Thursday, August 11, 2011

Ada apa dengan 11 Ramadhan?


بسم الله الرحمن الرحيم


Segala Puji Bagi Allah سبحانه وتعالى atas nikmat Iman, nikmat Islam, dan nikmat menjadi umat kepada semulia-mulia makhluk yang diciptakan, umat Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم .

Sholawat dan salam ke atas Penghulu segala penghulu صلى الله عليه وآله وسلم , ke atas ahli keluarga Baginda yang mulia, para Sahabat yang agung, isteri-isteri Baginda yang suci, juga ke atas Sayyidatuna Khadijah yang mendapat kedudukan yang mulia, serta orang-orang yang mengikut mereka hingga hari Kiamat.



Alhamduillah, masih diberi kesempatan untuk berada pada bulan Ramadhan al Mubarak. Hari ini 11 Ramadhan, merupakan ulang tahun kewafatan Sayyidah Khadijah binti Khuwailid ibn Asad ibn Abdul 'Uzza ibn Qusay al Asadiyyah Radiyallahu Ta'ala 'anha.


Ayuh, luangkan sedikit masa kita untuk memperingati ulang tahun kewafatan seseorang yang mempunyai kedudukan yang besar di sisi Sayyiduna Rasulullah
صلى الله عليه وآله وسلم .

Tidak lain tidak bukan untuk memperingati jasa serta pengorbanan yang telah beliau (Sayyidah Khadijah Radiyallahu 'anha) lakukan ketika bersama Baginda
صلى الله عليه وآله وسلم sejak awal-awal perjalanan dakwah Baginda صلى الله عليه وآله وسلم .



Sayyidah al Tohirah (Penghulu kaum wanita yang suci), adalah gelaran beliau sebelum menjadi isteri Nabi صلى الله عليه وآله وسلم .


Beliau (Sayyidah Khadijah Radiyallahu 'anha) mengahwini Sayyid al Kaunain (Penghulu dua alam; dunia dan akhirat)
صلى الله عليه وآله وسلم kerana kemuliaan akhlak dan agama Baginda صلى الله عليه وآله وسلم .

Sayyidah Khadijah Radiyallahu 'anha merupakan orang pertama yang beriman dengan Rasulullah
صلى الله عليه وآله وسلم ; baik dari kalangan perempuan mahupun lelaki.


Beliau lebih dikenali dengan gelaran al Kubra (Wanita Agung), sesuai dengan kedudukan beliau yang agung.



Nabi
صلى الله عليه وآله وسلم bersabda dalam sebuah hadith shohih yang diriwayatkan oleh Imam al Bukhari dan Muslim;

"Sebaik-baik wanita (pada masanya) ialah Maryam, dan sebaik-baik wanita (umat ini) ialah Khadijah."



Lagi sabda Nabi
صلى الله عليه وآله وسلم , daripada Sayyidina Anas Radiyallahu 'anhu (hadith marfu'):

"Cukuplah bagi kalian (sebagai contoh ikutan) dari kalangan kaum wanita sekalian alam; Mariam puteri Imran, Khadijah puteri Khuwailid, Fatimah puteri Muhammad
صلى الله عليه وآله وسلم dan Asiah."








Ana kongsikan kisah wanita Agung ini, yang dirakamkan dari kitab Manaqib Sayyidah Khadijah al Kubra Radiyallahu 'anha, yang merupakan terjemahan dari kitab al Busyra fi Manaqib al Sayyidah Khadijah al Kubra Radiyallahu 'anha karangan ulama besar Makkah, 'Alim al Robbani al Muhaddith Prof. Dr Sayyid Muhammad ibn 'Alawi al Maliki al Hasani Rahimahullah.

Kitab tersebut diterjemahkan oleh yang dikasihi al Musnid Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki, Pengerusi Aqidah Kerajaan Negeri Sembilan.

Berkata pengarang kitab;

Di antara kelebihan Sayyidah Khadijah Radiyallahu 'anha lagi - semoga rahmat dan kemuliaan Allah sentiasa dilimpahkan ke atasnya - bahawa Allah Rabb al 'Izzah telah mengirim salam kepada Sayyidah Khadijah Radiyallahu 'anha bersama salam Jibril 'alaihissalam, Jibril 'alaihissalam berkata:


"Wahai Muhammad! Khadijah telah datang kepadamu dengan membawa bekas yang berisi lauk -pauk dan makanan. Apabila dia datang kepadamu, maka sampaikanlah salam daripada Tuhannya dan daripadaku kepadanya."


Apabila Sayyidah Khadijah Radiyallahu 'anha datang, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم menyampaikan salam tersebut kepadanya. Lalu Sayyidah Khadijah Radiyallahu 'anha menjawab:


"Allah adalah al Salam (Maha Memberi Kesejahteraan) dan daripadaNyalah jua kesejahteraan, semoga kesejahteraan sentiasa dilimpahkan kepada Jibril juga."


Hadith ini telah diriwayatkan oleh Imam al Bukhari dan Muslim di dalam kitab mereka yang terkenal dengan Shohih al Bukhari dan Shohih Muslim




Maqam Sayyidah Khadijah Radiyallahu 'anha di Ma'la, sebelum dimusnahkan oleh Wahabi.



Di antara kelebihan Sayyidah Khadijah al Kubra Radiyallahu 'anha lagi, sepertimana hadith yang juga diriwayatkan oleh Imam al Bukhari dan Muslim:


Bahawa Jibril 'alaihissalam telah menyampaikan khabar gembira kepadanya tentang mahligai di dalam syurga. Jibril 'alaihissalam berkata kepada Nabi صلى الله عليه وآله وسلم :


"Berilah khabar gembira kepada Khadijah Radiyallahu 'anha tentang sebuah mahligai di dalam syurga yang bertatahkan intan berlian yang di dalamnya tidak kedengaran langsung suara jeritan atau pun keluhan (jiran-jiran yang baik)."



Doa pengarang kitab;

"Ya Allah! Sebarkanlah hembusan keredhaanMu ke atasnya (Sayyidah Khadijah Radiyallahu 'anha) dan limpahkanlah, Ya Allah kepada kami segala rahsia yang telah Engkau simpan di sisinya. Ya Allah! Kurniakanlah rahmat dan kesejahteraan ke atas suaminya al Amin; Penghulu kami Nabi Muhammad dan ke atas keluarga serta sahabat-sahabatnya sekalian."




~Moga dipandang oleh Sayyid al Mursalin
صلى الله عليه وآله وسلم
11 Ramadhan 1432H / 11 Ogos 2011M
Kuching.


Wallahu a'lam.



Rujukan;

Manaqib Sayyidah Khadijah Al Kubra Radiyallahu 'anha
Oleh AL Muhaddith Al Allamah Prof. Dr. Sayyid Muhammad ibn 'Alawi Al Maliki Al Hasani Rahimahullah
Dikeluarkan oleh al Musnid Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki
Cetakan Ketiga Sya'ban 1431 / Ogos 2010, Sofa Production

Tuesday, August 9, 2011

Ramadhan al Mubarak..


بسم الله الرحمن الرحيم


Segala Puji Bagi Allah Subhanahu wa Ta'ala, kita diberi kesempatan untuk berada pada bulan Ramadhan yang berkat, pada tahun ini.


Sholawat dan salam sentiasa dan selamanya ke atas Penghulu dan Imam kita, Rasulullah
صلى الله عليه وآله وسلم , juga ke atas keluarganya yang suci, para Sahabat yang mulia serta orang-orang yang mengikuti mereka sehingga hari Kiamat.


Sekadar berkongsikan hadith-hadith Nabi
صلى الله عليه وآله وسلم yang terdapat dalam kitab "Ramadhan di Halaman Sunnah" yang dipetik oleh al Musnid al Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki, Pengerusi Aqidah Kerajaan Negeri Sembilan, daripada kitab Is'aaf Ahl al Iman bi Wazaif Syahr Ramadhan karya Ulama' Besar Masjid al Haram, al 'Allamah Syeikh Hasan ibn Muhammad al Masysyat al Makki Rahimahullah.






Hadith-hadith tersebut akan diletakkan mengikut bab di dalam kitab ini. Moga bermanfaat khususnya buat diri dan yang membaca.


KELEBIHAN PUASA

Daripada Abi Hurairah Abdir Rahman ibn Sakhr Radiyallahu 'anhu berkata: Bersabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم : Telah berfirman Allah سبحانه وتعالى (Hadith Qudsi):

"Semua amalan anak Adam baginya melainkan puasa, maka sesungguhnya ia (puasa) adalah bagiKu dan Aku yang akan membalasnya. Puasa itu adalah benteng. Apabila hari kamu berpuasa, maka janganlah berkata perkara yang tidak senonoh atau bertengkar bertempik. Sekiranya seseorang memaki atau mencacinya, maka hendaklah dia berkata, "Saya sedang berpuasa." Demi jiwa Muhammad berada di dalam kekuasaanNya! Bau busuk mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau harum kasturi. Bagi orang berpuasa dua kegembiraan: (Pertama) apabila dia berbuka dia bergembira dan (kedua) apabila dia bertemu Tuhannya dia bergembira dengan puasanya."

~Diriwayatkan oleh Imam al Bukhari dan lafaz hadith adalah baginya Imam Muslim.


Dalam riwayat al Bukhari:

"Dia meninggalkan makanannya, minumannya dan syahwatnya demi kerana Aku. Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang akan membalasnya, dan satu kebaikan itu dibalas dengan 10 kebaikan seumpama dengannya."




Daripada Muaz ibn Jabal Radiyallahu 'anhu berkata: Sesungguhnya Nabi
صلى الله عليه وآله وسلم bersabda kepadanya:

"Apakah kamu mahu aku tunjukkan kepada kamu pintu-pintu kebaikan? Saya berkata, "Sudah tentu, wahai Rasulallah!" Baginda
صلى الله عليه وآله وسلم bersabda, "Puasa itu adalah benteng, manakala sedekah memadam kesalahan sebagaimana air yang memadam api."

Diriwayatkan oleh Imam al Tirmizi dan beliau mensahihkannya.









PERINTAH MENJAGA LIDAH DAN ANGGOTA

Daripada Abu Hurairah Radiyallahu 'anhu berkata: Bersabda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم :

"Sesiapa yang tidak meninggalkan bercakap bohong dan melakukannya, maka Allah tidak memperdulikan puasanya."

~Diriwayatkan oleh Imam al Bukhari dan Pemilik kitab Sunan.

Al Qadhi 'Iyadh Rahimahullah berkata: Tujuan berpuasa ialah untuk mematahkan syahwat dan menundukkan nafsu ammarah. Apabila tidak terhasil bagi orang yang berpuasa tujuan ini, maka Allah tidak mempedulikan amalan puasanya dan tidak memandang kepadanya dengan pandangan 'inayahNya.


WAKTU SAHUR DAN KEBERKATANNYA

Daripada Anas Radiyallahu 'anhu, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda:

"Bersahurlah kerana di dalam sahur itu terdapat keberkatan."

~Diriwayatakan oleh Imam al Bukhari dan Muslim.


Daripada Abi Najih al 'Irbadh ibn Sariah Radiyallahu 'anhu berkata:

"Rasulullah
صلى الله عليه وآله وسلم pernah mengajak saya bersahur pada bulan Ramadhan. Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda, "Marilah menikmati makanan yang diberkati."

~Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan al Nasaei.


Dan berikut risalah-risalah berkenaan Ramadhan tulisan al Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll al Sanariyy, Pensyarah Kuliah Ilmu Wahyu, Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Pj, sumber; http://www.jom-talaqi.com/. Pengarangnya, al Fadhil Ustaz membenarkannya untuk di amalkan dan disebarkan untuk manfaat bersama.

1) Risalah amalan malam awal Ramadhan
2) Bilangan raka'at solat Tarawih
3) 2 Amalan sunat Nabi
صلى الله عليه وآله وسلم yang sering dilupakan
4) Risalah amalan 10 hari terakhir Ramadhan


Mohon didoakan agar penulis sentiasa ditetapkan hati oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala serta sentiasa dalam redha dan rahmatNya dan cinta kepada RasulNya
صلى الله عليه وآله وسلم . Moga kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang bertaqwa.



9 Ramadhan 1432H / 9 Ogos 2011M
Kuching.


Wallahu a'lam.