Tuesday, December 28, 2010

Mengenal dan mencintainya

بسم الله الرحمن االرحيم


Segala puji bagi Allah Subhanahu wa Ta'ala sebanyak bilangan ciptaan-Nya.

Selawat dan salam sentiasa dan selamanya ke atas penghulu kami, Muhammad dan ke atas keluarga penghulu kami Muhammad, dan tempatkanlah Baginda صلى الله عليه و سلم di tempat yang dekat di sisi-Mu pada Hari Kiamat.

Saya teringat akan kata-kata al Fadhil Ustaz ketika di Nilai dahulu, katanya (lebih kurang begini maksudnya);

Pada pandangan saya, antara punca keruntuhan akhlak remaja kita pada hari ini adalah disebabkan mereka tidak mengenal Penghulu Segala Rasul صلى الله عليه و آله و سلم , contoh ikutan yang terbaik, Nabi mereka, apatah lagi untuk mengikuti sunnah Baginda صلى الله عليه و آله و سلم.

Seperti yang boleh kita lihat, sesetengah remaja masa kini lebih cenderung untuk mengenal dan meyanjungi artis-artis, pelakon-pelakon, pemain bola sepak, samaada tempatan mahupun luar negara. Juga menyedihkan, remaja-remaja tersebut lebih mengetahui akan biografi dan kisah hidup golongan yang mereka sanjung itu melebihi pengetahuan mereka akan sirah dan perjalanan hidup kekasih Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Ustaz menyambung;

InshaALLAH, jika anak-anak di didik dengan mengenal dan cinta akan Allah Subhanahu wa Ta'ala dan kepada Rasulullah صلى الله عليه و آله و سلم dan menjadikan Baginda صلى الله عليه و آله و سلم sebagai contoh ikutan yang terbaik hidupnya, maka InshaALLAH, akan berakhlaklah anak itu seperti apa yang dia contohi.


Sepertimana Sayyidatina 'Aisyah رضي الله تعالى عنها menyatakan:


كان خلقه القرآن

"Akhlak Baginda صلى الله عليه و آاله و سلم itu adalah al Quran"



Rasulullah صلى الله عليه و آاله و سلم
bersabda:

بعثت لأتمم مكارم الأخلاق

"Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia"



Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam Surah al Ahzab ayat 21:



لقد كان لكم فى رسول الله أسوة حسنة لمن كان يرجوا الله واليم الأخروذكرالله كثيرا


"Sungguh, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat dan yang banyak mengingat Allah"


Alhamdulillah, tempoh hari, saya berkesempatan ke kedai buku Fajar Ilmu Baru, di tingkat dua Wisma Yakin (berdepan dengan Masjid India), dan menjumpai buku ini..






Ia adalah terjemahan daripada kitab yang bertajuk, Wasail al Wusul ila Syamail al Rasul صلى الله عليه و سلم karangan seorang ulama' besar yang amat dikenali sehingga digelarkan di atas keilmuannya sebagai al 'alim al 'Allamah al Muhaddith Syaikh Yusof ibn Ismail al Nabhani رضي الله تعالى عنه .

Diterjemahkan oleh al Fadhil Ustaz Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, terbitan Mawleed Publishing Sdn Bhd dan diertikan dengan Jalan Penyampai Kepada Mengenali Kesempurnaan Rasulullah صلى الله عليه و آله و سلم .


Muqaddimah penterjemah kitab;


...Kitab ini bertujuan untuk memudahkan para pelajar mendekati dan sekurang-kurangnya mengenali Baginda صلى الله عليه و آله و سلم . Di samping mewujudkan rasa keagungannya, mengasihi dan menjejaki sunnahnya yang mulia, sehinggalah Rasulullah صلى الله عليه و آله و سلم hidup bersemadi di jiwa ummah.

...Tambahan pula semenjak akhir-akhir ini semakin ramai mereka yang tidak mengenali Rasulullah صلى الله عليه و آله و سلم bahkan ada yang sanggup menghina dan memperlekehkan Nabi صلى الله عليه و آله و سلم .


Kitab ini juga adalah antara kitab-kitab hebat karangan para ulama' sebagai tanda kecintaan diri mereka kepada Rasulullah صلى الله عليه و آاله و سلم. Antara kitab karangan para ulama' seperti al Syama'il al Muhammadiyyah (boleh didapati dalam terjemahan) oleh al Imam Al Hafiz Muhammad ibn Isa ibn Saurah al Tarmizi رضي الله تعالى عنه dan lain-lain kitab yang membuktikan kesempurnaan Rasulullah صلى الله عليه و آله و سلم, samaada dari sudut peribadi, zat tubuh dan akhlak Baginda صلى الله عليه و آله و سلم.


Terjemahan Mukhtasar al Syama'il al Muhammadiyyah oleh al Musnid Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki al Rembawi حفظه الله , Pengerusi Aqidah Kerajaan Negeri Sembilan.



Ia juga membuktikan bahawa Rasulullah
صلى الله عليه و آله و سلم mempunyai ciri-ciri keistimewaan dan kelebihan dari makhluk Allah Subhanahu wa Ta'ala yang lain.


Selain itu juga, kita selaku umat Nabi
صلى الله عليه و آله و سلم dianjurkan agar memperbanyakkan berselawat ke atas Baginda صلى الله عليه و آله و سلم .


Daripada Abdullah ibn Mas'ud
رضي الله تعالى عنه berkata: Rasulullah صلى الله عليه و آله و سلم bersabda:

ان أولى الناس بي يوم القيامة أكثرهم علي صلاة

"Sesungguhnya manusia yang paling utama di sisiku pada hari Kiamat ialah yang paling banyak mengucapkan salawat ke atasku."

*Diriwayatkan oleh al Imam al Tirmizi رضي الله تعالى عنه dan beliau menghukumkannya sebagai hasan.



Moga bermanfaat... أنت تعلم كيف حالي

Wallahu a'lam.



Rujukan;


Al Quran al Karim

Salawat Pilihan, cetakan kedua, terbitan Sofa Production, dikumpulkan oleh Al Arif billah Al Muhaddith Dr. Sayyid Muhammad ibn 'Alawi al Maliki al Hasani رضي الله تعالى عنه , dikeluarkan oleh Al Musnid Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki.


Fadhilat Salawat, terjemahan kitab al Nafhah al Ilahiyyah fi al Solah 'ala Khair al Bariyyah karangan Syaikh Abu al fadhl Abdullah ibn Muhammad al Siddiq al Ghumari al Hasani رضي الله تعالى عنه , dikeluarkan oleh Al Musnid Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki, cetakan pertama, terbitan Sofa Production,


Jalan Mengenali Kesempurnaan Rasulullah صلى الله عليه و سلم , terjemahan kitab Wasail al Wusul ila Syamail al Rasul صلى الله عليه و سلم karangan al 'Allamah al Muhaddith Syaikh Yusof ibn Ismail al Nabhani رضي الله تعالى عنه .

Sunday, December 19, 2010

Destinasi Cinta

بسم الله الرحمن الرحيم

Segala Puji Bagi Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Selawat dan salam sentiasa dan selamanya ke atas yang selayaknya dicintai, Penghulu kita, Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wa sallam, ahli keluarganya yang baik, para Sahabatnya Radiyallahu Ta'ala 'anhum yang mulia dan orang-orang yang mengikuti mereka hingga hari Kiamat.


Teringat akan satu nasyid oleh kumpulan Mestica. Agak bagus maksudnya.

Destinasi Cinta


Menyingkap tirai hati
Mengintai keampunan
Di halaman subur rahmat-Mu, Tuhan
Tiap jejak nan bertapak
Debu kejahilan
Akan ku jirus dengan madu keimanan

Tak ternilai airmata dengan permata
Yang bisa memadamkan api neraka
Andai benar mengalir dari nasuha nurani
Tak kan berpaling pada palsu duniawi

Destinasi cinta yang ku cari
Sebenarnya terlalu hampir
Hanya kabur kerana dosa di dalam hati
Telah ku redah daerah cinta
Yang lahir dari wadah yang alpa
Tiada tenang ku temui
Hanya kecewa menyelubungi


Ku gelintar segenap maya
Dambakan sebutir hakikat
Untuk ku semai menjadi sepohon makrifat
Moga dapat ku berteduh di rendang kasih-Mu

Namun ranjaunya tidak akan sunyi
Selagi denyut nadi belum berhenti
Durjana syaitan kan cuba menodai
Segumpal darah bernama hati
(Destinasi cinta Ilahi)

Lestarikan wadi kalbuku, oh Tuhanku
Leraikan aku dari pautan nafsu
Biarpun sukar bagiku melamar redha-Mu
Namun masihku mengharap ampunan-Mu
Wahai Tuhanku Ya Allah


Di ambil dari sini.


Wallahu a'lam.

Saturday, December 4, 2010

Syukur

بسم الله الرحمن الرحيم


Segala Puji Bagi Allah Subhanahu wa Ta'ala Yang Maha Luas Kurniaan-Nya.

Selawat dan salam ke atas Penghulu orang-orang yang bertaqwa, Shallallahu 'alaihi wa sallam, ahli keluarganya yang baik, para Sahabatnya yang mulia dan orang-orang yang mengikut mereka hingga hari Kiamat.


Sedikit catatan pada Isnin yang lalu, sekadar untuk peringatan diri sendiri dan yang membaca.


Telah berkata guru kami;


Telah berkata sebahagian daripada ahli Sufi (lebih kurang maksudnya); "Segelas air kosong dan sekeping roti, adalah merupakan satu nikmat yang besar daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala"

Maksudnya di sini, orang-orang yang dalam ma'rifatnya kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala dan dalam kecintaannya kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala memandang apa sahaja nikmat yang diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada mereka sebagai satu nikmat yang sangat besar dan mereka mensyukurinya.


Berkata guru kami (lebih kurang maksudnya);


Sebagai perumpamaan, jika kekasih kita memberikan kita hadiah berupa sehelai sapu tangan, walaupun harganya hanyalah mungkin sekitar Rm 7, namun oleh kerana kekasih kita yang memberikannya, orang yang kita cintai, orang yang kita kasihi, maka sudah tentu kita akan menghargainya.

Maka bagaimana pula dengan nikmat-nikmat yang Allah Subhanahu wa Ta'ala kurniakan kepada kita?! Samaada ia tampak kecil atau besar di sisi kita, hamba-Nya. Sudah tentu nikmat yang paling berhak untuk kita syukuri, yang paling berhak untuk kita hargai adalah nikmat yang dikurniakan oleh Pencipta kita, Allah Subhanahu wa Ta'ala Yang Maha Kaya, kerana kita adalah milik-Nya.


Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam Surah Ibrahim Ayat 7 yang kira-kira bermaksud:


Dan ingatlah ketika Tuhanmu memaklumkan, "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat."




Nukilan al Imam al Habib 'Abdullah ibn 'Alawi al Haddad Radiyallahu 'anhu:





Segala puji bagi Allah sebagai tanda syukur;
Atas nikmatNya yang tidak pernah putus;
Kami memujiNya ketika sunyi mahupun terang;
Di kala siang dan malam serta setiap waktu.




Wallahu a'lam.

Monday, November 15, 2010

Berehat Sebentar

بسم الله الرحمن الرحيم


Segala Puji Bagi Allah Subhanahu wa Ta'ala Yang Maha Agung yang menjadikan siang dan malam silih berganti.

Selawat dan salam sentiasa dan selamanya ke atas Penghulu orang-orang yang bertaqwa, Shallallahu 'alaihi wa sallam, keluarganya yang baik, para Sahabat Radiyallahu Ta'ala 'anhum ajma'in yang mulia dan orang-orang yang mengikuti jalannya.


Mari kita berehat seketika sambil melontarkan dan mendengar akan puji-pujian kepada Penghulu kita, Nabi yang diharapkan syafaatnya, Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wa salihi wa sallam.


Telah berkata Guru kami, lebih kurang begini maksudnya;


"Selepas seharian di pagi hari mungkin kita banyak sekali berkata dengan perkataan yang sia-sia, maka apalah kiranya kita ambil sedikit daripada masa kita untuk memenuhi lisan kita dengan puji-pujian kepada Kekasih Allah Subhanahu wa Ta'ala".


Sesungguhnya, tidak rugi untuk kita mendengar dan menitipkan kalam puji-pujian ke atas Baginda Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam.


Maka, di sini, di sertakan bait-bait Qosidah Al Burdah karangan salah seorang ulama' besar dalam dunia Islam, iaitu Al Imam, al 'Alim, Sayyid al Muddah, Abu Abdullah Syarafuddin Muhammad ibn Sa'id ibn Hammad ibn Muhsan ibn Abdullah ibn Sofhaji ibn Hilal al Sonhaji al Busairi al Syazuli Radiyallahu 'anhu.

Sedikit pengenalan mengenai Imam al Busairi Radiyallahu 'anhu, beliau dilahirkan di daerah Dalas, Mesir pada awal bulan Syawal tahun 608 Hijrah bersamaan 1212 Masihi dan masyhur dengan panggilan al Busairi kerana beliau dibesarkan di Bushir.


Antara guru-guru beliau adalah, Syaikh Sayyid Abu Hassan al Syazuli, Syaikh Sayyid Abu Abbas al Mursi Radiyallahu 'anhum dan ramai lagi Masyaikh.


Ramai ulama' telah memberikan pujian dan mensyarahkan Qosidah Al Burdah Imam al Busairi ini kerana faedah yang banyak yang boleh diperolehi daripadanya.




Al Imam Al Muhaddith Al Musnid Sayyid Muhammad ibn 'Alawi al Maliki al Hasani Radiyallahu 'anhu; dua dari kiri.


Antaranya, wangi-wangian dari bumi Hijaz, Al Imam Al Muhaddith Al Musnid Sayyid Muhammad ibn 'Alawi al Maliki al Hasani Radiyallahu 'anhu pernah menyarankan kepada anak-anak muridnya supaya
mempelajari bidang qosidah selepas belajar al Qur'an. Ini kerana qosidah atau syair adalah merupakan suatu ilmu yang seni dalam melontarkan ketenangan apabila kita menghayatinya, lebih-lebih lagi apabila mengingati Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam.

Telah berkata Al 'Allamah Syaikh Yusof Isma'il al Nabhani Radiyallahu 'anhu, Penghimpun Afdhol al Sholawaat 'ala Sayyid al Sadaat;


"Jalan beramal yang paling mudah di zaman ini ialah dengan menyebut dan memuji Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam".


Maka, pujian yang kita lontarkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wa sallam tidaklah sampai menyifatkan Baginda Shallallahu 'alaihi wa sallam dengan sifat ketuhanan.
Sebagaimana yang dijelaskan sendiri oleh Imam Al Busairi dalam Burdahnya:

"Tinggalkan cara orang Nasrani (Kristian) dalam menyanjung Nabi mereka (Nabi Isa 'alaihi salaam) iaitu jangan katakan bahawa Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wa sallam itu mempunyai sifat ketuhanan. Selepas itu, terserlah kepada kamu untuk memuji Baginda Shallallahu 'alaihi wa sallam dengan sesuka hati kamu".


Memuji Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam dan mengingati Baginda Shallallahu 'alaihi wa sallam juga merupakan tuntutan daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam Surah al Qalam ayat 4 yang kira-kira bermaksud;


"Dan sesungguhnya engkau (Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wa sallam)
benar-benar berbudi pekerti yang luhur".

Dan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam Surah al Ahzab ayat 56 yang kira-kira bermaksud;


"Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya bersalawat untuk Nabi (Shallallahu 'alaihi wa sallam). Wahai orang-orang yang beriman!
Bersalawatlah kamu untuk Nabi (Shallallahu 'alaihi wa sallam) dan ucapkanlah salam dengan penuh penghormatan kepadanya".


Usah dipedulikan dengan segelintir manusia yang masih lagi berkira-kira untuk memuji Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam, walhal Baginda Shallallahu 'alaihi wa sallam adalah semulia-mulia makhluk Allah Subhanahu wa Ta'ala yang paling berhak untuk dipuji!


Sebagaimana diungkapkan dalam bait Qosidah yang indah;


Siapakah yang menyamai Ahmad (Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wa sallam) di dua alam ini pada ketinggian akalnya


Baginda Shallallahu 'alaihi wa sallam adalah bulan seluruh makhluk pada kecantikannya yang membingungkan






Maka, ini adalah Bab yang pertama daripada Qosidah Burdah oleh Imam Al Busairi Radiyallahu 'anhu, didendangkan oleh kumpulan Ahbab al Mustofa dari Yaman dan terjemahan Qosidah dalam Bahasa Melayu ini dan segala maklumat berkaitan dengan Imam Al Busairi Radiyallahu 'anhu adalah diambil daripada buku Qosidah Al Burdah Imam Al Busairi Radiyallahu 'anhu yang dikeluarkan oleh al Fadhil Ustaz Ahmad Luthfi bin Abdul Wahab al Linggi.






Jadi, untuk biografi yang lebih lanjut tentang Imam Al Busairi Radiyallahu 'anhu, anda bolehlah membeli buku tersebut dan lain-lain rujukan. (^_^)



Moga kita digolongkan Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam golongan orang-orang yang mencintai Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam yang mana kecintaan itu melebihi kecintaan kita kepada diri kita sendiri, ibu bapa kita dan manusia seluruhnya.


Moga kita mendapat syafaat Baginda Shallallahu 'alaihi wa sallam di akhirat kelak.




Wallahu Ta'ala a'lam.



Rujukan:
Al Qur'an Al Karim

Rantaian Mutiara Al Arif Billah Habib Ali ibn Muhammad ibn Husin Al Habsyi Radiyallahu 'anhu, dikeluarkan oleh al Fadhil al Syaikh Muhammad Fuad ibn Kamaludin al Maliki.

Qosidah Al Burdah Imam Al Busairi Radiyallahu 'anhu, Puji-pujian untuk Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam, dikeluarkan oleh al Fadhil Ustaz Ahmad Lutfi bin Abdul Wahab al Linggi.


Friday, October 15, 2010

Alhamdulillah


Alhamdulilah; Segala Puji Bagi Allah Subhanahu wa Ta'ala yang masih memberikan peluang untuk kita melaksanakan amanah sebagai hamba-Nya melalui jalan yang dibawa oleh Nabi-Nya, Penghulu kita Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wa alihi wa sallam.


Sholawat dan salam sentiasa dan selamanya ke atas Penghulu Sekalian Rasul Shallallahu 'alaihi wa sallam, ahli keluarganya, para Sahabat Radiyallahu Ta'ala 'anhum ajma'in dan orang-orang yang mengikuti mereka hingga Hari Kiamat.

Segala Puji Bagi Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana kita diizinkan-Nya untuk bernafas pada hari Juma'at yang penuh dengan kelebihan ini, yang mana ia merupakan Penghulu Segala Hari.

Berkata al Imam Hujjah al Islam al Ghazali Radiyallahu Ta'ala 'anhu dalam kitabnya Bidayatul Hidayah, terjemahan oleh Syaikh Ahmad Fahmi Zam Zam al Banjari al Nadwi al Maliki
;

Iaitu hari yang mulia yang telah dikhususkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada umat Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wa alihi wasallam.


Saya sekadar ingin berkongsi gambar-gambar yang sempat dirakamkan, sebahagian daripada majlis ilmu, majlis zikir, majlis sholawat dan lain-lain di tanah semenanjung ini. Mungkin boleh dijadikan tatapan buat sahabat-sahabat yang mungkin tidak berkesempatan untuk pergi.


Khabar gembira dari Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam tentang orang yang berjalan menuntut ilmu.

Tersebutlah di dalam Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah yang dikeluarkan oleh al Fadhil Ustaz Mustafa 'Abdul Rahman dan Ustaz Ibnu Al Rawi, di dalam hadith yang ke sepuluh;




Imam al Bukhari berkata: Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda: Barangsiapa yang menjalani satu jalan kerana menuntuti dengannya akan pengetahuan, nescaya Allah memudahkan baginya akan jalan kepada syurga.



1) Majlis Zikir, Maulidur Rasul Shallallahu 'alaihi wa sallam dan Haul Akbar Sultanul Awliya', Syaikh Abdul Qodir al Jilani Radiyallahu 'anhu pada 24 Syawal 1431H bersamaan 2 Oktober 2010, jam 7.30 malam bertempat di Surau Miftahul Falihin.






Majlis dihadiri oleh Syaikh 'Afifuddin al Jailani dari Iraq, Habib 'Ali Zainal 'Abidin al Hamid (Kuala Lumpur), Habib Thohir Abdullah al Kaff dari Tegal Indonesia, Habib Umar bin Abdullah as Saggaf dari bangil Indonesia, kiyai-kiyai, asatizah.



Antara yang menyampaikan tazkirah / peringatan pada malam itu ialah Habib 'Ali Zainal 'Abidin al Hamid.


2) Pada keesokannya pula, 30 Oktober 2010, majlis yang sama diadakan bertempat di Masjid al Syakirin Batu 6, Jalan Gombak. Majlis bermula jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengahari.



Antara yang hadir dan menyampaikan ceramah / mau'izotul hasanah pada majlis tersebut ialah, Sayyid Syaikh Afeefuddin al Jailani (al Wariseen), al Fadhil Tuan Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki al Rembawi (Pengasas dan penasihat Yayasan Sofa, Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan), al Fadhil Habib Hussein Alwi bin Agil (Probolinggo, Sourabaya, Indonesia).


Tuan Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki selepas majlis



al Fadhil Habib Hussein Alwi bin Agil ketika menyampaikan mau'izotul hasanah



Syaikh Sayyid Afeefuddin al Jailani


3) Majlis bersama ulama' dan bacaan Mawlid Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam di Masjid al Falah, USJ 9. Bersama Habib Kazim As Saggaf, pendakwah dari Tarim, Hadramaut, Yaman.



Habib Kazim As Saggaf selepas majlis


4) Majlis bersama Syaikhul hadith dari Nadwatul Ulama India, Syaikh Sayyid Salman al Husaini di Ba'Alawi, Kuala Lumpur pada 09 Oktober 2010.



Syaikh Sayyid Salman al Husaini selepas majlis



5) Program Tuan Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki, tazkirah oleh Muhaddith Iskandariah, Mesir, Syaikh Sayyid Muhammad bin Ibrahim al Husaini al Kattani, Dar al Maliki pada 9 Zulqaedah / 17 Oktober 2010.



Syaikh Sayyid Muhammad bin Ibrahim al Husaini al Kattani bersama Tuan Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki

Ketika majlis tersebut, Syaikh Muhammad bin Ibrahim al Husaini al Kattani mensyarahkan sepotong hadith dari al Jami' al Shohih Imam Bukhari Radiyallahu 'anhu.



6) Khutbah Juma'at pada 15 Oktober 2010 di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Uia Gombak oleh
al Da'ie ila Allah, al Habib 'Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz, pengasas dan mudir Dar al Mustofa, Tarim, Hadramaut, Yaman.


Pagi Juma'at yang mulia



Keturunan Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam dari sebelah Sayyidina Hussein



Habib Soleh al Jufri (Solo, Indonesia)


Habib Naufal bin Jindan (Indonesia)


Mutiara kata al Da'ie ila Allah, al Habib 'Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz, dinukilkan oleh al Fadhil Ustaz Abu Zahrah dalam blog beliau;

Barangsiapa yang tidak mahu duduk dengan orang beruntung, bagaimana mungkin ia akan beruntung dan barangsiapa yang duduk dengan orang beruntung bagaimana mungkin ia tidak akan beruntung.



قال الله تعلى في كتابه العزيز: انما يخشى الله من عباده العلماء

سورة فاطر : 28


Maksudnya: Hanyasanya yang takut akan Allah Ta'ala itu daripada hamba-Nya itu iaitu ulama'



7) Sambutan Haul Imam al Habib 'Abdullah bin 'Alwi bin Muhammad al Haddad yang ke 229 (beliau wafat pada tahun 1132H). Di hadiri oleh, antaranya, al Da'ie ila Allah, al Habib 'Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz, Habib Kazim As Saggaf, Habib 'Ali Zainal 'Abidin al Hamid, Habib Soleh al Jufri (Solo), Habib Naufal bin Jindan, Tuan Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki, dan ramai lagi Habaib, ulama' yang tidak dapat disebutkan kesemuanya.


Majlis Sambutan Haul Imam al Haddad di Masjid Bukhary, Jalan Hang Tuah, pada 15 Oktober 2010.









~Moga kita dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dapat bersama-sama berada dalam majlis 'ilmu, majlis zikir bersama para ulama' yang mana mereka adalah pewaris para anbiya', orang-orang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya Shallallahu 'alaihi wa sallam, orang-orang yang sentiasa mengajak manusia ke arah kebaikan dan mencurahkan manusia dengan mutiara hikmah yang bersumberkan daripada kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya Shallallahu 'alaihi wa sallam.

~Terima kasih kepada Bg Naim untuk sebahagian gambar-gambar di atas.



Wallahu a'lam.




Rujukan;



Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah
terjemahan Ustaz Mustafa 'Abdul Rahman dan Ustaz Ibnu Rawi terbitan Dewan Pustaka Fajar


Bidayah al Hidayah karangan Al Imam Al Mujaddid Hujjah al Islam Abu Hamid al Ghazali, terjemahan Permulaan Jalan Hidayah oleh Syaikh Ahmad Fahmi Zam Zam al Banjari al Nadwi al Maliki

Hidayah al Salikin fi Suluk Maslak al Muttaqin
susunan Syaikh 'Abdu Somad al Falimbani, tahkik dan ta'liq Syaikh Ahmad Fahmi Zam Zam al Banjari al Nadwi al Maliki
.

Sunday, September 26, 2010

Majlis Haul Imam 'Abdullah al Haddad


Segala Puji Bagi Allah Ta'ala, kepunyaan-Nyalah segala yang ada di langit dan bumi, dan apa yang ada di antaranya.

Sholawat dan salam moga sentiasa dan selamanya ke atas Khair al Bariyyah (Sebaik-baik
makhluk) Shallallahu 'alaihi wa alihi wa sallam, para Sahabat dan orang-orang yang mengikuti mereka hingga hari Kiamat.


Pemberitahuan - Majlis-majlis Haul Imam Al-Haddad

Siri Majlis-Majlis Haul Imam Abdullah bin Alawi Al-Haddad sedang di selaraskan di beberapa bandar di sekitar Malaysia selain dari di Lembah Kelang mulai 09 Oktober 2010 hingga 24 Oktober 2010. Tamu terulung dari golongan ulama' antarabangsa terdiri dari Al-Allaamah Al-Habib Zein bin Ibrahim bin Semait dari Madinah, Al-Allaamah Al-Habib Umar bin Muhammad bin Hafidz dari Yaman dan Al-Habib Abdullah Attas Al-Habshi dari Makkah.


Al-Allaamah Al-Habib Zein bin Ibrahim bin Semait dari Madinah al Munawwarah





Al-Allaamah Al-Habib Umar bin Muhammad bin Hafidz, Mudir Darul Mustofa, Yaman


Selain mereka, beberapa lagi ulama' dari Malaysia dan rantau ini akan sampaikan kata-kata hikmah, sebahagiannya dari kalam Imam Al-Haddad berkaitan dengan tajuk tema tahun ini iaitu 'YAKIN' dengan selingan ghasidah dan nasyid masyhur dari ratusan syaír nukilan Al-Imam.


Tarikh

Zon Utara (Kumpulan A)

Zon Timur (Kumpulan B)

09 Oktober 2010

Musalla Imam Asy-Syafie, Taman Jali, Kangar, Perlis


12 Oktober 2010

Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang

Masjid Pasir Mas, Pasir Mas, Kelantan

13 Oktober 2010

Masjid Al-Bukhary, Alor Setar, Kedah

Masjid Sultan Ahmad, Kemaman, Terengganu

14 Oktober 2010

Masjid Saiyidina Abu Bakar Assidiq, Bakar Arang, Sg Petani, Kedah

Masjid At-Taqwa, Pekan, Pahang


Zon Sentral

15 Oktober 2010

Masjid Al-Bukhary, Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur

16 Oktober 2010

Masjid Negeri Selangor D.E., Shah Alam, Selangor

17 Oktober 2010

Masjid Al-Falah, USJ 9, Selangor


Zon Selatan/Timur (Kumpulan C)

Zon Selatan/Barat (Kumpulan D)

18 Oktober 2010

Masjid Jame', Bandar Maran, Pahang

Masjid Sultan Iskandar, Batu Pahat, Johor

19 Oktober 2010

Masjid Jame’, Bandar Mersing, Johor

Masjid Al-Adzhim, Bandar Melaka, Melaka

20 Oktober 2010

Masjid Jame’ Kampung Melayu Majidi, Johor Baru, Johor

Yayasan Al-Jenderami, Dengkil, Selangor

21 Oktober 2010

Yayasan Assofa, Rembau, Negeri Sembilan

Masjid Layang-Layang, WP Labuan


Zon Malaysia Timur 1 (Kumpulan E)

Zon Malaysia Timur 2 (Kumpulan F)

22 Oktober 2010

Masjid At Taqwa (Masjid Gita), Kuching, Sarawak

Masjid At-Taqwa, Miri, Sarawak

23 Oktober 2010

Masjid Bandaraya, Kota Kinabalu, Sabah

Masjid Baitul Aman, Kuala Lumpur

24 Oktober 2010

Masjid Habib Abdulrahman, Tawau, Sabah

Madrasah Darul Faqih, Jalan Gelang Cincin, Segamat, Johor


Nota: Majlis Utama di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah pada 16 Oktober 2010 akan bermula pada jam 5:00 petang tepat. Selain itu, semua majlis-majlis di seluruh Malaysia bermula pada 5:30 petang tepat.

Diharap hadirin dan hadirat dapat bersama majlis-majlis ini sebelum waktu mula tersebut. Semua Muslimin dan Muslimat dijemput hadir. Diminta Hadirin dan Hadirat mematuhi halal/haram, sunnah/makruh dan adab semasa di dalam majlis-majlis ini.


Sila pantau semula jadual diatas kerana kemungkinan adanya apa-apa perubahan yang terpaksa dilakukan.


Sebarang pertanyaan boleh di kemukakan ke hak@alhawi.net



Wallahu a'lam.


Thursday, September 16, 2010

Syawal 1431H




Segala Puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah Ta'ala, Pencipta Alam Semesta.

Sholawat dan salam moga sentiasa dan selamanya ke atas Penghulu Kami Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wa sallam, ahli keluarganya, para Sahabat dan orang-orang yang mengikuti mereka hingga Hari Kiamat.

Alhamdulillah, dengan izin Allah Ta'ala, kita di izinkan-Nya untuk berada pada bulan Syawal ini setelah sebulan melalui bulan Ramadhan yang penuh dengan barakah dan rahmat. Mungkin ada dalam kalangan kita yang hidup dengan kehidupan yang kurang selesa sebagaimana kita, dan bersyukurlah kerana kita masih mampu untuk beribadah dalam keadaan yang mengizinkan.





Seperti yang dimaklumi, ianya bulan yang diwajibkan bagi kita umat Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wa sallam untuk berpuasa di dalamnya. Ianya bulan yang di dalamnya terdapat
Lailatul Qadr, yang lebih baik dari seribu bulan, dalam bulan Ramadhan juga berlakunya penurunan Al Qur'an (Nuzul al Qur'an) kepada Penghulu Segala Rasul Shallallahu 'alaihi wa sallam, Ghazwah Badr al Kubra dan lain-lain peristiwa yang penting.

Alhamdulillah, kita diberikan-Nya peluang untuk berada di bulan Ramadhan dan masih diberikan kehidupan sehingga ke saat ini dalam kita masih lagi beriman kepada Allah Ta'ala dan nikmat kita menjadi umat Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wa sallam. Moga kita akan dipertemukan lagi dengan Ramadhan yang akan datang.

Sedikit perkongsian Syawal saya pada kali ini, SmileyCentral.com Alhamdulillah, tahun ni, berkesempatan untuk menziarahi sahabat-sahabat sekelas ketika di sekolah menengah dahulu. Mohon maaf kepada sahabat-sahabat yang saya tak sempat nak ziarah memandangkan pada 5 Syawal saya sudah kembali ke Tanah Semenanjung (dah beli tiket awal, malas nak nuka, hehe..)

Pada 2 Syawal, saya bersama sahabat-sahabat juga berkesempatan menziarahi al Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll di rumahnya di Kampung Senari, Kuching. Kebetulan juga, al Fadhil Ustaz memberikan kuliah Maghrib di Masjid Kampung Senari pada malam itu. Alhamdulillah, terisi juga diri dengan mutiara-mutiara ilmu dan pengalaman daripada apa yang disampaikan al Fadhil Ustaz. Antaranya, al Fadhil Ustaz menyenaraikan kelebihan ibadah puasa berbanding ibadah yang lain.


Firman Allah Ta'ala dalam Hadith Qudsi:

"Dia meninggalkan makanannya, minumannya dan syahwatnya demi kerana Aku. Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang akan membalasnya, dan satu kebaikan itu dibalas dengan 10 kebaikan seumpama dengannya."

(Hadith riwayat Imam al Bukhari)



al Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll


Mungkin ada yang belum mengenali Ustaz Muhadir dan suka untuk saya memperkenalkan siapa beliau. Nama penuh Ustaz ialah Ustaz Muhadir bin Haji Joll, berasal dari Kampung Senari, (sebelum nak ngagak ke Bako, Gobil n lain2). Dilahirkan pada 27 Julai 1976 dan antara pendidikan awal Ustaz ialah di SK Kampung Senari, kemudian menyambung di SMK Agama Matang 2. Ustaz meneruskan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang Tafsir dan Hadith dan sekarang menyambung pengajian di peringkat kedoktoran (PhD) di Universiti Malaya juga di dalam bidang Tafsir dan Hadith.


Syaikh Nuruddin Marbu al Banjari al Makki


Antara guru-guru al Fadhil Ustaz ialah Syaikh Muhammad Nuruddin Marbu al Banjari al Makki, Syaikh Ahmad Fahmi Zam Zam al Nadwi al Maliki, Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki al Rembawi, Syaikh Baba Aziz dan ramai lagi
Masyaikh. al Fadhil Ustaz merupakan pensyarah di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kampus Petaling Jaya. al Fadhil Ustaz juga mengendalikan pengajian Talaqi di Uia PJ dan Uia Gombak.

Antara buku yang ditulis al fadhil Ustaz ialah
6 Perkara Asas Memahami Khilafiyyah, Terbitan Mawleed Publishing (sudah berada di pasaran), Persoalan Khilafiyyah dan Penjelasan Ulama', Inilah Jawapannya (akan terbit), Solat Menurut Mazhab Syafi'i (akan terbit) dan banyak lagi. Moga Ustaz akan terus berjaya dalam menegakkan Ahlu Sunnah wal Jama'ah di Malaysia ini, khususnya di bumi Sarawak yang bertuah SmileyCentral.com


Dalam perjalanan ke klia


5 Syawal (14 September) - Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (4.05 p.m.) - Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (5.50 p.m.) (mntak maaf kat siapa2 yg saya madah flight saya kol 3 ptg, paduhal flight pkl 4.05 ptg, hehe.)


-Alhamdulillah, saya juga berkesempatan menghantar adik saya yang melanjutkan pelajarannya ke Alexandria University, di Iskandariah, Mesir (nganta sampei klia ajak lh).


Sebahagian pelajar ke Mesir


6 Syawal (15 September, 1.30 a.m.) - adik saya berlepas ke Kaherah, Mesir. InsyaALLAH, jumpa lagik man :)

- 10.45 a.m. - sampai di J 2.7, Mahallah Salahuddin al Ayyubi, Uia Gombak.


Rasanya, sekian sahaja catatan saya pada kali ini. Moga Allah Ta'ala menerima segala amalan kita pada Ramadhan yang lalu dan kita ditemukan dengan Ramadhan yang akan datang, moga kita diberikan Istiqamah dalam melakukan amal. Amiin.



Wallahu a'lam.




Rujukan:
Ramadhan Di Halaman Sunnah

Al Allamah Syeikh Hasan ibn Muhammad Al Masysyat Al Makki Rahimahullah

dikeluarkan oleh al Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki
Cetakan Pertama Sya'ban 1431H / Ogos 2010M

SOFA PRODUCTION