Sunday, January 30, 2011

Dari Mesir

بسم الله الرحمن الرحيم


Segala Puji Bagi Allah سبحانه وتعالى Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.



Selawat dan salam sentiasa selamanya ke atas Junjungan mulia, Penghulu kita Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم , ahli keluarganya dan para Sahabatnya yang mulia lagi berjasa.


Sama-sama kita memperbanyakkan doa ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala supaya kenalan-kenalan yang berada di bumi anbiya', Mesir, sentiasa dalam keadaan selamat dan sejahtera.



Antara kenalan-kenalan yang berada di Mesir.


Ya Allah, selamatkanlah Guru-guru kami, adik-adik kami, sahabat-sahabat kami, kenalan-kenalan kami dan semua umat Islam yang berada di bumi anbiya' Mesir. Moga mereka sentiasa dalam kesejahteraan dan keselamatan dan sentiasa di bawah jagaan-Mu, selamat pergi dan kembali, dengan kemuliaan Sayyid al Mursalin (Penghulu Segala Rasul). Allahumma amin.


Sama-sama kita memperbanyakkan berdoa kepada Allah تعالى , melakukan solat hajat, membaca hizib-hizib, wirid-wirid dan sebagainya moga mereka sentiasa dilindungi.

Boleh dapatkan berita terkini pelajar-pelajar yang berada di Mesir di http://krisismesirnasibrakyatkita.blogspot.com/

Wallahu a'lam.

Thursday, January 27, 2011

Memilih Cinta

بسم الله الرحمن الرحيم


Segala Puji Bagi Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana masih mengurniakan kita untuk hidup sehingga ke saat ini.

Selawat dan salam moga sentiasa dan selamanya ke atas kekasih Allah Subhanahu wa Ta'ala, Sayyid al Anam (Penghulu sekalian alam), junjungan besar Nabi Muhammad
صلى الله عليه وآله وسلم , ahli keluarganya yang mulia, para Sahabat yang berjasa dan orang-orang yang mengikuti mereka hingga hari Kiamat.

Beberapa hari lepas, saya terbaca blog sahabat saya yang bertajuk Memilih cinta yang susah. Terimak kaseh ridwan, mun sik maca blog kitak, sik kamek maca artikel ya kali :)

Artikel tersebut bertajuk
Memilih cinta yang susah, tulisan Ustaz Hasrizal, boleh baca terus di sini atau baca di bawah ini. Bagi saya, tulisan yang menarik dan bermanfaat, jom baca dan amalkannya, InshaAllah.

Mungkin tiada kaitan dengan tajuk, sekadar perkongsian. Teringat sewaktu dalam kelas Islam and Psychology tadi, dalam bab Learning From An Islamic Perspective, betapa pentingnya dalam memilih contoh ikutan (observational learning) dalam kehidupan kita, maka, tidak lain tidak bukan, contoh ikutan umat Islam ialah Sayyiduna Muhammad
صلى الله عليه وآله وسلم .

Sebagaimana Firman Allah Subahanahu wa Ta'ala dalam Surah al Ahzab Ayat 21 yang kira-kira bermaksud;

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu
contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)".

Robi'ul Awwal menjelang tiba,
Bulan kelahiran Rasul mulia,
Lahirnya membawa rahmat ke seluruh dunia,
Syafaatnya yang diharap di akhirat sana.

اللهم صل و سلم و بارك عليه و على آله

Wallahu a'lam.



Memilih Cinta Yang Susah


Bersama moderator dan AJK program. Tahniah semua!

“Mengasingkan diri, atau bercampur gaul tanpa batasan, kedua-duanya adalah ekstrim. Islam adalah cara hidup yang seimbang. Ia menyuruh kita bergaul seluas mungkin, dan pergaulan itu pula ada garis panduannya” saya menjawab soalan pertama yang diajukan oleh moderator.

Pusat Asasi UIAM di Petaling Jaya menganjurkan Forum Dari Mata Turun ke Hati sempena kempen Biah Solehah di kampus PJ tersebut.

“Antara input, proses dan output, apakah status pergaulan?” saya melontarkan soalan kepada peserta.

Kerusi di Dewan al-Malik Faisal mula berisi. Seperti biasa, di sayap sisters kerusi tambahan sudah mula disusun, manakala kerusi brothers sudah separuh penuh. Lebih positif daripada menyebut masih separuhnya kosong.

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” [At-Taubah 9: 71]

Lelaki dan perempuan, bukan sebarang lelaki dan perempuan.

Mereka adalah lelaki dan perempuan yang beriman.

IMAN itu adalah asas pergaulan dan interaksi kita.

Mereka saling bantu membantu dalam urusan amar makruf nahi munkar, menegakkan Solat dan melunaskan Zakat, serta seluruh agenda yang berada di dalam lingkungan mentaati Allah dan Rasul.

BERBALAH TENTANG PROSES

Apa yang sering menjadi bahan ‘perbalahan’ sesama anak muda ialah tentang perincian pergaulan sebagai PROSES.

Akan tetapi, jika titik mulanya adalah soal Aqidah, soal Iman seorang hamba kepada Allah, dan matlamat daripada pergaulan itu adalah untuk menegakkan perintah serta meninggalkan larangan Allah, bisakah tatacara pergaulan menyimpang daripada niat dan matlamat?

“Syaitan menyesatkan anak Adam berdasarkan dia itu belajar di universiti mana!” saya sengaja menyebut demikian.

Bagi brothers and sisters di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, sesuai dengan tema Islam itu sendiri, tindakan syaitan akan lebih licik. Maksiat akan lebih berpotensi dijamah andaikata ia dikosmetikkan dengan warna-warna Islam.

“Cinta fillaah!”

“Benda ini maslahah ‘ammah. Kepentingan orang ramai”

“Islam mesti dilihat progresif dan memimpin modernisasi”

“Ahh, yang di’sms’ itu bukan lirik lagu Anuar Zain. Ia hadith of the day. Bukankah Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah berpesan, ballighu ‘anni walau aayah!”

Berhati-hati. Syaitan itu jauh lebih sabar daripada dirimu. Ia tidak tergesa-gesa pada mengheret anak Adam tersimpang daripada jalan kebenaran. Tadarruj!

Justeru itu, ambillah secara serius usaha untuk mengenal tatasusila pergaulan seperti yang diajarkan oleh Syariat Islam. Berpersatuan, berbincang tentang pelajaran, berurus niaga, bekerjasama dalam apa sahaja bentuk aktiviti, semuanya diharuskan malah digalakkan oleh Islam. Jika ada saranan yang mahu lelaki dan perempuan itu hidup berasingan dan menghindari kerjasama, ia bukan Islam. Ia pseudo-agama. Akan tetapi, jika ada saranan yang mahu lelaki dan perempuan itu bergaul lagi bekerjasama, tanpa mengira apa motifnya, bagaimanakah tatacaranya, dan tanpa tujuan yang jelas, ia juga bukan Islam. Ia adalah seruan Ibahiyyah yang mahu meleraikan panduan Syariat daripada kehidupan.

“Sebab itu murabbi saya dahulu, ‘mewajibkan’ kami menghadam buku Tafsir Surah an-Nur oleh al-Maududi. Di samping belajar elok-elok Surah Akhlaq, Surah al-Hujuraat” saya menambah.

Pergaulan antara lelaki dan perempuan itu adalah untuk saling mengambil manfaat daripada keunikan masing-masing. Buah fikiran, tumpuan, kemahiran dan kecenderungan antara lelaki dan perempuan itu, banyak perbezaannya. Kerjasama antara kedua-dua belah pihak, berperanan melengkapkan kerja. Namun pergaulan itu tidak boleh terlepas daripada tujuan asalnya iaitu IMAN, serta proses yang betul, dan tujuan akhirnya adalah untuk melaksanakan ibadah serta meraih keredhaan Allah.

Jika kerja, pergaulan hendaklah dalam ruang lingkup menyempurnakan kerja.

Jika belajar, pergaulan hendaklah dalam ruang lingkup menyampaikan maksud belajar.

Selebihnya?

Lagha. Purposeless. Ruang-ruang tanpa motif inilah tempat terbaik nafsu dan syaitan menyerang luar dan dalam untuk mengkucar kacirkan pergaulan silang jantina. Salah satu potensi pergaulan yang kucar kacir ini adalah ZINA.

Lazimnya, kebanyakan maksiat adalah kombinasi antara pain and pleasure antara mangsa dan pemangsa. Jika berlaku kecurian, mangsa berasa sakit, pemangsa pula beroleh keseronokan. Namun berbeza dengan ZINA. Ia adalah maksiat yang sedap. Sama ada pelaku atau yang diperlakukan, kedua-duanya mendapat keseronokan. Itulah hikmah mengapa Allah bukan sekadar mengharamkan ZINA, malah memerintahkan kita agar MENJAUHINYA.

“Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya ia adalah suatu kecelaan dan seburuk-buruk jalan pilihan manusia” [al-Israa' 17: 32]

Allah tahu, zina itu sedap dan nikmat. Menolaknya jika sekadar menolaknya, terlalu sukar. Justeru sama seperti maksiat-maksiat yang lain, Allah bantu kita untuk mengelaknya dengan menutup pintu-pintu kepada zina. Sesungguhnya menolak zina hanya menjadi realiti apabila MUQADDIMAH ZINA dilihat sebagai muqaddimah zina yang mesti dihindari.

TATACARA PERGAULAN DAN LARANGAN MUQADDIMAH ZINA


Jika soalan timbul pada meminta perincian terhadap tatacara pergaulan silang jantina di dalam Islam, temuilah ia di dalam perintah-perintah berikut:

1. MENUNDUKKAN PANDANGAN

Tingkap itu yang mesti dipelihara. Jendela penglihatan yang turun ke hati dan kemaluan. Menundukkan pandangan itu bermaksud memelihara penglihatan daripada melihat perkara haram. Perkara yang merangsang libido dan mengundang diri kepada zina. Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan.” [al-Nur 24: 30]

Wanita-wanita yang beriman itu juga diberikan saranan yang sama. Di dalam ayat yang menyusul perintah di atas, Allah memerintahkan kaum wanita seperti kaum lelaki, sama-sama memelihara pandangan daripada melihat apa yang tidak diharuskan baginya melihat.

“Alahai, takkanlah baru tengok sudah mahu berzina!” seorang manusia mahu berbijak-bijak berhujah dengan Tuhan.

Dia lupa, fitnah penglihatan dan zina bukan urusan rasional. Ia urusan nafsu dan kemaluan. Urusan hati yang membuat pertimbangan. Justeru itu Allah berpesan, “yang demikian itu lebih suci bagi mereka”. Muqaddimah zina ini bukan hanya urusan di peringkat individu. Ia bertujuan membentuk suasana yang sihat. Saling bekerjasama untuk mewujudkan suasana yang tidak mengundang zina.

2. MEMELIHARA AURAT

Menundukkan pandangan daripada perkara haram menjadi lebih mudah apabila perkara haram itu tercegah dalam daerah halalnya. Anggota tubuh yang perlu diberi perlindungan, adalah cara seseorang memuliakan dirinya sendiri dan menghormati orang lain yang bermata lagi berhati, juga bernafsu.

Peliharalah aurat.

Wanita.

Lelaki.

Sama sahaja.

“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka…” [al-Nur 24: 31]

Perintahnya bukan perintah menutup rambut.

Perintahnya adalah perintah memelihara aurat.

3. TIDAK BERTABARRUJ JAHILIAH

Menutup aurat itu cara Allah mengajar kita membentuk diri. Biar dengan menutup aurat itu kita belajar menganut sifat malu, belajar mengenal batas-batas diri yang mewujudkan rasa berTuhan dalam kehidupan dengan batasan-batasan itu.

“Dan hendaklah kamu melazimkan diri berada di rumah kamu serta janganlah kamu mendedah, menghias dan menonjolkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu” [Al-Ahzaab 33: 33]

“Saya sudah menutup aurat!” kata seorang perempuan yang bertudung.

Beliau terlepas pandang, tudungnya memang bertudung tetapi solekan di bibir dan kelopak matanya sangat keterlaluan, di dalam tudungnya ada bonggol sanggul yang sengaja ditolak ke atas meninggikan kepala, kakinya memakai rantai berloceng, hingga setiap inci tubuhnya menarik perhatian untuk dilihat dan direnung, biar pun beliau itu bertudung.

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam telah bersabda :

Dua golongan yang termasuk dari kalangan ahli neraka yang tak pernah aku lihat iaitu yang pertama mereka yang memegang cemeti seperti ekor lembu (bentuk cemeti itu seperti ekor lembu yang berbulu-bulu dan berambut-rambut) dan mereka memukul manusia dengan cemeti tersebut. Yang kedua adalah perempuan memakai pakaian tetapi keadaanya umpama telanjang (ketat), dan perempuan ini berjalan sambil berlenggang lenggok dan sanggol rambutnya (ataupun sekarang ikatan rambutnya) umpama bonggol unta.Dan perempuan yang sebegini keadaanya tidak akan mencium bau syurga. Ketahuilah bau syurga sudah boleh diciumi dari jarak begini dan begini. [Hadith riwayat Muslim no. 2128]

Bertudung. Tetapi masih mahu menarik perhatian orang memandang dan membelek.

Justeru hilanglah hikmah memelihara aurat.

Biar pun rambut ditutup, dia masih kaya dengan elemen Jazb al-Intibah (menarik perhatian dan pandangan orang).

4. BERURUSAN DENGAN BATASAN

Bekerja, belajar, bermesyuarat, berjiran dan bermasyarakat, semuanya harus.

Namun keharusan itu harus dipandu oleh batasan.

Silang jantina perlu mengenal keperluan dan tujuan, jangan hanya berpandukan kemahuan.

“Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta daripada mereka maka mintalah kepada mereka dengan perantaraan hijab. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka” [al-Ahzaab 33: 53]

Sama ada hijab itu berupa tabir yang fizikal, atau sekurang-kurangnya mengekalkan batas pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Bermesyuaratlah, tetapi biar seadanya.

“Hai, takkanlah sembang-sembang sudah terangsang?” hujah seorang bijak pandai di syarikat Multinasional.

“Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka” jawab Allah.

Dia yang memiliki hati. Dia tahu sifat baik dan buruk hatimu. Justeru nasihat-Nya tentang hati itulah nasihat terbaik untuk manusia yang mahu berhati-hati.

Lihatlah di pejabat, siapa di meja sebelah, siapa di kubikel depan, keluar makan tengah hari dengan siapa, dari Stesyen LRT ke pejabat tumpang kereta siapa, pergi ke site atau bertemu pelanggan naik kereta siapa, semua itulah yang perlu dipertimbangkan kembali, kerana melakukannya tanpa batasan adalah MUQADDIMAH ZINA.

5. TIDAK MELUNAKKAN SUARA

Dengar suara, mahu orangnya.

Itu akibat manusia-manusia yang hatinya berpenyakit.

Sakitnya pula letak di hati yang tidak kelihatan. Justeru jangan cari penyakit. Jangan lunakkan suara semasa berbicara. Bersahaja, sederhana, seperti biasa, jangan dimanja-manja, jangan mengada-ngada.

“Andaikata kamu benar-benar beriman, maka janganlah kamu lunak-lunakkan suara semasa berbicara. Nantinya orang-orang yang hatinya berpenyakit menjadi tamak. Justeru berbicaralah dengan perbicaraan yang maaruf” [al-Ahzaab 33: 32]

DEKAT DENGAN REALITI

“Melunakkan suara, jangan sampai jadi sarjan! Menundukkan pandangan, jangan sampai terlanggar dinding” saya menambah.

Kata kuncinya ialah, lebih dekat kehidupan kita sekarang dengan realiti di luar sana, maka kuranglah kebarangkalian untuk seseorang itu terkena kejutan budaya. Semasa duduk dalam realiti alternatif yang dibentuk di bangku pengajian, kita boleh memilih tahap komitmen masing-masing. Mahu mentakrifkan hijab [al-Ahzaab 33: 53] sebagai tabir yang memisahkan, atau mewujudkan jarak pemisah antara lelaki dan perempuan yang berdiskusi atau bermesyuarat, terpulang. Selagi ada batasan, selagi itu maksud di sebalik ayat berkenaan diambil.

Namun jika kita memilih untuk melaksanakan tabir, jadikan tabir itu sebagai alat pemudah, dan tempat kita bergantung pada mengawal ikhtilat. Realiti kehidupan akan mengheret kita kepada sebuah budaya seharian tanpa tabir, maka mudah-mudahannya jangan kita yang biasa bertabir itu terkena kejutan budaya.

Dalam menelusi bentuk-bentuk ekspresi semangat Islam, saya melihat kesederhanaan sebagai sesuatu yang lebih konsisten.

HUKUM CINTA SEBELUM KAHWIN

“Tetapi, saya mahu jawapan kepada soalan yang panelis kedua tadi selitkan iaitu apakah hukum bercinta sebelum kahwin?” tanya salah seorang peserta.

“Jika mahu bercinta sebelum kahwin, boleh. Bercintalah. Seperti kata mak ayah kita masa kecil dahulu, kan? Nak panjat pokok, panjatlah!” saya menjawab.

“Apa hukumnya” adalah template biasa yang diguna pakai di dalam masyarakat kita untuk meminta penjelasan. Biar pun dalam sesetengah keadaan, persoalannya bukan semata-mata hukum.

“Bercinta sebelum berkahwin ini, boleh. Dengan syarat, jangan tanpa apa pandangan Islam. Ia adalah CINTA YANG SUSAH. Saya menyebutnya begitu kerana saya sendiri tidak tahu pasangan kekasih yang mana daripada kalangan sahabat Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam yang ingin saya ambil sebagai contoh. Cinta di luar perkahwinan adalah seperti membela haiwan liar di luar kandang. Ia adalah cinta yang susah. Masakan tidak… ia adalah cinta yang tiada panduan al-Quran, tiada panduan al-Sunnah. Apa yang ada hanyalah kebijaksanaan akal masing-masing untuk memanipulasi mana-mana nas al-Quran dan al-Sunnah, sebagaimana lagu “For The Rest Of My Life” dendangan Maher Zain, yang asalnya ditujukan oleh seorang suami kepada seorang isteri, diselewengkan sebagai hadiah Valentine seorang buayafriend kepada gelifriend” saya menambah lagi.

“Dan bagi mahasiswa lelaki yang masih berdegil untuk tidak mahu memenuhi kerusi hadapan, tidak seperti mahasiswi, jangan satu hari nanti rumahtangga anda digugat oleh sebuah Jabatan Isteri Pertama oleh isteri yang lebih memimpin” saya mengusik peserta lelaki dek dewan yang semakin sesak di bahagian belakang.

Mereka kebingungan.

Saya ketawa sendiri.

Perjalanan mereka masih panjang.

Sepanjang forum yang masih ada sejam berbaki.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Wednesday, January 26, 2011

Jom Bersholawat!

بسم الله الرحمن الرحيم




Juh pegi rami-rami!
Semarakkan cinta kita terhadap Sayyid al Solihin صلى الله عليه وآله وسلم

Monday, January 24, 2011

Majlis Talaqi di Uiam Gombak

بسم الله الرحمن الرحيم


Segala Puji Bagi Allah Ta'ala, kepunyaan-Nyalah segala yang ada di langit dan bumi, dan apa yang ada di antaranya.

Sholawat dan salam moga sentiasa dan selamanya ke atas Khair al Bariyyah (Sebaik-baik
makhluk) Shallallahu 'alaihi wa alihi wa sallam, para Sahabat dan orang-orang yang mengikuti mereka hingga hari Kiamat.

Daripada Abu Hurairah Radiyallahu Ta’ala ‘anhu berkata: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Siapa yang berjalan di suatu jalan untuk menuntut ilmu pengetahuan, Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.

(Hadith Riwayat Muslim)









Untuk maklumat lanjut, sila layari sini

Semua dijemput hadir!


Wallahu a'lam.

Friday, January 21, 2011

Fadhilat Salawat

بسم الله الرحمن الرحيم


Segala Puji Bagi Allah Subhanahu wa Ta'ala, Tuhan Semesta Alam.

Selawat dan salam sentiasa dan selamanya ke atas semulia-mulia makhluk صلى الله عليه وسلم yang diciptakan Allah Ta'ala, ahli keluarganya yang suci, para Sahabatnya yang mulia dan orang-orang yang mengikuti mereka hingga hari Kiamat.

Mengambil keberkatan pada hari Juma'at yang mulia ini, mari kita lihat beberapa hadith tentang kelebihan bersalawat, dan seterusnya, memperbanyakkan salawat kita kepada junjungan besar Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم .

Hadith-hadith diambil daripada kitab Fadhilat Salawat yang diterjemahkan oleh al Musnid Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki حفظه الله daripada kitab
al Nafhah al Ilahiyyah fi al Solah 'ala Khair al Bariyyah karangan seorang ulama' besar, Syaikh Sayyid Abu al Fadhl Abdullah ibn al 'Allamah Muhammad al Siddiq al Ghumari al Hasani رضي الله تعالى عنه .





Hadith 13

Daripada Abi Umamah
رضي الله تعالى عنه berkata, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

"Perbanyakkanlah salawat ke atasku pada setiap hari Jumaat. Sesungguhnya salawat umatku dipersembahkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Barangsiapa yang paling banyak mengucapkan salawat ke atasku, maka dia adalah orang yang paling hampir kedudukannya di sisiku."

-Diriwayatkan oleh Imam al Baihaqi di dalam hayah al Anbiya' dan isnadnya adalah hasan.


Hadith 30

Daripada Anas
رضي الله تعالى عنه berkata, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

"Barangsiapa yang disebutkan (nama)ku di sisnya, maka ucapkanlah salawat ke atasku. Barangsiapa yang mengucapkan satu salawat ke atasku, nescaya Allah akan bersalawat ke atasnya sebanyak 10 kali."

-Diriwayatkan oleh Imam Ahmad
رضي الله تعالى عنه


Hadith 32

Daripada Umar
رضي الله تعالى عنه berkata, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

"Barangsiapa mengucapkan satu salawat ke atasku, nescaya Allah bersalawat ke atasnya sebanyak 10 kali, hendaklah seorang hamba itu mengucapkan salawat sama ada sedikit atau pun banyak."

-Diriwayatkan oleh al Tabari dan beliau berkata: Khabar sanad ini di sisi kami adalah sohih.




Wallahu a'lam.

16 Safar 1432H / 21 Januari 2010M
Gombak.

Thursday, January 20, 2011

Buku terbaru di pasaran

بسم الله الرحمن الرحيم


Segala Puji Bagi Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana masih memberikan kita peluang untuk bernafas sehingga ke saat ini.

Selawat dan salam moga sentiasa dan selamanya ke atas junjungan besar Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم , para Sahabatnya yang mulia lagi berjasa, dan orang-orang yang mengikuti mereka hingga hari Kiamat


Sekadar ingin menghebahkan buku terbaru tulisan guru kami, al Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll al Sanariy yang bertajuk PERSOALAN KHILAFIYYAH DAN PENJELASAN ULAMA'.




Buku setebal 920 muka surat dengan lebih 2000 nota kaki, berkulit tebal, menjawab 117 persoalan khilafiyyah.

Buku ini telah disemak dan kata-kata aluan oleh Dato' Wan Mohammad (Ketua Pengarah JAKIM), Dato' Haji Loling (Mantan Mufti Negeri Sarawak), Dato' Hashim Yahya, Dato' Salleh Ahmad, Dr. Uthman El Muhammady dan lapan orang Ustaz.

Di dalam buku ini, dikumpulkan persoalan-persoalan yang bersifat khilafiyyah. Walau bagaimanapun, terdapat juga persoalan tentang aqidah dan persoalan yang sudah diijma’kan oleh para ulama‘.

Ia dimuatkan juga kerana ia sering dibangkitkan dalam masyarakat. Perkara-perkara yang sudah sekian lama diamalkan dalam masyarakat Islam di negara ini dan di dunia Islam amnya, sebenarnya mempunyai dasar dan dalil yang jelas yang dapat dipertanggung jawabkan. Tidaklah benar jika dikatakan ia tidak berdasarkan tuntutan Syariah, lebih-lebih lagi terkeluar dari landasan Islam.

Di dalam buku ini, dibentangkan penjelasan para ulama’ muktabar terhadap perkara-perkara atau persoalan yang ditimbulkan, melalui rujukan mereka terhadap Al-Qur’an, hadith, maupun sumber-sumber istinbath yang lain.




Jika masih terdapat di kalangan mu’taridhin (golongan yang menentang amalan-amalan tertentu di dalam masyarakat) yang tetap dengan hujah dan pendapat mereka dalam permasalahan khilafiyyah ijtihadiyyah umpamanya, maka mereka dipersilakan untuk mengikut jalan mereka sendiri dan bukanlah bermakna jalan atau pendapat orang lain yang tidak sependapat dengan mereka salah.

Buku berharga RM 150, untuk tempahan/pembelian, boleh hubungi Ustaz Ahmad Lutfi, Mawleed Publishing, di talian 017-6671007 atau hubungi nama-nama yang tertera dalam gambar di atas.

Kenali pengarang:

Ustaz Muhadir bin Haji Joll. Berasal dari Kuching, Sarawak. Mendapat pendidikan awal di SRK Senari dan di SMK Agama Matang 2, Kuching. Mendapat ijazah Sarjana Muda (Al-Qur’an & Hadith) dan Sarjana (Tafsir al-Qur’an) dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Sedang menyiapkan tesis Phd dalam bidang Tafsir di Universiti Malaya. Sekarang bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Ilmu Wahyu dan Warisan Islam, Pusat Asasi, Universiti Islam Antarabanga, Petaling Jaya.

Di ambil dari sini.


Wallahu Ta'ala a'lam.

Friday, January 14, 2011

Jom Faham

بسم الله الرحمن الرحيم




Sahabat-sahabat dijemput hadir ke Program Bedah Buku 6 Perkara Asas Memahami Khilafiyyah bersama pengarangnya, al Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll as Sanariy, pensyarah di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, kampus Petaling Jaya.

Al Fadhil Ustaz juga mengendalikan pengajian secara Talaqi di Pusat Asasi Uia Pj, Nilai dan Uia Gombak.

Moga kita mendapat manfaat dari majlis ini.

Wallahu a'lam.

Monday, January 10, 2011

The Chosen One صلى الله عليه وآله وسلم

Segala Puji Bagi Allah Subhanahu wa Ta'ala,

Selawat dan salam ke atas Sayyiduna Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa alihi wa sohbihi wa sallam.


The Chosen One

In a time of darkness and greed

It is your light that we need
You came to teach us how to live

محمد يا رسول الله

You were so caring and kind
your soul was full of light
You are the best of mankind
محمد خير خلق الله

صلّوا على رسول الله
الحبيب المصطفى
Peace be upon The Messenger
The Chosen One


From luxury you turned away

And all night you would pray

Truthful in every word you say
محمد يا رسول الله

Your face was brighter than the sun
Your beauty equaled by none
You are Allah Chosen One

محمد خير خلق الله

صلّوا على رسول الله
الحبيب المصطفى
Peace be upon The Messenger The Chosen One

I'll try to follow your way
And do my best to live my life

as you taught me


I pray to be close to you

On that day and see you smile

When you see me

صلّوا على رسول الله
الحبيب المصطفى
Peace be upon The Messenger
The Chosen One


صلّوا على رسول الله

Oh Peace be upon.. Oh The Chosen One


Lirik di ambil dari sini.

Untuk videonya boleh ke sini. :)


Capal yang dinisbahkan kepada Penghulu kita, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم



صلّوا على رسول الله


Wallahu a'lam.

Sunday, January 2, 2011

Nasihat Buat Adik

بسم الله الرحمن الرحيم

Segala Puji Bagi Allah تعالى yang telah mengurniakan nikmat yang besar kepada kita iaitu dengan kita digolongkan-Nya menjadi umat kepada Penghulu Segala Rasul, junjungan besar Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم .

Selawat dan salam moga sentiasa dan selamanya ke atas kekasih Allah تعلى , contoh ikutan yang agung, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , ahli keluarganya, para Sahabat dan orang-orang yang mengikuti mereka hingga Hari Kiamat.


Mengimbau kembali ketika zaman persekolahan dahulu, tarikh 3 Januari kebiasaannya adalah hari pertama persekolahan pada setiap tahun. Persediaan untuk ke sekolah pasti sudah dibuat mungkin beberapa bulan sebelumnya hinggalah ke malam sebelum keesokkan harinya.

Selain mempersiapkan diri dengan persiapan dari sudut luaran, maka jom kita usahakan pula dengan persiapan dari sudut dalaman. Sebagai contoh adalah dengan memperbaharui niat kita ke sekolah untuk menuntut ilmu; untuk membebaskan diri kita daripada kejahilan dan ilmu itu hendaklah yang memberi manfaat kepada kita.

Dalam mengejar ilmu pengetahuan, usah pula ditinggalkan adab-adab dalam menuntut ilmu. Adab berinteraksi dengan guru, dengan kawan-kawan haruslah sentiasa dijaga, mungkin dari situ datangnya keberkatan ilmu itu.




Uia : 10/01/10

Perjuangan dalam kita menuntut ilmu pula, bukan hanya terhenti di bangku sekolah, malah sepertimana yang disebutkan oleh Nabi صلى الله عليه وآله وسلم , menuntut ilmu itu sejak dari buaian hingga ke liang lahad.


Selain menuntut ilmu untuk lulus dan berjaya dalam peperiksaan, carilah jalan dalam menuntut ilmu untuk mengenal Pencipta ilmu itu, iaitu Allah تعلى . Itulah matlamat kita diciptakannya di muka bumi ini. Juga carilah jalan yang akan menyampaikan kita untuk mengenal akan manusia agung yang menyampaikan ilmu itu kepada kita, iaitu Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم .

Moga Allah تعلى memberikan kita taufiq dan hidayah-Nya untuk kita berjaya dalam mengejar dan mengamalkan ilmu yang bermanfaat untuk kita bukan sahaja di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat kelak.


Moga sentiasa dalam jagaan Allah


Pesanan khusus buat diri sendiri, sahabat-sahabat dan adik-adik sekalian.


Untuk adik-adikku :) ...



Wahai adikku sayang

Dengarkanlah lagu ini

Yang sedang abang dendangkan

Moga menjadi nasihat untukmu

Di dalam kau meniti
Kehidupan ini

Yang penuh
Dengan pancaroba

Wahai adikku sayang

Patuhlah pada ibu ayahmu

Hormatilah gurumu

Janganlah melukai hati mereka


Kerana restu mereka

Penentu kejayaanmu

Di waktu kau mengejar
Cita-citamu

Bersopan-santunlah berbudi bahasalah

Kepada semua

Jujur dan amanah jangan berdusta

Apa saja dilakukan

Berhati-hatilah jika memilih

Siapa sahabatmu


Jagalah pergaulanmu

Jagalah maruah dirimu

Agar kau selamat
Dari godaan dunia

Belajar bersungguh sepenuh hati

Agar kejayaan milikmu

Tabahkan hatimu menghadapi

Semua cabaran


Bersifat pemurah tolong-menolong

Pada yang memerlukan

Jangan sesekali melupakan perintah-Nya

Agar kau selamat dunia akhirat


Diambil dari sini.


Wallahu Ta'ala a'lam.