulama’ ialah golongan pembantu ilmu-ilmu agama, manakala Asya’irah ialah golongan pembantu usul agama. (Al-Fatawa: H: 16, Juzu’ 4)

Sesungguhnya mereka merupakan tokoh-tokoh hadith, feqah dan tafsir dari kalangan tokoh-tokoh imam yang utama seperti Syeikh al Islam Ahmad Ibnu Hajar al ‘Asqalani RH; syeikh dan pakar hadith yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Beliau juga merupakan pengarang kitab Fath al Bari ‘ala Syarh al Bukhari yang tidak dapat tidak, diperlukan dan dipegang oleh semua ulama’. Beliau berpegang dengan mazhab Asy’ari.

Begitu juga syeikh ulama’ Ahli Sunnah; Imam Nawawi RH, pengarang Syarah Sohih Muslim dan karya-karya lain yang masyhur, bermazhab Asy’ari. Syeikh Ahli Tafsir, Imam al Qurtubi RH pengarang kitab Tafsir al Jami’ li Ahkam al Quran, bermazhab Asy’ari. Syeikh al Islam Ibnu Hajar al Haitami RH pengarang kitab al Zawajir ‘an Iqtiraf al Kabair, bermazhab Asy’ari. Syeikh Feqah dan Hadith, al Imam al Hujjah al Thabat Zakaria al Ansari RH, bermazhab Asy’ari.

Imam Abu Bakar al Baqilani RH, Imam al Qustallani RH, Imam al Nasafi RH, Imam al Syarbini RH, Abu Hayyan al Nahwi RH pengarang tafsir al Bahr al Muhit, Imam Ibnu Juzaiy RH pengarang kitab al Tashil fi Ulum al Tanzil dan lain-lain lagi, kesemuanya merupakan tokoh-tokoh Asya’irah.

Sekiranya kita hendak mengira bilangan pakar ilmuwan dari kalangan ahli hadith, tafsir dan feqah yang bermazhab Asy’ari, pasti tidak muat untuk ditulis di dalam kitab ini dan tentunya memerlukan beberapa jilid kitab untuk memuatkan kesemua nama ulama’ ini yang ilmu mereka tersebar luas di Timur dan Barat dunia. Sesungguhnya menjadi kewajipan ke atas diri kita, menyifatkan mereka dengan sifat-sifat yang baik dan mengenali kelebihan ahli ilmu yang telah menaburkan khidmat mereka kepada syari’at Rasulullah SAW.

Di manakah lagi kebaikan yang kita harapkan sekiranya kita melemparkan tuduhan sesat dan menyeleweng daripada kebenaran kepada ulama’ besar kita dan salafussoleh? Bagaimanakah Allah akan membukakan bagi kita untuk mendapat faedah dari ilmu-ilmu mereka setelah kita beri’tiqad bahawa mereka berada dalam keraguan dan menyimpang dari jalan Islam?

Pengarang menegaskan, “Sememangnya patut saya katakan, adakah terdapat ulama’ masa kini yang terdiri daripada doktor-doktor dan cerdik pandai mampu melakukan sepertimana yang telah dilakukan oleh Syeikh al Islam Ibnu Hajar al ‘Asqalani RH dan Imam Nawawi RH dalam berkhidmat terhadap Sunnah Rasulullah SAW yang suci? Adakah kita mampu untuk memberikan khidmat terhadap Sunnah Nabi SAW sebagaimana yang dilakukan oleh kedua-dua ulama’ besar ini? Semoga Allah mengurniakan kepada mereka rahmat dan keredhaanNya.

Bagaimanakah kita boleh menuduh mereka dan ulama’ mazhab al Asya’irah yang lain sebagai sesat, sedangkan kita amat memerlukan ilmu-ilmu mereka? Bagaimanakah pula kita boleh mengambil ilmu daripada mereka, sekiranya kita mengatakan mereka berada di dalam kesesatan? Imam Ibnu Sirin RH berkata: “Sesungguhnya ilmu ini adalah agama, maka perhatikanlah daripada siapa kamu mengambil agama kamu.”

Atau memadailah golongan pembangkang berkata, “Sesungguhnya Allah telah merahmati mereka (ulama’ al Asya’irah), mereka berijtihad, lalu melakukan kesilapan di dalam mentakwilkan sifat-sifat Allah.” Perkataan ini adalah lebih baik daripada kita bertindak melulu menuduh tokoh-tokoh ini dengan keraguan dan kesesatan dan membenci orang-orang yang tergolong di kalangan Ahli Sunnah wal Jama’ah.

Sekiranya Imam Nawawi, al ‘Asqalani, al Qurtubi, al Baqilani, al Fakhr al Razi, al Haitami, Zakaria al Ansari RHM dan ulama’ berwibawa yang lain tidak tergolong di dalam golongan Ahli Sunnah wal Jama’ah, maka siapakah dia Ahli Sunnah wal Jama’ah?

Saya menyeru dengan ikhlas kepada setiap pendakwah dan orang-orang yang bergiat dalam lapangan dakwah Islam, agar bertaqwa kepada Allah dalam urusan umat Muhammad SAW terutamanya terhadap tokoh-tokoh ulama dan fuqaha’nya. Sesungguhnya umat Nabi Muhammad SAW sentiasa berada dalam kebaikan hingga hari Kiamat. Tidak ada kebaikan pada diri kita apabila kita tidak mengetahui kedudukan dan kelebihan ulama’ kita. (Untuk rujukan lanjut, dicadangkan tulisan Syeikhuna al ‘Allamah Syeikh Muhammad Ali Sobuni mengenai Mazhab Asy’ariyyah dalam perbahasan yang panjang lebar dan sangat bagus)”

Monday, April 11, 2011

Jangan Sakiti Nabi!

بسم الله الرحمن الرحيم



Al 'Allamah Nur al Din Syaikh Dr. Ali Jumu'ah حفظه الله تعالى (Mufti Mesir)



Sumber asal: http://ysofakl.blogspot.com/2010/05/jangan-sakiti-nabi.html


Oleh Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki
(Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Penasihat, Yayasan Sofa Negeri Sembilan)


Sesiapapun akan merasa sedih dan terguris hati jika keburukan kedua ibu bapanya disebut-sebut dihadapannya kalaupun ia suatu yang benar dan bukan sekadar tuduhan. Inilah fitrah hubungan kasih dan sayang yang ada diantara seseorang itu dengan ibu bapa kandungnya. Keburukan apakah yang lebih besar daripada kekufuran dan kekufuran siapakah yang lebih jelas daripada Abu Lahab sehingga celaan Allah SWT terhadapnya terakam jelas di dalam al-Quran. Tetapi apabila sampai ke telinga Nabi SAW bahawa ada sahabat yang mengungkit tentang kekufuran dan penentangan Abu Lahab dihadapan anak perempuannya yang Muslim, Nabi SAW telah melarang dan menegur perbuatan ini dengan sabdanya, “Jangan engkau mencerca mereka yang mati lalu engkau menyakiti mereka yang hidup.” sabda Nabi SAW (riwayat al-Tirmizi).


Fatwa Prof. Dr. Ali Jumu'ah, Mufti Mesir menjawab Status Ayahanda & Bonda Nabi s.a.w
........................................................................................................................................

Jika itulah sikap Nabi SAW dalam kes Abu Lahab, bagaimanakah pula jika ibu dan ayah Nabi SAW sendiri yang disebut dan diungkit sebagai kufur dan berada dalam Neraka? Adakah Nabi SAW tidak terguris hati atau merasa disakiti, tanpa mengira apapun niat si penyebut? Lebih buruk lagi keadaannya jika diinsafi bahawa pandangan yang ibu dan ayah Nabi itu kufur adalah tidak benar dan bercanggah dengan pandangan jumhur ulama umat ini. Maka kenyataan tersebut turut merupakan suatu pendustaan dalam isu yang begitu dekat dengan kekasih Allah SWT dan makhlukNya yang paling mulia.

Malangnya, akhir-akhir ini, telah beberapa kali dakwaan bahawa ibu dan bapa Nabi SAW itu kufur dan berada dalam Neraka di ketengahkan dalam masyarakat kita secara terbuka dalam media perdana oleh para pendakwah yang popular dan dikenali ramai. Dalam keadaan begitu tidak mustahil akan ramai ahli masyarakat yang tidak berkeahlian akan mudah terpengaruh, lantas sama-sama mengulang-ngulangkan kalimah yang pastinya menyakiti Nabi SAW itu. Mahukah kita jika umat Islam di Malaysia sampai terhitung sebagai tidak peka dengan apa yang menyakiti Nabi SAW? Bukankah ini boleh mengundang kemurkaan Allah dan RasulNya?

Isu Yang Tak Patut Ditimbulkan

Jika diteliti secara insaf, sebenarnya tidak terdapat satu sebab pun yang munasabah untuk isu status ibu dan bapa Nabi SAW kita ungkit dan timbulkan di tengah-tengah masyarakat kita. Jika tidak ditimbulkan isu ini, masyarakat kita amnya mempunyai tanggapan yang sangat mulia terhadap ibu dan bapa Nabi SAW. Sikap ini adalah sikap yang lebih tepat dan berasas, seperti yang akan kita huraikan. Kalau pun ada yang bertanggapan bahawa ini adalah suatu sikap yang bercanggah dengan hadis, apakah isu ini menempati keutamaan yang begitu tinggi dan mendesak sehingga perlu ditimbulkan. Adakah selama ini dengan memuliakan ibu dan bapa Nabi SAW telah begitu merugikan dan memundurkan Islam dan umatnya di Malaysia?

Selain kerana tiada keperluan jelas untuk ditimbulkan, isu ini juga tidak patut ditimbulkan secara terbuka kerana untuk benar-benar menanggapinya secara adil menuntut kajian dan penelitian ilmiah khusus. Kenapalah kita perlu menyibukkan masyarakat awam dengan persoalan-persoalan yang tidak mudah atau tidak mampu untuk mereka sikapi dengan adil?

Sebenarnya, isu ini ada persamaan dengan beberapa isu-isu agama yang sifatnya kompleks dan boleh mengelirukan yang suka ditimbulkan oleh segelintir penceramah akhir-akhir ini. Walaupun kita sangat keberatan membahaskannya, tetapi apabila sudah ada yang menimbulkannya secara terbuka maka wajiblah pula penjelasan dibuat agar masyarakat tidak keliru dan tersalah faham. Pendek kata ia sudah menjadi suatu kemungkaran dan kezaliman ilmiah yang wajib dicegah dan diperbetulkan.

Fahaman Yang Lebih Sejahtera

Pandangan yang mendakwa ibu dan bapa Nabi SAW adalah kufur dan berada dalam Neraka sebenarnya berpuncakan dua hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Dalam salah satu daripadanya, Nabi SAW bersabda bahawa Baginda tidak diizinkan oleh Allah memohon keampunan bagi ibu Baginda tetapi diizinkan menziarahi kuburnya. Dalam hadis kedua, Nabi SAW diriwayatkan menjawab pertanyaan seorang lelaki tentang nasib bapanya dengan menjawab bahawa ayah lelaki tersebut dan ayah Baginda sendiri berada dalam neraka. Walaupun sahih dari segi sanadnya tetapi jumhur ulama berpendapat bahawa matan atau teks hadis-hadis ini tidak boleh difahami secara zahir semata-mata. Ini adalah suatu yang biasa berlaku dalam kita berinteraksi dengan hadis. Bukan hanya kesahihan sanad menjadi penentuan hukum daripada sesuatu hadis. Terdapat juga kaedah-kaedah tertentu dalam memahami teks hadis itu sendiri yang perlu dipatuhi.

Berdasarkan kaedah-kaedah yang dalam memahami teks hadis, hadis-hadis di atas sebenarnya tidak mendokong kesimpulan bahawa ibu dan bapa Nabi SAW kufur dan diazab. Pertamanya, makna zahir hadis-hadis ini tidak boleh dipegang kerana ia bertentangan dengan nas-nas al-Quran dan hadis-hadis yang lain. Antaranya, ayat-ayat dan hadis yang mensabitkan bahawa Nabi SAW adalah berasal daripada keturunan yang mulia dan terpelihara seperti ayat 219, surah al-Syu`ara’ yang bermaksud, “dan (Allah melihat) pergerakanmu di antara orang-orang yang sujud”. Ibnu `Abbas RA, seperti yang diriwayatkan oleh al-Bazzar, al-Tabrani dan Abu Nuaim serta dalam tafsir-tafsir al-Tabari dan al-Qurtubi, berpendapat bahawa ayat ini bermaksud bahawa Nabi SAW telah berpindah dari satu sulbi ke satu sulbi dikalangan nenek moyang yang sujud dan beriman. Hal ini disokong oleh hadis-hadis yang merakamkan bahawa Nabi SAW pernah memuji atau berbangga dengan ibu bapa dan keturunannya sedangkan adalah tidak wajar Nabi SAW melakukan demikian jika mereka itu syirik atau kufur.

Maksud zahir hadis-hadis ini juga bertentangan nas-nas al-Quran berkenaan kaedah bahawa Allah SWT tidak akan mengazab sesuatu kaum sebelum dikirimkan Rasul-rasulNya untuk menyampaikan agama yang benar (al-Israa’:15, al-An`aam:131, al-Syu`araa’, al-Nisaa’:165). Terdapat pula ayat-ayat yang menafikan bahawa terdapat rasul yang dikirim kepada kaum Nabi Muhammad SAW sebelum kebangkitan Baginda (Saba’:44, al-Qasas:46). Maka kesimpulan yang lebih tepat adalah kedua-dua ibu dan bapa Nabi SAW sama ada beriman dengan peninggalan risalah rasul-rasul yang terdahulu ataupun tergolong dalam kalangan Ahlul Fatrah, iaitu mereka yang berada dizaman yang tiada rasul padanya yang menyebabkan mereka secara prinsipnya tidak akan diazab.
Ada juga pandangan ulama yang mentakwilkan makna ‘abi’ dalam hadis kedua yang zahirnya bermaksud ‘ayah’ kepada Abu Talib atau Abu Lahab, bapa-bapa saudara Nabi SAW dan bukannya Abdullah, bapa Baginda SAW. Penggunaan panggilan sebegini memang berlaku dalam bahasa arab dan dalam al-Quran sendiri dalam kes Nabi Ibrahim AS (al-An`aam : 74). Ada juga pandangan ulama’ bahawa kedua-dua hadis riwayat Muslim itu memang perlu ditakwilkan kerana makna zahirnya bercanggah. Jika ibu Nabi SAW benar-benar kafir, Nabi SAW tidak akan diizinkan Allah SWT untuk menziarahi kuburnya.

Kita juga telah menyentuh bagaimana mengatakan ibu dan bapa Nabi SAW berada di dalam neraka akan menyakiti Nabi SAW. Menyakiti Nabi dengan apa cara sekalipun adalah jelas diancam di dalam al-Quran dengan laknat Allah SWT di dunia dan akhirat serta dijanjikan dengan siksa yang pedih dan hina (al-Tawbah:61 dan al-Ahzab:57). Melihatkan betapa besarnya kesalahan ini, tidak hairanlah Saidina Umar bin Abdul Aziz ada dilaporkan telah mengancam seorang pegawainya yang mengatakan ibu dan bapa Nabi SAW musyrik dengan hukuman dipotong lidahnya, dipotong tangan dan kakinya dan dipancung kepalanya. Lalu pegawai itu dilarang memegang apa-apa jawatan sepanjang khilafahnya.(Tarikh Ibn `Asakir). Imam al-Alusi (m.1127H) pula dalam Tafsir Ruh al-Maaninya ada memberi amaran keras, “Aku bimbangkan kekufuran terhadap seseorang yang menuduh ibu dan ayah Nabi SAW (kufur) (Jilid 11, ms.207).

Perincian dan huraian lanjut tentang pandangan para ulama yang membela ibu dan bapa Nabi SAW boleh didapati dalam beberapa kitab termasuk kitab- kitab khusus karangan Imam al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti, Masalik al-Hunafa dan al-Ta`dzim wal Minnah, kitab al-Hujaj al-Wadhihaat karya ulama’ Makkah, Al-`Allamah Sayyid Ishaq Azzuz, kitab Sadad al-Din oleh Imam al-Barzanji, kitab Hadyu al-Nairain karya al-Allamah Prof.Dr.Judah al-Mahdi dari Universiti al-Azhar Mesir dan fatwa Mufti Mesir, Al-Syeikh Dr.Ali Jum`ah dalam koleksi fatwanya, al-Bayan. InshaAllah dalam masa terdekat, kami akan mengeluarkan terjemahan dan sedutan daripada kitab-kitab ini dalam bahasa Melayu.

Jelas daripada perbahasan ringkas kita ini bahawa, jika kita mahu, ruang untuk kita mempertahankan keimanan dan terselamatnya ibu dan bapa Nabi SAW yang mulia adalah luas terbentang. Kalaulah bersangka baik itu terpuji, maka apakah lagi situasi yang lebih utama untuk kita bersangka baik selain dalam isu ini yang membabitkan hak kekasih dan makhluk yang paling dimuliakan oleh Allah SWT. Ia juga sebenarnya adalah sangka baik kita terhadap Allah SWT sendiri yang Maha Kaya lagi Berkuasa untuk meletakkan zuriat kekasihNya dalam rantaian keturunan hamba-hambaNya yang terpilih.

Di sebalik episod yang sangat mengguris hati ini mungkin ada beberapa hikmah dan pengajaran yang perlu diambil. Para penceramah yang giat mengisi ruang dakwah di tengah masyarakat mestilah sangat berhati-hati dalam memilih kandungan dan mesej dakwah mereka. Bersama populariti dan kemasyhuran itu datangnya amanah dan pertanggungjawaban. Bagi masyarakat am pula, di zaman ledakan informasi ini yang turut menyaksikan informasi agama turut tersebar tanpa kawalan, mereka perlulah lebih berhati-hati dalam mempercayai apa yang mereka baca dan dengar. Maklumat agama yang keluar di akhbar, terdengar di radio, tersiar di tv dan popular di internet tidaklah semestinya terjamin betul dan benar. Dalam bab agama, janganlah kita malas mengkaji dan mempastikan kerana akhirat kitalah yang jadi pertaruhannya. Isu ini juga adalah satu contoh jelas bagaimana sikap terlalu merujuk kepada Sunnah tanpa berpandukan kaedah dan panduan para ulama muktabar adalah sikap yang silap dan merbahaya. Janganlah kita mudah terbawa-bawa dengan sesetengah aliran yang mendakwa sebagai menjuarai Sunnah sedangkan hakikatnya mereka sering menzalimi Sunnah dan yang empunya Sunnah SAW. Semoga Allah SWT menjadikan kita di kalangan mereka yang sentiasa menggembirakan dan mempertahankan kekasihNya, Nabi Muhammad SAW.

Thursday, February 10, 2011

Hormati mereka!

بسم الله الرمن الرحيم


Segala Puji Bagi Allah Ta'ala yang telah mengutuskan Rasul-Nya yang mulia, Penghulu kita Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم yang membawa rahmat ke seluruh alam.

Selawat dan salam Allah moga sentiasa dan selamanya ke atasmu Ya Rasulallah pada setiap kerlipan mata dan hembusan nafas sebanyak luasnya ilmu Allah. Juga ke atas ahli keluarganya dan para Sahabat رضي الله تعالى عنهم yang mulia lagi berjasa dan orang-orang tetap mengikuti jalan mereka.

Sekadar berkongsikan satu tulisan yang diambil dari laman http://jomfaham.blogspot.com/ tentang para Ulama' Hadith yang perlu kita hayati, memandangkan terdapat segelintir manusia yang jahil menuduh para Ulama' dengan tuduhan-tuduhan yang tidak layak dilemparkan kepada mereka.

Siapa kita untuk memperlekehkan mereka? Tinggi mana sudah ilmu dan makrifah kita sehingga mengeluarkan kata-kata nista terhadap mereka? Cerminlah diri kita.

Selamat membaca.


Wallahu a'lam.



Kesungguhan Para Ulama Hadith Yang Perlu Dihayati

Penulis : Ustaz al-Aman

Seorang sahabat Nabi Sollallahualaihiwasallam, Jabir bin Abdillah radiyallahuanhuma menempuh jarak sejauh sebulan perjalanan semata-mata untuk bertemu Abdullah bin Unais demi sebuah hadith. Bayangkan, demi hanya sebuah hadith, Jabir sanggup menempuk jarak yg jauh sedangkan beliau antara sahabat yg paling banyak meriwayatkan hadith. Beliau meriwayatkan sebanyak 1540 buah hadith.

Seorang tabi'i, Rufai' bin Mihran Ar-Riyahi Al-Basri rahimahullah (wafat 93 H) yg terkenal dengan gelaran Abul 'Aliyah berkata
"Kami mendengar riwayat daripada sahabat-sahabat Nabi Sollallahualaihiwasallam di Basrah, kami tidak redha sehinggalah kami bermusafir ke Madinah lalu kami mendengarnya daripada mulut-mulut mereka sendiri."


Imam Sa'id bin Al-Musayyib atau Al-Musayyab rahimahullah, alim besar Madinah (wafat 94 H) berkata,
"Aku bermusafir selama berhari-hari termasuk malamnya untuk mendapatkan sebuah hadith." Siapakah beliau? Beliau merupakan antara individu yg digelar Sayyidut Tabi'in!


Seorang tabi'i terkenal, 'Amir bin Syarahil Al-Kufi rahimahullah atau terkenal dengan gelaran As-Sya'bi (wafat 103 H) keluar dari Kufah menuju ke Madinah kerana tiga buah hadith yg disebut kepadanya.

Manuskrip Kitab Sahih Bukhari yg terdapat di Indiana University Bloomington yg dibuka kepada umum

Imam Ibnul Jauzi rahimahullah berkata, "Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah mengelilingi dunia sebanyak dua kali sehinggalah beliau menghimpunkan Al-Musnad." Beliau merentas dunia menuju Syam, Maghribi, Algeria, Mekah, Madinah, Hijaz, Yaman, Iraq, Parsi, Khurasan .... kemudian beliau pulang kembali ke Baghdad.

Imam Baqiy bin Makhlad Al-Andalusi rahimahullah (lahir 201 H, wafat 276 H) berjalan kaki dari Andalus (Sepanyol) ke Baghdad semata-mata untuk menemui Imam Ahmad bin Hanbal dan mempelajari hadith daripadanya. Usianya ketika itu lebih kurang 20 tahun. Tiba di sana, beliau hanya mampu mempelajari hadith di sebalik pintu gara-gara fitnah yg menimpa Imam Ahmad. Setiap hari, hanya beberapa buah hadith diperolehi. Berkat kesabaran dan kesungguhannya, sebanyak 300 buah hadith telah didengari.

Imam Ibnu Abi Hatim Ar-Razi rahimahullah menceritakan kehebatan bapanya, Imam Abu Hatim Muhammad bin Idris Ar-Razi rahimahullah (lahir 195 H, wafat 277 H). Beliau bermusafir dari Kufah ke Baghdad berkali-kali. Begitu juga dari Mekah menuju ke Madinah. Dari sebuah tempat berdekatan Madinah Sala pula menuju ke Mesir dengan hanya berjalan kaki. Beliau juga menempuh perjalanan berjalan kaki dari Mesir ke Ar-Ramlah. Dari Ar-Ramlah ke Baitul Maqdis, 'Asqalan dan Tobariyah. Dari Tobariyah pula ke Damsyik. Dari Damsyik ke Hims. Dari Hims ke Antakia. Dari Antakia ke Tarasus. Dari Tarasus, beliau kembali semula ke Hims. Kemudian ke Baisan dan ke Ar-Raqqah. Dari Ar-Raqqah, beliau mengharungi Sungai Furat menghala ke Baghdad. Usianya ketika itu hanyalah 20 tahun. Jarak yg terlalu jauh ditempuh dengan hanya berjalan kaki. Pengembaraan kali pertamanya memakan masa 7 tahun manakala pengembaraan kali keduanya pula selama 3 tahun.

Ibnul Muammal rahimahullah berkata,
"Tiada negeri yg tidak dimasuki oleh Al-Fadhlu As-Sya'rani rahimahullah (wafat 282 H) untuk menuntut Ilmu Hadith kecuali Andalus."


Al-Hafiz Al-Arghiyani rahimahullah (lahir 223 H, wafat 315 H) berkata,
"Aku tidak mengetahui (wujudnya) mimbar dari mimbar-mimbar Islam yg masih tidak dimasuki oleh aku untuk mendengar hadith."


Ibnul Muqri' rahimahullah berkata,
"Aku mengelilingi timur dan barat sebanyak empat kali."

Al-Hafiz Al-Faqih Abu Sa'd As-Saman Ar-Razi rahimahullah (wafat 445 H) mengelilingi dunia dari timur ke barat dengan berjalan kaki. Bilangan syeikhnya mencapai jumlah 3600 orang!

Al-Hafiz Abul Fityan Umar Ar-Rowwasi rahimahullah (lahir 428 H, wafat 503 H) telah putus jarinya ketika pengembaraan ilmunya di kawasan yg bersangatan sejuknya. Beliau merupakan seorang alim besar sehinggakan gurunya sendiri, Abu Bakar Khatib Al-Baghdadi dan Imam Ghazali meriwayatkan daripadanya. Bahkan Imam Ghazali amat memuliakannya di dalam majlisnya.

Ketika di Iskandariyah, Abu Tohir As-Silafi rahimahullah tidak pernah keluar ke taman melainkan sekali. Kebanyakan masanya dihabiskan di madrasahnya. Para pelajar membacakan hadith di hadapannya sedang usianya ketika itu menjangkau 100 tahun! Kehidupannya benar-benar dihabiskan sebagai khadam kepada ilmu hadith.

Imam Ibnu A'bdil Daim Al-Maqdisi rahimahullah (lahir di Nablus 575 H, wafat di Damsyik 668 H) meriwayatkan hadith selama 60 tahun. Beliau merupakan guru kepada para ulama terbilang seperti Ibnul Hajib, Imam Nawawi, Ibnu Daqiq Al-'Id, Ibnu Taimiyah, Ad-Dimyati dan Ibnul Khabbaz rahimahumullah.

Al-Hafiz Muhammad bin Tohir Al-Maqdisi rahimahullah (wafat 507) kencing berdarah sebanyak dua kali ketika pengembaraannya menuntut ilmu hadith. Beliau sanggup menempuh jarak yg amat jauh ketika panas yg amat terik.

Al-Hafiz Abu Sa'd As-Sam'ani rahimahullah (lahir 506 H, wafat 562 H) mengembara selama lebih kurang 20 tahun. Ibnu Najjar rahimahullah berkata,
"Aku pernah mendengar seseorang berkata bahawa bilangan syeikhnya seramai 7000 orang!"


Bapanya membawanya ke Naisabur, Kota Ulama Muhaddith pada tahun 509 H. Usianya ketika itu hanya 3 tahun setengah. Beliau telah merantau ke lebih daripada 100 buah bandar. Pengembaraannya secara keseluruhan memakan masa lebih kurang 23 tahun! Jangan lupa bahawa sistem pengangkutan yg paling bagus di zaman itu hanyalah binatang tunggangan dan ianya bagi mereka yg berkemampuan sahaja. Jika tidak, maka mereka akan berjalan kaki.


Golongan penuntut dan Ulama Ilmu Hadith ialah sekelompok manusia yg terpilih. Mereka cintakan pembacaan dan pengajian hadith. Mereka sanggup menghabiskan harta dan masa demi kalam Rasulullah Sollallahualaihiwasallam. Bergerak dari sebuah negeri ke sebuah negeri. Jarak yg jauh rela diredah. Menempuh perjalanan ketika panas yg terik dan sejuk yg membeku. Membelah lautan, meredah lembah. Dengan rambut yg penuh debu, kaki yg pecah-pecah, haus serta lapar. Namun, segala-galanya tidak pernah menghalang sebuah pengembaraan ilmu.

Jika Islam diserang, mereka bingkas dan bangkit menentang. Bersenjatakan ilmu dan segenap pengetahuan. Mereka menyerang ibarat singa lapar dari hutan belantara. Segala-galanya demi mempertahankan kesucian Islam. Maka, kitab-kitab disalin dan ditulis sebagai warisan untuk umat zaman berzaman.

Mereka ialah kaum yg berjaga malam untuk membaca dan menulis. Tangan mereka sering menggosok-gosok mata untuk menghilangkan rasa mengantuk. Ketahuilah, merekalah pembela Islam! Pemergian mereka diratapi seluruh alam.

Mereka diuji dengan pelbagai rintangan. Jika kita ingin mengikut jejak langkah mereka, maka bertahanlah dengan rintangan yg mendatang. Apalah sangat cubaan dan cabaran yg terpaksa kita hadapi jika dibandingkan dengan para ulama terdahulu. Penat dan lelah mereka tidak terbayar walau dengan dunia dan segala isinya.

Berdoalah mudah-mudahan kita dihimpunkan bersama mereka di akhirat kelak, bertemankan Nabi Muhammad Sollallahualaihiwasallam.

-------------------------------------------------

Kepada mereka yg menyertai Majlis Pembacaan Kutub Sittah, manfaatkan peluang yg ada. Beradab ketika majlis berlangsung. Hayati kesungguhan dan semangat para ulama Hadith. Saya sedih kerana tidak mampu menghadirinya atas sebab-sebab yg tidak dapat dielakkan.

Kepada Adhoc Majlis Pembacaan Kutub Sittah, berusahalah bersungguh-sungguh untuk menjayakan program mega ini. Anda terpilih untuk berkhidmat kepada para penuntut ilmu.


Sumber : Http://al-aman.blogspot.com

Friday, October 15, 2010

Alhamdulillah


Alhamdulilah; Segala Puji Bagi Allah Subhanahu wa Ta'ala yang masih memberikan peluang untuk kita melaksanakan amanah sebagai hamba-Nya melalui jalan yang dibawa oleh Nabi-Nya, Penghulu kita Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wa alihi wa sallam.


Sholawat dan salam sentiasa dan selamanya ke atas Penghulu Sekalian Rasul Shallallahu 'alaihi wa sallam, ahli keluarganya, para Sahabat Radiyallahu Ta'ala 'anhum ajma'in dan orang-orang yang mengikuti mereka hingga Hari Kiamat.

Segala Puji Bagi Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana kita diizinkan-Nya untuk bernafas pada hari Juma'at yang penuh dengan kelebihan ini, yang mana ia merupakan Penghulu Segala Hari.

Berkata al Imam Hujjah al Islam al Ghazali Radiyallahu Ta'ala 'anhu dalam kitabnya Bidayatul Hidayah, terjemahan oleh Syaikh Ahmad Fahmi Zam Zam al Banjari al Nadwi al Maliki
;

Iaitu hari yang mulia yang telah dikhususkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada umat Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wa alihi wasallam.


Saya sekadar ingin berkongsi gambar-gambar yang sempat dirakamkan, sebahagian daripada majlis ilmu, majlis zikir, majlis sholawat dan lain-lain di tanah semenanjung ini. Mungkin boleh dijadikan tatapan buat sahabat-sahabat yang mungkin tidak berkesempatan untuk pergi.


Khabar gembira dari Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam tentang orang yang berjalan menuntut ilmu.

Tersebutlah di dalam Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah yang dikeluarkan oleh al Fadhil Ustaz Mustafa 'Abdul Rahman dan Ustaz Ibnu Al Rawi, di dalam hadith yang ke sepuluh;




Imam al Bukhari berkata: Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda: Barangsiapa yang menjalani satu jalan kerana menuntuti dengannya akan pengetahuan, nescaya Allah memudahkan baginya akan jalan kepada syurga.



1) Majlis Zikir, Maulidur Rasul Shallallahu 'alaihi wa sallam dan Haul Akbar Sultanul Awliya', Syaikh Abdul Qodir al Jilani Radiyallahu 'anhu pada 24 Syawal 1431H bersamaan 2 Oktober 2010, jam 7.30 malam bertempat di Surau Miftahul Falihin.






Majlis dihadiri oleh Syaikh 'Afifuddin al Jailani dari Iraq, Habib 'Ali Zainal 'Abidin al Hamid (Kuala Lumpur), Habib Thohir Abdullah al Kaff dari Tegal Indonesia, Habib Umar bin Abdullah as Saggaf dari bangil Indonesia, kiyai-kiyai, asatizah.



Antara yang menyampaikan tazkirah / peringatan pada malam itu ialah Habib 'Ali Zainal 'Abidin al Hamid.


2) Pada keesokannya pula, 30 Oktober 2010, majlis yang sama diadakan bertempat di Masjid al Syakirin Batu 6, Jalan Gombak. Majlis bermula jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengahari.



Antara yang hadir dan menyampaikan ceramah / mau'izotul hasanah pada majlis tersebut ialah, Sayyid Syaikh Afeefuddin al Jailani (al Wariseen), al Fadhil Tuan Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki al Rembawi (Pengasas dan penasihat Yayasan Sofa, Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan), al Fadhil Habib Hussein Alwi bin Agil (Probolinggo, Sourabaya, Indonesia).


Tuan Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki selepas majlis



al Fadhil Habib Hussein Alwi bin Agil ketika menyampaikan mau'izotul hasanah



Syaikh Sayyid Afeefuddin al Jailani


3) Majlis bersama ulama' dan bacaan Mawlid Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam di Masjid al Falah, USJ 9. Bersama Habib Kazim As Saggaf, pendakwah dari Tarim, Hadramaut, Yaman.



Habib Kazim As Saggaf selepas majlis


4) Majlis bersama Syaikhul hadith dari Nadwatul Ulama India, Syaikh Sayyid Salman al Husaini di Ba'Alawi, Kuala Lumpur pada 09 Oktober 2010.



Syaikh Sayyid Salman al Husaini selepas majlis



5) Program Tuan Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki, tazkirah oleh Muhaddith Iskandariah, Mesir, Syaikh Sayyid Muhammad bin Ibrahim al Husaini al Kattani, Dar al Maliki pada 9 Zulqaedah / 17 Oktober 2010.



Syaikh Sayyid Muhammad bin Ibrahim al Husaini al Kattani bersama Tuan Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki

Ketika majlis tersebut, Syaikh Muhammad bin Ibrahim al Husaini al Kattani mensyarahkan sepotong hadith dari al Jami' al Shohih Imam Bukhari Radiyallahu 'anhu.



6) Khutbah Juma'at pada 15 Oktober 2010 di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Uia Gombak oleh
al Da'ie ila Allah, al Habib 'Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz, pengasas dan mudir Dar al Mustofa, Tarim, Hadramaut, Yaman.


Pagi Juma'at yang mulia



Keturunan Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam dari sebelah Sayyidina Hussein



Habib Soleh al Jufri (Solo, Indonesia)


Habib Naufal bin Jindan (Indonesia)


Mutiara kata al Da'ie ila Allah, al Habib 'Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz, dinukilkan oleh al Fadhil Ustaz Abu Zahrah dalam blog beliau;

Barangsiapa yang tidak mahu duduk dengan orang beruntung, bagaimana mungkin ia akan beruntung dan barangsiapa yang duduk dengan orang beruntung bagaimana mungkin ia tidak akan beruntung.



قال الله تعلى في كتابه العزيز: انما يخشى الله من عباده العلماء

سورة فاطر : 28


Maksudnya: Hanyasanya yang takut akan Allah Ta'ala itu daripada hamba-Nya itu iaitu ulama'



7) Sambutan Haul Imam al Habib 'Abdullah bin 'Alwi bin Muhammad al Haddad yang ke 229 (beliau wafat pada tahun 1132H). Di hadiri oleh, antaranya, al Da'ie ila Allah, al Habib 'Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz, Habib Kazim As Saggaf, Habib 'Ali Zainal 'Abidin al Hamid, Habib Soleh al Jufri (Solo), Habib Naufal bin Jindan, Tuan Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki, dan ramai lagi Habaib, ulama' yang tidak dapat disebutkan kesemuanya.


Majlis Sambutan Haul Imam al Haddad di Masjid Bukhary, Jalan Hang Tuah, pada 15 Oktober 2010.









~Moga kita dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dapat bersama-sama berada dalam majlis 'ilmu, majlis zikir bersama para ulama' yang mana mereka adalah pewaris para anbiya', orang-orang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya Shallallahu 'alaihi wa sallam, orang-orang yang sentiasa mengajak manusia ke arah kebaikan dan mencurahkan manusia dengan mutiara hikmah yang bersumberkan daripada kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya Shallallahu 'alaihi wa sallam.

~Terima kasih kepada Bg Naim untuk sebahagian gambar-gambar di atas.



Wallahu a'lam.




Rujukan;



Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah
terjemahan Ustaz Mustafa 'Abdul Rahman dan Ustaz Ibnu Rawi terbitan Dewan Pustaka Fajar


Bidayah al Hidayah karangan Al Imam Al Mujaddid Hujjah al Islam Abu Hamid al Ghazali, terjemahan Permulaan Jalan Hidayah oleh Syaikh Ahmad Fahmi Zam Zam al Banjari al Nadwi al Maliki

Hidayah al Salikin fi Suluk Maslak al Muttaqin
susunan Syaikh 'Abdu Somad al Falimbani, tahkik dan ta'liq Syaikh Ahmad Fahmi Zam Zam al Banjari al Nadwi al Maliki
.