Monday, November 15, 2010

Berehat Sebentar

بسم الله الرحمن الرحيم


Segala Puji Bagi Allah Subhanahu wa Ta'ala Yang Maha Agung yang menjadikan siang dan malam silih berganti.

Selawat dan salam sentiasa dan selamanya ke atas Penghulu orang-orang yang bertaqwa, Shallallahu 'alaihi wa sallam, keluarganya yang baik, para Sahabat Radiyallahu Ta'ala 'anhum ajma'in yang mulia dan orang-orang yang mengikuti jalannya.


Mari kita berehat seketika sambil melontarkan dan mendengar akan puji-pujian kepada Penghulu kita, Nabi yang diharapkan syafaatnya, Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wa salihi wa sallam.


Telah berkata Guru kami, lebih kurang begini maksudnya;


"Selepas seharian di pagi hari mungkin kita banyak sekali berkata dengan perkataan yang sia-sia, maka apalah kiranya kita ambil sedikit daripada masa kita untuk memenuhi lisan kita dengan puji-pujian kepada Kekasih Allah Subhanahu wa Ta'ala".


Sesungguhnya, tidak rugi untuk kita mendengar dan menitipkan kalam puji-pujian ke atas Baginda Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam.


Maka, di sini, di sertakan bait-bait Qosidah Al Burdah karangan salah seorang ulama' besar dalam dunia Islam, iaitu Al Imam, al 'Alim, Sayyid al Muddah, Abu Abdullah Syarafuddin Muhammad ibn Sa'id ibn Hammad ibn Muhsan ibn Abdullah ibn Sofhaji ibn Hilal al Sonhaji al Busairi al Syazuli Radiyallahu 'anhu.

Sedikit pengenalan mengenai Imam al Busairi Radiyallahu 'anhu, beliau dilahirkan di daerah Dalas, Mesir pada awal bulan Syawal tahun 608 Hijrah bersamaan 1212 Masihi dan masyhur dengan panggilan al Busairi kerana beliau dibesarkan di Bushir.


Antara guru-guru beliau adalah, Syaikh Sayyid Abu Hassan al Syazuli, Syaikh Sayyid Abu Abbas al Mursi Radiyallahu 'anhum dan ramai lagi Masyaikh.


Ramai ulama' telah memberikan pujian dan mensyarahkan Qosidah Al Burdah Imam al Busairi ini kerana faedah yang banyak yang boleh diperolehi daripadanya.




Al Imam Al Muhaddith Al Musnid Sayyid Muhammad ibn 'Alawi al Maliki al Hasani Radiyallahu 'anhu; dua dari kiri.


Antaranya, wangi-wangian dari bumi Hijaz, Al Imam Al Muhaddith Al Musnid Sayyid Muhammad ibn 'Alawi al Maliki al Hasani Radiyallahu 'anhu pernah menyarankan kepada anak-anak muridnya supaya
mempelajari bidang qosidah selepas belajar al Qur'an. Ini kerana qosidah atau syair adalah merupakan suatu ilmu yang seni dalam melontarkan ketenangan apabila kita menghayatinya, lebih-lebih lagi apabila mengingati Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam.

Telah berkata Al 'Allamah Syaikh Yusof Isma'il al Nabhani Radiyallahu 'anhu, Penghimpun Afdhol al Sholawaat 'ala Sayyid al Sadaat;


"Jalan beramal yang paling mudah di zaman ini ialah dengan menyebut dan memuji Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam".


Maka, pujian yang kita lontarkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wa sallam tidaklah sampai menyifatkan Baginda Shallallahu 'alaihi wa sallam dengan sifat ketuhanan.
Sebagaimana yang dijelaskan sendiri oleh Imam Al Busairi dalam Burdahnya:

"Tinggalkan cara orang Nasrani (Kristian) dalam menyanjung Nabi mereka (Nabi Isa 'alaihi salaam) iaitu jangan katakan bahawa Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wa sallam itu mempunyai sifat ketuhanan. Selepas itu, terserlah kepada kamu untuk memuji Baginda Shallallahu 'alaihi wa sallam dengan sesuka hati kamu".


Memuji Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam dan mengingati Baginda Shallallahu 'alaihi wa sallam juga merupakan tuntutan daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam Surah al Qalam ayat 4 yang kira-kira bermaksud;


"Dan sesungguhnya engkau (Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wa sallam)
benar-benar berbudi pekerti yang luhur".

Dan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam Surah al Ahzab ayat 56 yang kira-kira bermaksud;


"Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya bersalawat untuk Nabi (Shallallahu 'alaihi wa sallam). Wahai orang-orang yang beriman!
Bersalawatlah kamu untuk Nabi (Shallallahu 'alaihi wa sallam) dan ucapkanlah salam dengan penuh penghormatan kepadanya".


Usah dipedulikan dengan segelintir manusia yang masih lagi berkira-kira untuk memuji Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam, walhal Baginda Shallallahu 'alaihi wa sallam adalah semulia-mulia makhluk Allah Subhanahu wa Ta'ala yang paling berhak untuk dipuji!


Sebagaimana diungkapkan dalam bait Qosidah yang indah;


Siapakah yang menyamai Ahmad (Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wa sallam) di dua alam ini pada ketinggian akalnya


Baginda Shallallahu 'alaihi wa sallam adalah bulan seluruh makhluk pada kecantikannya yang membingungkan






Maka, ini adalah Bab yang pertama daripada Qosidah Burdah oleh Imam Al Busairi Radiyallahu 'anhu, didendangkan oleh kumpulan Ahbab al Mustofa dari Yaman dan terjemahan Qosidah dalam Bahasa Melayu ini dan segala maklumat berkaitan dengan Imam Al Busairi Radiyallahu 'anhu adalah diambil daripada buku Qosidah Al Burdah Imam Al Busairi Radiyallahu 'anhu yang dikeluarkan oleh al Fadhil Ustaz Ahmad Luthfi bin Abdul Wahab al Linggi.






Jadi, untuk biografi yang lebih lanjut tentang Imam Al Busairi Radiyallahu 'anhu, anda bolehlah membeli buku tersebut dan lain-lain rujukan. (^_^)



Moga kita digolongkan Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam golongan orang-orang yang mencintai Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam yang mana kecintaan itu melebihi kecintaan kita kepada diri kita sendiri, ibu bapa kita dan manusia seluruhnya.


Moga kita mendapat syafaat Baginda Shallallahu 'alaihi wa sallam di akhirat kelak.




Wallahu Ta'ala a'lam.



Rujukan:
Al Qur'an Al Karim

Rantaian Mutiara Al Arif Billah Habib Ali ibn Muhammad ibn Husin Al Habsyi Radiyallahu 'anhu, dikeluarkan oleh al Fadhil al Syaikh Muhammad Fuad ibn Kamaludin al Maliki.

Qosidah Al Burdah Imam Al Busairi Radiyallahu 'anhu, Puji-pujian untuk Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam, dikeluarkan oleh al Fadhil Ustaz Ahmad Lutfi bin Abdul Wahab al Linggi.